Yayasan Mendaki telah mengubah badan bantu diri itu sejak tiga tahun lalu untuk memenuhi keperluan semasa dan masa depan masyarakat dengan lebih baik, khususnya dalam bidang pendidikan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan dan Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, pada Sabtu.
Bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat agung tahunan Mendaki yang ke-34, Encik Zaqy, yang juga timbalan pengerusi kumpulan badan bantu diri itu, memberi perkembangan terbaru berkaitan tempoh pertengahan pelan kerja lima tahun yang dibangunkan kumpulan itu pada 2020 untuk meningkatkan prestasi akademik dan keupayaan masyarakat, seperti dalam pembelajaran sepanjang hayat.
Kumpulan bantu diri itu tidak lama lagi akan menambah pusat satelit baru di One Punggol untuk mendekati keluarga lebih muda. Butiran lanjut akan diumumkan pada Julai. Ia kini mempunyai lima pusat satelit dan tiga YouthSpaces di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Keperluan buat kumpulan bantu diri itu untuk kekal relevan adalah perkara yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pada 2022.
Pada sambutan ulang tahunnya yang ke-40 ketika itu, PM Lee berkata misi Mendaki untuk memartabatkan masyarakat melalui pendidikan kekal penting, tetapi ia perlu mentafsir pendidikan secara lebih meluas dalam konteks masa kini.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga yang juga Pengerusi Mendaki, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pula berkata Mendaki akan terus menyesuaikan diri dan meningkatkan keupayaannya untuk memenuhi matlamatnya bagi membolehkan individu dan keluarga mencapai kestabilan, berdikari dan mobiliti sosial.
Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, berkata: “Kami telah membantu ramai individu mencapai potensi penuh mereka. Ramai juga yang kembali berkhidmat kepada masyarakat.”
Selain itu, Encik Zaqy berkata Mendaki juga menjalin lebih banyak perkongsian dengan firma untuk menyediakan biasiswa, inisiatif pekerjaan dan sumber pendidikan bagi masyarakat.
Contohnya, ia mempunyai rangkaian profesional dengan sektor teknologi maklumat (IT), perbankan dan kewangan serta sains hayat. Inisiatif ini bermula dengan 30 profesional pada 2022, dan telah berkembang kepada kira-kira 400 sekarang.
Golongan profesional ini bekerjasama dengan Mendaki untuk menganjurkan ceramah kerjaya dan perjalanan pembelajaran buat belia.
“Perkongsian sebegini adalah penting, dan menjunjung semangat gotong royong (yang kami ada) sejak penubuhan kami,” kata Encik Zaqy, merujuk kepada semangat membantu untuk memajukan masyarakat.