Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

TEMPOH PRESIDEN HALIMAH YACOB BERAKHIR

Legasi Presiden Halimah berterusan

Puan Halimah berjaya dekati pelbagai golongan masyarakat, wujudkan S’pura yang lebih inklusif sepanjang tempoh perkhidmatannya
Sep 14, 2023 | 05:30 AM



Ramai yang mungkin mengaitkan tempoh khidmat Presiden Halimah Yacob sebagai ketua negara dengan episod Singapura dilanda wabak Covid-19.

Secara peribadi, Presiden Halimah lebih senang dikenang sebagai presiden yang “berusaha mewujudkan Singapura yang lebih inklusif”, seperti yang didedahkan dalam temu ramah sebelum ini.

Sepanjang tempoh khidmatnya selama enam tahun, matlamat membentuk masyarakat lebih inklusif itu terserlah melalui isu-isu sosial yang diperjuangkan – sama ada melalui pandangan peribadi yang diluahkan, acara yang dihadiri, mahupun badan amal yang disokong.

Meskipun skop tugas sebagai Presiden negara ini pada asasnya agak terhad, Puan Halimah berjaya membuktikan ia bukan sekadar lambang dan saya yakin beliau akan terus dikenang sebagai Presiden berjiwa rakyat yang “meminjamkan” suaranya kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Ini meskipun tempoh khidmatnya berlatarbelakangkan isu berkaitan Pilihan Raya Presiden yang dikhususkan untuk masyarakat Melayu yang digembar-gemburkan semasa awal penggalnya.

Namun, sepertimana yang didedahkannya sebelum ini, apa yang penting bagi beliau adalah untuk menyerlahkan sumbangannya dan bagaimana beliau telah memainkan peranan sebagai presiden dalam “mengubah kehidupan orang ramai”.

Tumpuan tersebut telah mendorongnya untuk menyuarakan pandangan terhadap isu serta topik yang mungkin dilihat lebih sensitif.

Ini termasuk berkaitan undang-undang yang membenarkan perogol lelaki berumur lebih 50 tahun ke atas elak dirotan dan juga komen “memalukan serta misoginistik” (lelaki yang benci pada wanita) oleh program podcast OKLETSGO.







Di peringkat nasional, presiden berjiwa rakyat itu telah memberi sumbangan besar kepada kemajuan negara termasuk dalam menggalak perpaduan sosial dalam kalangan rakyat merangkumi pelbagai masyarakat, keperluan dan latar belakang.

Bahkan di peringkat luar negara, Puan Halimah juga memainkan peranan cemerlang sebagai wakil Singapura sehingga sering mendapat sanjungan pemimpin luar negara.

SUARA BAGI SEMUA

Sepanjang enam tahun perkhidmatannya, beliau telah berusaha mendekati pelbagai golongan masyarakat, namun ada beberapa golongan yang mempunyai tempat istimewa di hatinya, termasuk golongan wanita.

Dalam ucapan yang disampaikan semasa majlis perpisahan beliau di Istana pada Khamis, Puan Halimah berkata peranan yang dimainkan sebagai presiden wanita pertama bagi Singapura memberinya peluang mencetus inspirasi bagi wanita lain, terutama golongan lebih muda.

Katanya: “Ada seseorang yang memberitahu saya bahawa saya telah “memberi kesempatan kepada orang lain untuk membayangkan Presiden sebagai seorang wanita” dan “bayangan dan idea akan mencetus realiti”.

Tambah Puan Halimah, beliau cukup berbesar hati jika beliau berjaya memperkasa wanita dan mendorong mereka memenuhi potensi mereka.

Selain legasinya sebagai presiden wanita pertama Singapura, Puan Halimah banyak bersuara dan memperjuangkan nasib wanita demi memartabatkan kesaksamaan jantina untuk bersaing dalam dunia yang sengit.







Ini termasuk dalam menyokong Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang dikeluarkan oleh pemerintah pada 2022.

Semasa tempoh khidmatnya juga, Puan Halimah telah berusaha meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental, memperkasa golongan berkeperluan khas dan juga memastikan masyarakat Singapura lebih inklusif secara digital dan ini jelas dilihat melalui tumpuan acara tahunan Cabaran Presiden.

Pada 2018, Puan Halimah juga telah melancarkan Dana Memperkasa Sepanjang Hidup di bawah Cabaran Presiden, memperuntukkan lebih $10 juta dalam tempoh lima tahun untuk membantu golongan kurang bernasib baik untuk mengubah haluan hidup mereka.







Malah, isu-isu yang diperjuangkannya semasa berkhidmat sebagai Presiden sudah menjadi keprihatinannya semasa tempohnya sebagai Anggota Parlimen (AP) – beliau terkenal akan kesungguhannya mendekati warga Singapura dan mendengar keluhan mereka.

Pendekatan ‘close to the ground’ (rapat dengan masyarakat) beliau ini diteruskan meski setelah menjawat jawatan tertinggi negara dan kalendarnya penuh dengan komitmen di dalam dan luar negara.







Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata Presiden Halimah akan dikenang sebagai Presiden yang menyuntik kembali tenaga bagi jawatan tertinggi itu.

Menurut pakar politik dan pensyarah di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Felix Tan, Puan Halimah disenangi sebagai AP dan ini membantu beliau dalam tugasnya sebagai Presiden.

“Beliau mampu berhubung dengan semua lapisan masyarakat. Beliau berjaya menghubungkan jawatan Presiden ini dengan warga Singapura.

“Ini menunjukkan bahawa beliau bukan sekadar lambang,” kata Dr Tan.

Puan Halimah telah meninggalkan legasi jawatan Presiden Singapura yang dinamik dan dekat dengan rakyat dan ini dijangkakan daripada Presiden Singapura seterusnya.

Yang jelas, kita pasti rindu melihat beliau mewakili Singapura di peringkat dunia, berdiri setaraf dengan pemimpin dunia lain.

Terima kasih, Puan Halimah.

Ucapan terima kasih kepada Presiden Halimah




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >