Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelanggan, pegerai nikmati sekitaran selera di Pusat Makanan Tekka baru

Oct 01, 2023 | 04:56 PM



Lautan pelanggan membanjiri Pasar dan Pusat Makanan Tekka pada hari pertama ia dibuka semula pada Ahad, selepas ditutup tiga bulan untuk dinaik taraf.

Antara lain, bangunan ikonik di sebelah stesen MRT Little India itu mempunyai lantai, meja, kerusi, lampu dan kipas angin baru.

Peniaga di situ menarik nafas lega kerana kadar sewa gerai mereka tidak dinaikkan.

Seorang pelanggan, Encik Muhammad Nazir Yusof, mendapati tiada lagi meja rosak di pusat penjaja itu, menjadikan pengalaman menikmati hidangan di situ lebih menyelerakan.

“Setahu saya saiz meja dan kerusi tidak berubah tetapi warnanya diubah menjadi ungu.

“Dahulu, permukaan beberapa meja berlekuk dan catnya terkupas. Jadi dengan meja baru ini, nampak lebih kemas dan saya rasa pelanggan rasa selera makan di sini kerana keadaannya lebih bersih,” ujarnya.

Pelanggan juga berasa senang apabila mendapati jaring dipasang bagi menghalang burung terbang masuk ke ruang makan dan hinggap di atas meja.

Seorang pegerai, Encik Zainon Ahmad, 75 tahun, teruja jaring itu dipasang kerana ia membolehkan pelanggan tetapnya makan dengan lebih selesa tanpa diganggu burung.

Pasar itu juga dinaik taraf, terutamanya dengan lantai baru. Menurut seorang pelanggan tetap pasar itu, Cik Maimunah Salleh, lantai pasar itu kini tidak selicin lantai lama.

“Saya selalu berhati-hati apabila berjalan di pasar ini kerana lantainya selalu licin disebabkan air atau minyak yang mengalir. Bimbang tergelincir dan jatuh.

“Tetapi lantai baru ini tidak selicin lantai lama. Saya perhatikan yang saya boleh berjalan lebih pantas tanpa risau,” ujar beliau.

Setuju dengan Cik Maimunah, seorang peniaga daging, Encik Hamid Buang, berkata dahulu beliau sering berasa seolah-olah akan terjatuh ketika melakukan kerjanya.

Pemilik gerai Hamid & Sons itu, yang sudah berniaga di situ lebih 10 tahun, berkata langkah menukar lantai pasar itu amat dialu-alukan.

“Lantai baru bukan sahaja tidak selicin seperti lantai lama, malah lebih bersih,” katanya.

Pada masa sama peniaga di pasar dan pusat penjaja itu melahirkan rasa syukur kerana kadar sewa tidak dinaikkan selepas kerja naik taraf.

Oleh itu, beliau tidak perlu menaikkan harga produk yang dijualnya, kata Encik Hamid.

“Yang pasti harga daging yang saya jual tidak akan dinaikkan selepas kerja naik taraf ini,” kata beliau.

Pembukaan semula Pasar dan Pusat Makanan Tekka dirasmikan pada Sabtu oleh Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan.

Menurut Encik Tan, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, perubahan juga telah dibuat pada infrastruktur di sekitar pasar dan pusat makanan itu, seperti mengadakan tempat merokok baru, muka bangunan baru, dan ruang memunggah baru yang membolehkan kenderaan tidak menghalang trafik di Buffalo Road.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >