Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mufti: Titik berat adab, akhlak dalam tuntut ilmu

Usah rasa cukup, tidak perlu berguru hanya kerana terdapat pelbagai pengisian agama menerusi aneka wadah sosial
Nov 04, 2023 | 05:59 PM



Masyarakat Muslim harus menitikberatkan adab dan akhlak semasa menuntut ilmu, lebih-lebih lagi dalam dunia media sosial hari ini.

Dengan adanya pelbagai pengisian agama menerusi pelbagai wadah sosial, dikhuatiri mereka berasa cukup dengan apa yang diterima dan tidak perlu berguru untuk menuntut ilmu dan mendalami adab, kata Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Ulama Kepulauan Melayu-Indonesia di HomeTeamNS Khatib pada Sabtu.


Seminar tersebut bertujuan mendedahkan peserta kepada peranan ulama nusantara dalam dakwah dan pendidikan. Ia diselenggarakan secara bersama oleh pusat pendidikan Al-Zuhri, Andalus dan Cordova,

Dr Nazirudin turut melancarkan buku biografi Kyai Ahmad Zuhri Mutammim tulisan Cik Sundusia Rosdi, seorang mantan pustakawan kanan.

Dalam ucapannya, Mufti menjelaskan kini terdapat fenomena “santri baru” dengan pengisian agama diperoleh menerusi wadah sosial.

Sungguhpun ada baiknya, ada kala maklumat yang disebar boleh menimbulkan kebingungan, mencetus perpecahan dan menimbulkan perbalahan.

“Kita telah melihat kesannya secara langsung dengan pengaruh media sosial, kepimpinan agama – bukan hanya di sini tetapi di tempat lain juga – peranan asatizah diremehkan dan diperlekehkan.

“(Golongan ini) boleh mendapatkan maklumat daripada sumber yang pelbagai dan diandaikan semua sumber itu betul,” kata Dr Nazirudin.

Walhal, tambah beliau, pembangunan masyarakat berhikmah “memerlukan lebih daripada setakat penyebaran dan penghasilan maklumat semata-mata” kerana ia berpandukan adab dan berasaskan akhlak.

Sekiranya kepentingan akhlak dan adab gagal difahami, ia boleh menyebabkan berlakunya pelbagai kecelaruan, ujarnya.

Dr Nazirudin berkata meskipun kemajuan ilmu kian berkembang sejak berabad lalu dan hari ini telah merangkumi pelbagai bidang, ia “tidak semestinya menjadikan dunia tempat lebih bermakna dan beradab”.

Sebaliknya, dunia hari ini menjadi tempat berbahaya, penuh dengan konflik dan kekejaman, dengan perebutan kuasa dan penindasan golongan lemah, ujar beliau.

Lantaran itu, ada keperluan menilai semula maksud dan tujuan ilmu, dan salah satu caranya ialah dengan menghidupkan kembali warisan ulama.

“Kita dapat mengambil pelajaran dan iktibar daripada hasil pemikiran atau penulisan serta amanah ilmu yang terakam dalam sahsiah (keperibadian) keilmuan mereka.

“Usaha ini tidak seharusnya hanya terbatas pada mengenang, tetapi cuba untuk mengenali pemikiran mereka dengan lebih baik dan mengambil contoh teladan daripada sumbangan keilmuan mereka untuk membina masyarakat,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Al-Zuhri, Encik Wan Hussin Zoohri, berkata seminar tersebut salah satu cara mengenang jasa ulama yang telah pergi dan mengenalkan tokoh ilmuwan kepada generasi baru.

Sekitar 800 peserta menyertai seminar itu secara fizikal manakala sekitar 400 dalam talian.

Seminar itu menampilkan tiga panelis – Cik Sundusia, Profesor Dr Endin Mujahidin dan Dr Roslan Abd Jelani – masing-masing membentangkan berkenaan ulama berbeza.

Profesor Endin ialah Rektor Universitas Ibn Khaldun Bogor di Indonesia, sementara Dr Roslan mantan pegawai tadbir dan diplomatik Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >