Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penjaga pesakit demensia harus dapatkan bantuan apabila perlu

Sep 25, 2023 | 05:30 AM



Menjaga pesakit demensia bukan sahaja tidak mudah malah boleh memudaratkan si penjaga.

Cabaran yang dilalui ketika menjaga ibunya menyebabkan Cik Hadijah Osman berasa amat tertekan hingga doktor mengesyorkan beliau sendiri berjumpa pakar psikiatri.

“Memang sukar menjaga seorang pesakit demensia, kerana kelakuan dan tindakan mereka kadangkala tidak menentu.

“Apabila saya menawarkan untuk menjaga ibu saya yang berusia 80 tahun selepas beliau disahkan menghidap demensia pada 2019, saya tidak terlalu memikirkan tentang penjagaan beliau.

“Saya akur memang sukar apabila anda tidak mempunyai banyak pengetahuan dan ilmu dalam menjaga pesakit demensia.

“Doktor juga mencadangkan saya berjumpa pakar psikiatri kerana saya sering dilihat seolah-olah terlalu tertekan,” kata Cik Hadijah, 64 tahun.

Berkongsi pengalaman beliau menjaga ibunya yang kini berusia 83 tahun, Cik Hadijah berkata beliau sering perlu berdepan dengan emosi ibunya yang tidak menentu.

Sejak ibunya menghidap demensia, Cik Hadijah dan keluarganya mengawal pergerakan beliau dan menghalang beliau keluar rumah tanpa ditemani.

“Ibu saya memang suka keluar rumah. Pernah sekali beliau tidak ingat bagaimana hendak pulang ke rumah.

“Beliau keluar berjalan sendirian dari Ang Mo Kio hingga ke Upper Serangoon.

“Mujur kami dapat menjejak beliau, dan mulai kejadian itu saya dan adik-beradik saya memutuskan tidak membenarkan beliau merayap seorang diri,” tambah nenek tujuh cucu berusia antara setahun dengan 11 tahun itu. 

Satu tinjauan yang dijalankan pada Julai oleh Milieu Insight, sebuah firma penyelidikan pengguna di Asia Tenggara, dan Demensia Singapura, mendapati lebih tujuh dalam 10, atau 74 peratus, penjaga pesakit demensia berasa amat dibebani dengan tanggungjawab menjaga pesakit.

Mereka berkata antara cabaran yang perlu ditangani ialah tekanan emosi dan mental diri mereka sendiri.

Tinjauan terhadap 1,500 orang itu menunjukkan kesan demensia bukan dirasakan oleh mereka yang menghidap keadaan itu sahaja, malah penjaga mereka.

Dalam satu laporan akhbar The Straits Times, Ketua Eksekutif Demensia Singapura, Encik Jason Foo, berkata: “Ramai penjaga berkongsi betapa mereka sering mengalami rasa bimbang yang amat apabila mendapat tahu tentang diagnosis itu.


“Ketidakpastian, ditambah pula dengan keperluan membuat perubahan dan penyesuaian drastik pada rancangan kerja dan gaya hidup mereka, adalah satu perkara yang menggerunkan. 

“(Jika) dibiarkan, kemurungan boleh berlaku.”

Meskipun beban kewangan bukan yang teratas dalam senarai cabaran yang dihadapi penjaga, lebih daripada enam dalam 10 penjaga (66 peratus) percaya peningkatan sokongan kewangan dapat mengurangkan beban mereka serta keluarga mereka dengan ketara.

Kajian itu juga mendapati terdapat keinginan bersama dalam kalangan penjaga untuk program yang lebih khusus, seperti pusat jagaan harian dan penjagaan diri di rumah, yang memenuhi keperluan mereka yang mengalami demensia.

Ia turut mendedahkan bahawa satu dalam tiga orang masih tidak biasa dengan keadaan demensia dan gejalanya.

Dengan pengetahuan dan pemahaman cetek tentang demensia, sesetengah penjaga mungkin berasa tekanan apabila menjaga seseorang yang menghidap demensia.

Presiden Kelab Heal, Dr Radiah Salim, berkata ada penjaga enggan mendapatkan bantuan atau sokongan, walaupun ia disediakan.

“Di Kelab Heal sendiri kami menyediakan program-program khusus buat pesakit demensia serta penjaga mereka, seperti program penjagaan demensia, antara lain. 

“Program ini diadakan di pusat-pusat kami dan mereka yang berminat boleh menyertainya. 

“Di Kelab Heal, kami juga menyediakan sebuah Pasukan Penglibatan dan Sokongan Sumber Masyarakat (CREST) khusus buat penjaga pesakit demensia dan sentiasa sedia memberi sokongan dan nasihat jika diperlukan.

“Menerusi CREST juga kami ingin memperkasa penjaga dan berkongsi pengetahuan agar mereka lebih peka dalam pengurusan pesakit demensia,” kata Dr Radiah.

Kajian tersebut juga mendapati penjaga bergantung pada teknik relaksasi dan sokongan sosial daripada kumpulan sokongan untuk menangani beban emosi mereka.

“Adalah penting penjaga mempunyai rakan penjaga lain di sekeliling mereka dan orang yang dapat menyokong mereka, sama ada keluarga, rakan, rakan sekerja atau kakitangan penjagaan profesional, yang sentiasa bersedia mendengar keluhan mereka dan mengingatkan mereka tentang kepentingan penjagaan diri,” ujar Encik Foo.

Bersetuju, Cik Hadijah bersyukur sokongan yang diperolehi daripada keluarganya dan CREST amat membantu beliau mengharungi cabaran yang dihadapi ketika menjaga ibunya.

“Adik-beradik saya sering membantu dan kadangkala menawarkan diri mereka untuk menjaga ibu kami dan memberi saya peluang meluangkan masa bersama keluarga saya sendiri.

“Program yang disediakan Kelab Heal juga sangat bermanfaat. Contohnya, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pesakit demensia saya menyertai program pendidikan demensia yang dikongsi oleh penjaga lain.

“Alhamdulillah ini banyak membantu mengurangkan tekanan serta beban yang pernah saya rasakan dahulu,” ujar Cik Hadijah. 

Menggesa penjaga pesakit demensia mendapatkan bantuan apabila perlu, Dr Radiah berkata: “Adalah penting mereka yang perlukan bantuan tampil mendapatkannya. Tiada apa yang perlu dimalukan.

“Mendapatkan bantuan mencerminkan ketabahan seseorang dan Kelab Heal sentiasa bersedia menghulurkan bantuan,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >