Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Parlimen kutuk pengganasan terhadap orang awam dalam konflik Israel-Hamas, gesa usah biar isu jejas perpaduan S’pura

Pendirian dibuat sebulat suara oleh AP PAP, pembangkang dalam sidang Parlimen
Nov 06, 2023 | 08:28 PM



Parlimen mengutuk pengganasan terhadap orang awam yang tidak bersalah dalam konflik Israel-Hamas, dan menggesa warga Singapura jangan biarkan isu luar negara jejas perpaduan di sini.

Singapura juga tidak boleh sekali-kali membenarkan konflik di negara lain memecahbelahkan masyarakat dan mengganggu keharmonian kaum dan agama di sini, kata Anggota Parlimen (AP) parti pemerintah dan pembangkang.

Parlimen membahaskan usul mengenai konflik Israel-Hamas pada Isnin sekitar enam jam dengan 21 AP, termasuk sembilan AP Melayu/Islam, menyatakan pendirian mereka terhadap isu itu.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Lawrence Wong, menekankan Singapura tidak boleh membenarkan kejadian di luar negara memecahbelahkan masyarakat di sini.

“Kita tidak membawa masuk politik asing. Kita tidak memilih untuk berpihak. Apa yang kita pilih ialah apa yang terbaik bagi Singapura,” ujar beliau.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata apa yang dilakukan Hamas pada 7 Oktober ialah “satu tindakan pengganasan”.

“Secara mutlak, adalah demi kepentingan negara kita untuk berpegang teguh pada pendirian ini bukan hanya kerana kita berasa kasihan terhadap mangsa yang tidak bersalah, tetapi kerana kepentingan negara kita dipertaruhkan.

“Sebagai negara yang begitu kecil, terdedah dan berbilang kaum, Singapura mesti mengambil pendirian jelas dan tidak ragu-ragu menentang pengganasan dalam semua keadaan,” kata Dr Balakrishnan.

Beliau menambah: “Keharmonian agama dan kaum kita sangat berharga. Kita tidak boleh membenarkan apa-apa untuk memecahkan perkara ini atau memecahbelahkan masyarakat kita.”

Ketua Pembangkang yang juga Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, mengatakan konflik yang berterusan di Israel dan Palestin meningkatkan prospek radikalisasi di luar Timur Tengah, menjadikan dunia lebih tidak selamat dan berbahaya bagi semua negara, terutama dalam masyarakat berbilang kaum dan budaya yang tinggal dalam keadaan aman dan harmoni.

“Konflik berterusan di Israel dan Palestin berkemungkinan meningkatkan serangan terhadap orang Yahudi dan Muslim di tempat lain.

“Semua warga Singapura harus sedar dan mengambil berat tentang kemungkinan ini dan memainkan peranan aktif untuk mengelakkannya daripada berlaku di negara kita,” kata beliau.

DPM Wong berkata pada Oktober 2023 sahaja polis menerima lapan laporan kenyataan atau tindakan menyinggung perasaan yang disasarkan pada anggota masyarakat Yahudi atau Islam di Singapura.

Anggota Parlimen Dilantik (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, menggesa warga Singapura daripada semua masyarakat supaya berhati-hati dengan apa yang mereka katakan dan lakukan berhubung isu ini, terutama di forum dalam talian.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk mengelak daripada terlibat dalam retorik yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian yang kita nikmati di Singapura,” katanya.

Usul yang dibahaskan itu difailkan AP Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Vikram Nair (GRC Sembawang), dan disokong dua AP, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Choa Chu Kang) dan Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee).

Ia mengemukakan tindakan serampang enam mata, termasuk mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang tidak bersalah; menyokong penghantaran segera dan akses tanpa halangan bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Gaza; dan mengutuk mereka yang bertanggungjawab bagi perbuatan pengganas dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Usul itu juga meminta semua pihak memastikan keselamatan orang awam, termasuk pembebasan semua tebusan; mengulangi pendirian Singapura mengenai huraian dua negara yang dirundingkan; dan menggesa penjagaan keamanan dan keharmonian berbilang kaum dan agama.

Dalam ucapan mereka, Encik Pritam dan Encik Leong menyatakan parti mereka menyokong usul itu.

Pendirian Singapura terhadap huraian dua negara turut ditekankan AP yang membahaskan usul itu. Encik Wong berkata Palestin dan Israel tahu akan pendirian dan prinsip Singapura.

“Kita bersahabat dengan kedua-duanya, Israel dan Palestin. Namun, ia tidak bermakna kita menyokong semua yang dilakukan oleh kedua-dua pihak. Sebaliknya, kita mengambil pendirian berprinsip secara tekal, sejajar dengan undang-undang antarabangsa sambil menyokong keamanan dan keselamatan global.

“Atas dasar itu, kami telah mengundi menyokong banyak resolusi berkaitan Palestin di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama bertahun-tahun... langkah sepihak oleh Israel menjejaskan huraian dua negara.

“Ia adalah sebahagian daripada alasan semakin ramai warga Palestin berasa bahawa keganasan adalah satu-satunya cara untuk mencapai matlamat mereka. Oleh itu, masyarakat antarabangsa mesti memberi alasan kepada warga Palestin untuk berfikir sebaliknya.

“Laluan tanpa kekerasan menuju ke arah negara Palestin yang merdeka mesti dijelaskan, barulah idea-idea pertubuhan seperti Hamas dan kepercayaannya terhadap penggunaan pengganasan benar-benar boleh dihapuskan,” kata Encik Wong.

Selain perbahasan usul tersebut, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang untuk menutup akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang dimiliki kira-kira 300,000 warga asing mulai April 2024, dan membenarkan penama mengakses dengan lebih mudah maklumat CPF ahli yang meninggal dunia.

Di bawah pindaan Akta CPF itu, Lembaga CPF akan membolehkan maklumat seperti baki simpanan CPF ahli yang meninggal dunia, nama penama dan bahagian wang yang akan diterimanya didedahkan mulai 1 Februari 2024.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >