Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Luaskan akses, rancakkan budaya sukan untuk tingkat prestasi atlet: Eric

Jul 06, 2023 | 08:52 PM



Pemerintah akan terus meluaskan akses kepada sukan, memupuk budaya sukan yang rancak, serta menyokong atlet dan para-atlet untuk mencapai potensi mereka.

Matlamatnya bukan semata-mata untuk mengumpul pingat, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua.

Beliau berkata demikian di Parlimen pada Khamis sebagai menjawab usul yang telah dibentangkan oleh Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) dan Encik Faisal Manap (GRC Aljunied), yang menggesa pemerintah untuk menjalankan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem sukan Singapura.

“Matlamat kami adalah untuk menang! Tetapi kita mesti menentukan dengan tepat apa itu ‘menang’, sambil menyedari bahawa kita tidak boleh bersaing secara langsung dengan negara yang mempunyai populasi yang besar.

“Ini juga tidak seharusnya terhad kepada pingat. Sebaliknya, kami memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem sukan dan sistem sokongan,” kata Encik Chua.

Pada Sukan SEA 2023, atlet Singapura mempamerkan keputusan cemerlang dengan merangkul 51 emas, 43 perak dan 64 gangsa, termasuk lapan rekod permainan, 17 rekod negara dan 40 rekod terbaik peribadi.

Atlet belia membawa pulang 30 peratus pingat emas Team Singapore (TeamSG), khususnya daripada Encik Izaac Quek, 16 tahun, dan Encik Nicholas Mahabir, 18 tahun.

Para-atlet juga turut menggondol pencapaian cemerlang termasuk 12 emas, 15 perak dan 17 gangsa, sambil memecahkan 9 rekod permainan, 16 rekod negara dan 17 rekod terbaik peribadi.

Meskipun begitu, beberapa AP yang berkongsi lebih banyak perubahan sistemik diperlukan untuk menyokong atlet, termasuk menjadikan kemudahan sukan dan sistem sokongan lebih mudah diakses oleh atlet, dan bakal atlet.

“Sebanyak mana kita meraikan pencapaian atlet kita, kita juga harus sedar di mana kita telah gagal. Ini tidak mengurangkan pencapaian sukan mereka.

“Tetapi melainkan kita boleh melihat secara terus terang pada kedua-dua kemenangan dan kekalahan, kita tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang perlu kita lakukan untuk menjadi lebih baik. Lagipun, setiap ahli sukan atau pasukan yang berjaya melalui post-mortem yang sama selepas pertandingan. Kita perlu melakukan perkara yang sama di sini,” kata Dr Jamus Lim.

Seramai 15 Anggota Parlimen termasuk Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) bangkit bercakap berhubung isu itu yang menyeru pemerintah untuk terus melabur dalam kemudahan sukan tempatan dan menambah pembiayaan program kejurulatihan di peringkat masyarakat khususnya dalam sukan bola sepak.

“Untuk meningkatkan taraf bola sepak Singapura, kita perlu terlebih dahulu mengembangkan asas penyertaan yang luas. Dari asas yang luas ini, kita perlu mengenal pasti bakat terbaik secara sistematik untuk pembangunan selanjutnya.

“Adalah penting untuk kami melengkapkan jurulatih dan pencungkil bakat kami untuk melakukan ini dengan baik. Bakat yang dikenal pasti perlu menjalani latihan dan pembangunan berstruktur. Mereka perlu bersaing secara kerap, pada tahap yang betul,” kata Dr Wan Rizal.

Dalam jawapannya, Encik Chua berkata walaupun memenangi pingat adalah penting, ia juga penting untuk mewujudkan rancangan yang mampan untuk menyokong atlet.

“Matlamat 2034 ialah projek yang bertujuan untuk merangsang penambahbaikan kepada standard bola sepak kami di semua peringkat. Ini memerlukan pendekatan keseluruhan masyarakat untuk bersama-sama menyokong usaha ini.

“Setiap negara serius tentang sukan dan kami mahu bercita-cita ke arah itu. Tetapi adalah lebih penting bagi kami untuk menumpukan pada membina asas yang mampan dan tahan lama untuk melakar aspirasi sukan, termasuk bola sepak,” kata Encik Chua.

Semasa ucapannya, Encik Chua juga menekankan bahawa atlet Singapura boleh berjaya dalam sukan, tanpa menjejaskan pendidikan, kerjaya dan komitmen terhadap perkhidmatan negara.

Sebagai contoh, atlet lawan pedang Cik Juliet Heng telah memenangi pingat emas dan gangsa bersama dalam Sukan SEA 2023, sambil memperoleh GPA 3.55 daripada 4 dalam Program Diploma Pengajian Perniagaan Politeknik Ngee Ann.

Pemain lari berpagar TeamSG, Encik Ang Chen Xiang merangkul pingat emas semasa Sukan SEA 2023 walaupun terpaksa menjalani latihan dan komitmen sebagai pegawai perubatan di Batalion Komando Pertama.

Berikutan perbahasan itu, parlimen telah menolak usul yang dibentangkan oleh Profesor Madya Lim dan Encik Faisal yang antara lain menggesa pemerintah untuk menjalani penilaian menyeluruh bagi meningkatkan ekosistem di Singapura.

Sebaliknya, parlimen meluluskan usul pindaan yang dicadangkan oleh Encik Darryl David (GRC Ang Mo Kio) yang meminta pemerintah untuk meneruskan usaha tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >