Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lelaki seleweng $61,000 termasuk wang umrah jemaah

Kesalahan termasuk jalankan perniagaan ejen pelancongan tanpa lesen, guna wang pelajar program PhD untuk pelancongan
Jul 07, 2023 | 07:49 PM



Seorang lelaki mengakui pada Jumaat menyeleweng hampir $61,000 daripada beberapa mangsa menerusi beberapa kaedah, termasuk pakej umrah.

Antara mangsanya ialah beberapa individu yang memberikan wang hampir $33,000 bagi beberapa perkara, termasuk melakukan umrah.

Rasman Saridin menyeleweng lagi $27,900 daripada lima lagi individu yang telah membuat bayaran bagi program doktor falsafah (PhD) tiga tahun dalam bidang pembelajaran Islam di sebuah universiti di Indonesia.

Secara berasingan, Rasman juga menerima sejumlah $79,500 dengan melakukan kesalahan di bawah Akta Ejen Pelancongan.

Dia menjalankan perniagaan ejen pelancongan secara haram meskipun tidak mempunyai lesen untuk berbuat demikian.

Warga Singapura berusia 56 tahun itu mengakui bersalah pada Jumaat atas lima tuduhan, termasuk dua dakwaan pecah amanah jenayah melibatkan $28,850 dan satu dakwaan di bawah Akta Ejen Pelancongan yang dikaitkan dengan wang lebih $6,000.

Lagi 18 tuduhan, termasuk tuduhan melibatkan baki wang yang diseleweng berjumlah hampir $32,000, akan ditimbangkan semasa penghukuman.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Grace Chua berkata antara mangsanya ialah seorang lelaki berusia 44 tahun yang ingin menceburi program PhD dalam pembelajaran Islam pada 2014.

Beliau melihat satu iklan mengenai satu kolaborasi antara sebuah universiti Indonesia dengan sebuah syarikat bernama Azzam Educational & Event Management Services.

Pada ketika itu, Rasman merupakan pengarah firma tersebut dan telah membantu individu itu membuat pendaftaran masuk ke universiti tersebut. Butiran berkenaan universiti berkenaan tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Antara 2016 dengan 2017, sebuah lagi syarikat yang dimiliki Rasman, Azzam Travel & Tour, mengalami cabaran kewangan.

Dia kemudian menyeleweng sebanyak $7,000 daripada yuran kursus yang dibayar lelaki itu untuk program PhD tersebut, dan sebaliknya menggunakan wang itu bagi perusahaan pelancongannya.

Pada September 2017, universiti yang disertai mangsa itu memberitahu beliau bahawa bayarannya berjumlah $7,000 bagi programnya masih belum dibayar, dan beliau perlu melunaskan bayaran itu untuk menyelesaikan kursus tersebut.

Empat lagi pelajar menerima pemberitahuan serupa dan salah seorang daripada mereka membuat laporan polis pada Disember 2017.

Sejak itu, Rasman telah memulangkan $300 kepada pelajar lelaki itu.

DPP Chua memberitahu mahkamah bahawa pada 2018, seorang anak perempuan Rasman mendaftar sebuah syarikat bernama Khalifah SG (KSG) dan Rasman menganjurkan beberapa acara di bawah syarikat itu.

Dari Jun 2019, dia mula mengeluarkan iklan menerusi beberapa saluran bahawa KSG akan menawarkan beberapa pakej umrah.

Seorang wanita berusia 33 tahun dan keluarganya membuat pendaftaran bagi pakej itu, yang sepatutnya dijalankan dari 28 November hingga 9 Disember 2019.

Wanita itu membayar Rasman lebih $6,000 tetapi dia menggunakan wang itu bagi kegunaan peribadi.

Pada 28 November 2019, wanita itu dan beberapa anggota kumpulan umrah tersebut bertemu Rasman di Lapangan Terbang Changi.

Dia memberitahu mereka perjalanan itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan satu “isu visa” dan kemudian tidak boleh dihubungi.

Wanita itu membuat laporan polis pada hari seterusnya dan siasatan mendapati Rasman tidak memegang sebarang lesen daripada Lembaga Pelancongan Singapura, yang diperlukan untuk menguruskan perniagaan ejen pelancongan.

Dalam satu isu berasingan, DPP Chua berkata Rasman disahkan muflis pada 2 November 2017 dan dilarang meninggalkan Singapura tanpa izin rasmi.


Biarpun begitu, dia keluar negara dalam tiga kejadian pada 2018.


DPP Chua berkata Rasman mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan pernah dijel bagi beberapa kesalahan termasuk pencurian.


Mitigasi dan penghukuman bagi kesalahan semasa Rasman akan berlangsung pada September.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >