Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lelaki didakwa sebar ajaran sesat, termasuk nikah batin

Aug 01, 2023 | 12:40 PM



Seorang lelaki yang didakwa menyebar ajaran bertentangan dengan syariah Islam termasuk mengaku dirinya sebagai seorang khalifah dan kononnya boleh memanggil roh ‘Mbah’, atau roh Nabi Muhammad, telah dihadapkan ke mahkamah pada Selasa.

Mohd Razif Radi, 65 tahun, dikenakan dua tuduhan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) kerana mengajar doktrin yang bertentangan dengan syariah dan mengendalikan sebuah sekolah agama yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa.

Dalam doktrin yang diajarnya, Mohd Razif juga dikatakan menyampaikan ajaran bahawa dalam Islam judi dibenarkan dan lelaki dan wanita boleh berkahwin secara “nikah batin”.

Menurut dokumen mahkamah, warga Singapura itu didakwa mengajar doktrin yang bertentangan dengan Islam antara sekitar 2004 dengan 2020.

Dia mendakwa dirinya mempunyai kedudukan sebagai khalifah dan boleh ‘menjelmakan roh Mbah yang merupakan Nabi Muhammad atau daripada keturunan Nabi Muhammad’.

Antara sekitar 2017 dengan 2020, dia dipercayai mengendalikan sebuah sekolah agama Islam yang tidak mendaftar di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Lina’s Cafe, di 7 Jalan Pisang di Kampong Gelam.

Tinjauan Berita Harian di laman Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) mendapati Mohd Razif adalah pemegang saham dan pengarah Lina’s Cafe dan status syarikat itu masih aktif.


Polis berkata dalam satu kenyataan pada Isnin bahawa siasatan mula dijalankan ke atas lelaki itu setelah Muis membuat laporan polis terhadapnya pada 24 Ogos 2021.

Menurut polis, siasatan itu sudah selesai dan setelah berunding dengan Pejabat Peguam Negara, lelaki itu didakwa atas dua tuduhan di bawah Amla.

Menurut laman Pejabat Mufti, sebuah fatwa yang menjelaskan ciri-ciri ajaran sesat dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa pada 2021 dan ia menyatakan, antara lain, bahawa penerimaan wahyu atau ilham menerusi proses “menurun” yang didakwa oleh seseorang itu bertentangan dengan syariah.

“Dakwaan itu bertentangan dengan syariah Islam kerana tiada sebarang individu boleh mendakwa bahawa dia menerima wahyu daripada Allah, selain Nabi dan Rasul,” kata fatwa itu.

“Tiada Nabi dan Rasul selepas Nabi Muhammad, yang bermakna penerimaan wahyu telah berakhir selepas Nabi Muhammad,” tambahnya.

Ciri-ciri lain yang dinyatakan fatwa itu termasuk ajaran yang mengubah peraturan Islam dan membolehkan perbuatan yang jelas dilarang dalam Islam, seperti nikah batin dan berjudi.

Fatwa itu dikeluarkan selepas Pejabat Mufti menerima pertanyaan daripada pejabat Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), menyusuli sebuah laporan akhbar The Straits Times pada 9 November 2020 mengenai seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai nabi dan mempunyai lima isteri “nikah batin”.


Selepas laporan ST diterbitkan, Muis berkata ia mula mengesan kes itu pada 2018. Muis berkata ia telah mengeluarkan nasihat rasmi kepada lelaki berkenaan, yang tidak mempunyai kelayakan atau pendaftaran sebagai guru agama di bawah ARS, supaya menghentikan kegiatannya serta-merta.

Kes Mohd Razif ditangguh ke 1 September bagi sidang praperbicaraan.

Sesiapa yang didapati bersalah mengajar doktrin atau menjalankan sembarang upacara atau perbuatan berkait agama Islam yang bertentangan dengan syariah boleh dikenakan hukuman denda hingga $2,000 atau penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Mereka yang didapati bersalah mengendalikan sekolah agama Islam tidak berdaftar dengan Muis boleh didenda hingga $2,000 atau dipenjara hingga 12 bulan atau dikenaka kedua-dua hukuman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >