Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penyakit Crohn, artritis tidak patahkan semangat anak 9 tahun terus aktif

Jul 31, 2023 | 05:35 PM



Seperti kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang lain, Muhammad Nazim Razaliwandy sentiasa aktif dan lasak.

Daripada berlari-lari hingga ke bermain bola bersama adik beradiknya, anak ketiga daripada empat beradik itu memang disifatkan sebagai anak yang ceria.

Namun begitu, ini berubah pada 2021 apabila Nazim mula berjalan tempang di rumah.

Menurut ibunya, Cik Siti Zakiah Sarifudin, pada awalnya beliau tidak berfikir banyak tentang keadaan tersebut.

“Saya dan suami pada mulanya fikir mungkin dia sakit kerana terlanggar ketika bermain bola bersama kawan-kawan dan adik-beradiknya atau beliau penat.

“Tapi lama kelamaan, kami perhatikan bahawa cara dia berjalan itu tidak normal dan tergerak untuk membawanya ke doktor,” kata Cik Siti Zakiah, 41 tahun.

Apabila membawa Nazim ke Hospital Kanak-Kanak dan Wanita KK, Cik Siti Zakiah menjelaskan pada mulanya, para doktor tidak dapat memberi diagnosis mengapa dia mengalami kesakitan di kakinya.

Namun setelah sebulan diwadkan, Nazim akhirnya disahkan menghidapi penyakit Crohn, sejenis radang usus dan artritis.

Penyakit Crohn merupakan penyakit kronik yang menyebabkan tisu usus radang dan menyebabkan sakit perut, cirit-birit yang teruk, keletihan, penurunan berat badan dan kekurangan zat.

Menurut Cik Siti Zakiah, keadaan ini juga menjejas keadaan artritis Nazim.

Akibat keadaannya itu, beliau menambah bahawa anaknya itu kadangkala harus menggunakan kerusi roda untuk bergerak kerana mengalami kesakitan yang teruk pada kakinya.

Ditanya tentang perasaannya sebagai seorang ibu, Cik Siti Zakiah hanya dapat mengeluh.

“Hati saya sangat sedih apabila saya mendapat tahu bahawa ini merupakan penyakit kronik dan tiada ubat yang dapat membantu anak saya,” luahnya dengan sebak.

“Nazim merupakan seorang anak yang sangat lasak dan aktif. Jadi apabila saya melihatnya begini dan mendengar bahawa dia mungkin mengalami isu pergerakan dalam masa akan datang kerana keadaannya, saya amat sedih,” tambah Cik Siti.


Sementara itu, berkongsi pengalamannya, Nazim yang kini berusia sembilan tahun, berkata rasa sakit itu boleh menyerangnya pada bila-bila masa.

Apabila diserang dengan penyakit Crohn, Nazim berkata beliau tidak dapat melakukan apa-apa dan hanya mampu menangis dan meraung dalam kesakitan.

“Saya hanya terbaring dalam kesakitan.

“Ia rasa seperti perut saya diputar dan dicucuk berulang kali. Ketika itu saya hanya dapat cuba untuk mengawal nafas saya,” jelas Nazim.

Disebabkan artritisnya pula, dia tidak boleh mengangkat barangan yang terlalu berat.

Selain itu, ekoran keadaan penyakitnya itu, Nazim kadangkala ketinggalan di sekolah.

Menurut Cik Siti, Nazim hanya dapat menghadiri sekolah sebanyak 44 hari pada tahun lalu.

“Di sekolah apabila dia mengalami serangan itu, guru-gurunya serta rakan-rakannya akan membantunya.

“Mereka sering memberinya ruang untuk berehat, tetapi kadangkala serangan itu keterlaluan dan Nazim harus dibawa pulang,” jelas suri rumah itu.

Untuk memastikan bahawa Nazim tidak ketinggalan di sekolah, Cik Siti berusaha untuk mengajar anaknya di rumah seberapa yang boleh.

Walaupun masa depannya masih tidak menentu, Nazim dan keluarganya tetap mempunyai sikap positif untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Sebagai penggemar bola, setiap minggu beliau akan berkumpul bersama abang-abangnya untuk bermain bola bersama di Flair Football Academy, di salah satu cawangannya yang terletak di Yishun.

“Jika saya boleh, saya akan pergi dan cuba untuk bermain.


“Saya suka sangat bermain dengan abang-abang dan kawan-kawan saya. Jadi selagi saya boleh lari dan bermain, saya akan melakukannya,” katanya penuh bersemangat.


Baru-baru ini, Flair Football Academy telah mengadakan perlawanan amal khas untuk Nazim antara kakitangan mereka dan Kelab Bola Sepak Geylang International.


Pengasas akademi itu, Encik Ibrahim Chemad berkata perlawanan itu bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan akademi dan memberi motivasi kepada Nazim dan pemain di akademi agar mereka akan sentiasa menyokong perjalanannya.


“Saya berharap dapat menggunakan platform ini untuk terus menyebarkan kesedaran tentang penyakit ini.


“Pada masa yang sama kita ingin Nazim tahu bahawa kita sentiasa bersamanya dan ingin menghasilkan ruang yang inklusif baginya,” ujar Encik Ibrahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >