Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lagi 6 stesen MRT Laluan Rentas Pulau akan dibina: Iswaran

Dijangka dibuka pada 2032, ia sediakan akses lebih besar kepada pengangkutan awam di kawasan barat S'pura
Sep 21, 2022 | 05:30 AM



ENAM lagi stesen Laluan Rentas Pulau (CRL) akan dibina dan dijangka dibuka pada 2032, umum Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, semalam.



Stesen tersebut, yang membentuk fasa kedua CRL (CRL2), adalah Turf City, King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Jurong Lake District.



Dua daripada enam stesen itu merupakan stesen pertukaran, dengan stesen King Albert Park menghubungkan penumpang ke Laluan Downtown, dan stesen Clementi pula ke Laluan Timur-Barat.



Mengumumkan CRL2 itu semalam dalam satu lawatan ke tapak projek Depoh Bersepadu East Coast (ECID), Encik Iswaran berkata ia akan menyediakan akses lebih besar kepada pengangkutan awam di kawasan barat negara seperti Daerah Tasik Jurong dan West Coast, dan mempertingkat ketersambungan antara bahagian timur, barat dan timur laut Singapura.



CRL2 akan memberi manfaat kepada 40,000 isi rumah apabila ia siap dibina pada 2032, termasuk mereka yang tinggal di Sunset Way dan sepanjang West Coast Road.



Encik Iswaran berkata sebagai laluan MRT kelapan Singapura, CRL akan secara ketara mempertingkat kesan rangkaian sistem kereta api negara ini.



"Ramai rakyat Singapura akan meraih manfaat daripada perjalanan lebih pendek dan lebih langsung, dan waktu perjalanan yang lebih cepat.



"Hari ini, ia mengambil masa lebih sejam melalui kereta api-bas dari Hougang ke Politeknik Ngee Ann.



"Dengan CRL, ini akan dikurangkan menjadi perjalanan langsung selama 35 minit; perjalanan bas 45 minit dari Bukit Panjang ke West Coast hari ini boleh dilakukan dalam masa 25 minit melalui kereta api.



"Oleh itu, terdapat manfaat besar dari segi penjimatan masa dan kemudahan untuk penumpang," kata beliau.



Encik Iswaran menambah bahawa CRL akan membantu membahagikan pergerakan penumpang di laluan kereta api yang lain dan mengurangkan kesesakan.



Rangkaian kereta api yang lebih luas dan padat juga akan memperkukuh daya ketahanan, kata beliau, sambil merujuk kepada bagaimana penumpang akan dapat menggunakan laluan kereta api lain sekiranya berlaku kerosakan.



Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam kenyataan bersama berkata tiga tapak tanah privet akan diperolehi bagi pembinaan CRL2. Ini merangkumi dua unit perindustrian milik JTC di Blok L Estet Perindustrian Pandan Loop dan ruang bawah tanah di bawah tempat meletak kereta kondominium Casa Esperanza di Bukit Timah.



LTA dan SLA menambah bahawa ia telah selesai menjalankan kajian kesan sekitaran mengenai potensi impak kerja-kerja bagi stesen Turf City, King Albert Park dan Maju.



Penilaian kesan warisan juga telah dijalankan untuk menentukan impak kerja-kerja di Turf City.



Laporan tersebut akan diterbitkan di laman LTA dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bulan depan untuk maklum balas awam.



Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi pengangkutan, Encik Saktiandi Supaat, berkata CRL2 memberi akses lebih luas kepada orang ramai memanfaatkan kemudahan kereta api dan menggalak rakyat menaiki pengangkutan awam, iaitu pilihan lebih hijau dan mampan berbanding kereta.



"Prasarana dan pelaburan ini adalah bukti kepada perancangan jangka panjang pemerintah dari segi khidmat transit pantas di seluruh negara," kata beliau.



Diumumkan dalam Pelan Induk Pengangkutan Darat 2013, CRL sepanjang 50 kilometer akan dibina dalam tiga fasa. Ia laluan bawah tanah sepenuhnya dari Changi ke Tuas dan akan dihubungkan kepada hab utama seperti Daerah Tasik Jurong dan Daerah Digital Punggol.



Fasa pertama CRL, yang merangkumi 12 stesen dari Aviation Park di Changi hingga Bright Hill di Sin Ming, akan dibuka menjelang 2030.



Lanjutan kepada CRL sepanjang 7.3 kilometer, yang menghubungkan Pasir Ris ke Punggol, pula akan merangkumi empat stesen - Punggol, Riviera, Elias dan Pasir Ris. Kerja binaan dijangka bermula menjelang hujung tahun ini dan selesai pada 2032.



Kajian kejuruteraan bagi fasa ketiga CRL, yang akan berkhidmat bagi Estet Perindustrian Jurong, sedang dijalankan dan butiran lanjut akan diumumkan kelak.



Laporan lanjut : 75% kerja struktur Depoh Bersepadu East Coast siap, disasar selesai pada 2025




File

Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >