Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kraf tradisional Melayu: Cabaran kekal minat, usaha individu beri harapan

Sep 10, 2023 | 12:05 AM



Kemahiran dan seni pertukangan tradisional Melayu, seperti pembinaan kolek dan ukiran kayu, mungkin tidak lagi diminati mahupun dikenali ramai dalam generasi hari ini dan menjadi satu cabaran untuk dihidupkan semula.

Namun, terdapat beberapa penggiat kemahiran dan seni pertukangan sedemikian yang menjadikan ia satu misi peribadi mereka untuk mengembalikan ilmu pengetahuan kraf tradisional tersebut serta memupuk minat dalam masyarakat.

Misalnya, Encik Mohamed Fawzi Mohamed Nasir telah memulakan laman Facebook Kolek, Jong Nusantara pada 2018 untuk memperkenalkan sejarah maritim dan jenis bot-bot Melayu kepada orang ramai dan ingin mengadakan bengkel membina kolek.

Pemain genderang, Encik Yaziz Hassan, pula telah melatih lima anak buahnya cara tradisional membaiki alat genderang menggunakan kulit seperti rebana dan jidur.

Namun, usaha menimbulkan minat dalam kalangan anak-anak muda Singapura dalam kemahiran dan seni pertukangan tersebut tidak mudah kerana ia mungkin dipandang sebagai tidak lagi relevan dalam konteks hari ini.

Berkongsi pandangan, beberapa pakar berkata cabaran bagi pengamal kegiatan sedemikian adalah untuk mewujudkan kaitan antara generasi muda dengan kemahiran pertukangan tersebut, yang kebanyakannya sudah hilang ditelan zaman dek peredaran masa dan perkembangan ekonomi dan teknologi.

Memberi contoh, pensyarah kanan dan juga pakar antropologi sosial di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Suriani Suratman, berkata Singapura pada masa lalu mempunyai sektor perikanan, namun sedang negara ini membangun, keutamaan ekonomi berubah dan sektor perikanan tidak lagi diutamakan sebagai sumber pendapatan.

“Apabila sesuatu sektor itu tidak dapat bertahan, segala pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengannya, seperti membuat bot, jaring ikan dan bubu, dilupakan. Dari segi praktikal, ilmu sedemikian tidak lagi berguna dan relevan, dan oleh itu, tidak diturunkan ke generasi seterusnya,” kata beliau.

Bagaimanapun, jika sesuatu tradisi itu masih diamalkan dan diperjuangkan sehingga hari ini, seperti alat muzik rebana dan kompang, masih ada potensi untuk memupuk minat dalam kalangan generasi muda.

Namun begitu, Dr Suriani berkata sejarah, pengetahuan dan nilai-nilai tidak ketara yang dikaitkan dengan kemahiran dan seni pertukangan tradisional – sama ada ia sudah mati atau tidak – tetap penting dipelihara kerana ia adalah sebahagian daripada warisan Melayu.

Beliau menambah bahawa perlu ada dokumentasi kemahiran pengetahuan kraf tradisional yang berbeza, sama ada ia semakin pupus atau sudah mati.

“Perlu ada orang, sama ada dalam institusi atau daripada badan masyarakat, untuk mengumpulkan maklumat dari orang yang pakar. Kompilasi sedemikian boleh diterbitkan dalam buku atau dalam podcast,” kata beliau.

Pihak seperti Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Taman Warisan Melayu (TWM) telah mengadakan pelbagai pameran, pesta dan program untuk melestarikan warisan budaya Melayu, seperti Pesta Budaya Melayu dan Pameran ‘Cerita’ anjuran TWM yang memaparkan lebih 80 artifak untuk lebih memahami sejarah Melayu.

Pengkaji warisan, Encik Sarafian Salleh, berkata sukarnya mempertahankan kemahiran tradisional seperti membuat kolek, layang-layang, atau bubu dalam masyarakat hari ini adalah disebabkan beberapa faktor seperti perubahan gaya hidup yang membuat seseorang hilang minat dan pengetahuan.

Beliau mengusulkan agar kegiatan seperti ‘jejak warisan’ ke tempat bersejarah seperti Kampong Gelam dan Telok Blangah boleh diadakan untuk memupuk pengetahuan sejarah dan memelihara warisan Melayu di Singapura, selain memanfaatkan media sosial dan teknologi untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan kemahiran tradisional.

Beliau turut berkata pembentukan persatuan untuk mempertahankan warisan Melayu perlu ada untuk menghidupkan kembali apa yang hilang.

Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM), jurucakap NHB berkata untuk mengikuti trend baru dan globalisasi, adalah penting bagi perniagaan dan pengamal warisan budaya tidak ketara (ICH) mencipta semula kraf mereka dan meneroka cara untuk menarik minat konsumer generasi baharu.


Bagi pihak mereka, NHB bekerja rapat dengan masyarakat dan pengamal untuk melindungi kraf dan amalan tradisional, termasuk kraf Melayu.

Selain itu, ia mentadbirkan pelbagai skim untuk mendokumenkan, menggalak, mengiktiraf dan mempermudahkan perkongsian dan penciptaan semula kraf tersebut, seperti melalui Inventori Nasional ICH di laman web www.roots.gov.sg/ich.

Daya usaha untuk mendekati masyarakat pula termasuk melalui siri video perbincangan ICH TWM, yang mendokumentasi dan mengetengahkan warisan dan budaya Melayu.

“Kami berbesar hati bahawa sudah ada beberapa perniagaan dan pengamal ICH yang telah melakukannya (mencipta semula kraf) di Singapura, sambil mengekalkan asas amalan masing-masing.

“Ia juga penting untuk menyedari bahawa usaha melindungi dan berkongsi ICH adalah tanggungjawab bersama semua orang; daripada individu kepada masyarakat, daripada media kepada negara,” kata jurucakap NHB.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >