Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perkukuh semangat rakyat; bina masyarakat inklusif, adil dan saksama

Ucapan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong dalam bahasa Melayu
Aug 20, 2023 | 07:33 PM



Kita semua bangkit sepenuhnya daripada pandemik Covid-19. Kini, kita lebih kukuh dan berdaya tahan sebagai satu Singapura.

Tetapi, kita berdepan dengan pelbagai cabaran baru yang semakin rumit, yang memerlukan kita bersatu padu untuk mengatasinya, sebagai satu rakyat.

Pasukan 4G, yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah melancarkan inisiatif ‘Melakar Hala Tuju Singapura’ atau Forward SG.

Mereka berbincang, bertukar-tukar idea dan bekerjasama dengan ribuan rakyat Singapura daripada segenap lapisan masyarakat.

Saya gembira badan-badan dan masyarakat Melayu/Islam juga turun padang untuk sama-sama menyumbang secara aktif dalam Forward SG.

Inisiatif ini penting untuk menyegarkan kontrak sosial kita, menentukan Singapura yang kita idam-idamkan, dan cara terbaik mencapainya.

PEKERJAAN DAN MATA PENCARIAN

Antara perkara yang kita idam-idamkan tentulah kemajuan ekonomi, pekerjaan dan mata pencarian yang mantap.

Namun, keadaan dunia pada masa hadapan dijangka tidak menentu dan terus bergelora.

Sungguhpun demikian, sebenarnya banyak peluang tersedia bagi mereka yang berani merebutnya.

Sektor-sektor ekonomi baru sedang bercambah, mewujudkan pekerjaan baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Satu contoh adalah bidang digital, yang amat memerlukan kemahiran baru dan ilmu yang mendalam.

Malah bidang digital menawarkan peluang pekerjaan yang sangat luas.

Anda boleh menjadi penggiat YouTube, saintis data atau seorang pereka UX (pengalaman pengguna) atau UI (antaramuka pengguna).

Siapa kata dengan permainan ‘online’ (dalam talian), kita tak boleh cari makan?

Sebenarnya, boleh! Bagaimana caranya? Dengan menjadi seorang pemain profesional, jurulatih, ataupun pengulas.

Saya gembira semakin ramai yang berpindah ke sektor digital termasuk karyawan Melayu/Islam.

Saya difahamkan sekumpulan mereka yang menempa nama sebagai pakar dalam bidang IT bergabung di LinkedIn.

Ditubuhkan tahun lalu, rangkaian yang dikenali sebagai ‘Malay Muslims iN Tech’ kini mempunyai hampir 400 anggota.

Mereka menganjurkan bengkel, seminar dan sesi-sesi rangkai kerja untuk menggalakkan perkongsian idea, kemahiran serta peluang-peluang baru.

Seorang daripada mereka ialah, Atiqah Abdul Khalim. Beliau lulus dengan ijazah Sains Politik dari NUS (Universiti Nasional Singapura) tetapi kemudian memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang berlainan sekali – rekaan digital UX bagi aplikasi, laman web atau peranti.

Sejak itu, beliau bekerja sebagai pereka UX di beberapa syarikat teknologi besar seperti Razer, Shopee dan kini di Rakuten Viki.

Pada 2018, Atiqah mempamerkan kehandalannya di Cabaran Teknologi Hackathon Masjid-Masjid.

Wadah e-dagang rekaan pasukannya bagi barangan terpakai, muncul juara.

Kini sebagai pereka kanan UX dan juga instruktor, beliau berkongsi minat dan kepakaran dalam rekaan digital kepada para pelajarnya.

Syabas Atiqah!

Semua ini merupakan peluang baik yang perlu kita manfaatkan.

Namun, di sebalik peluang-peluang ini, timbul tekanan-tekanan untuk sentiasa mengikuti trend terkini.

Timbul juga kebimbangan bahawa pekerjaan anda mungkin diambil alih robot atau aplikasi AI, kecerdasan buatan.

Memang kita menjangkakan lebih banyak gangguan kepada pekerjaan.

Lebih ramai pekerja kita akan terjejas dan mungkin hilang pekerjaan beberapa kali sepanjang kerjaya mereka.

Hakikatnya, pekerjaan sangat penting dalam kehidupan kita. Pekerjaan bukan sekadar mata pencarian bagi keluarga kita, malah ia juga penanda identiti kita, lambang kebanggaan dan harga diri kita, yang juga menjadi inspirasi kepada anak-anak kita.

Apabila kita hilang pekerjaan, kita mungkin cepat putus asa dan hilang keyakinan.

Lantaran itu, pemerintah mengambil pelbagai langkah untuk membantu para pekerja memperoleh kemahiran baru dan beralih ke sektor-sektor baru.

Sebagai contoh, Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture dan Program Penukaran Kerjaya, Tenaga Kerja Singapura (WSG).

WSG dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja NTUC (e2i) pula boleh membantu anda mencari pekerjaan baru.

Namun, rentak perubahan dijangka semakin pantas. Bagi kita yang hilang pekerjaan, kita tahu jalan keluarnya, jelas – iaitu latihan semula demi mencari pekerjaan yang lebih baik dalam jangka panjang.

Tetapi tekanan kewangan dan tanggungjawab untuk menyara keluarga, akan mengganggu fikiran dan pilihan kita.

Jadi susah sekali untuk mengikuti kursus kemahiran. Sering kali, kerana terdesak, kita terus merebut apa saja pekerjaan yang ditawarkan.

Pemerintah faham kesusahan yang dihadapi golongan pencari kerja.

Kami mendengar kebimbangan anda dalam soal ini semasa sesi-sesi perbincangan Forward SG.

Jadi, kami sedang melakarkan satu skim yang menawarkan sokongan kewangan sementara bagi pekerja yang diberhentikan, semasa anda meningkatkan kemahiran.

Skim ini akan meringankan tekanan yang dihadapi pencari kerja.

Dengan ini, anda boleh tumpukan perhatian untuk menjalani latihan semula demi mendapatkan pekerjaan jangka panjang yang lebih baik.

Inilah cara kami boleh membantu anda bangkit semula dengan lebih yakin.







Kami sedang perhalusi butiran skim ini, dan para pemimpin 4G akan berkongsi lebih lanjut apabila mereka menggulung inisiatif Forward SG.

Selain usaha pemerintah, saya juga gembira melihat badan-badan Melayu/Islam memainkan peranan untuk menyokong golongan pencari kerja.

Misalnya, Mendaki bekerja rapat dengan agensi M3 dan badan-badan Melayu/Islam untuk mendekati para pekerja Melayu.







Malah, para pemimpin Melayu di NTUC (Kongres Kesatuan Kebangsaan Singapura) juga aktif terlibat dalam membantu mereka meningkatkan kemahiran dan mendapatkan pekerjaan.

Bersama-sama, mereka memperkukuh proses rujukan bagi program-program latihan, peningkatan kemahiran dan pemadanan pekerjaan.

Satu contoh ialah Nur Asyura Senin, ibu kepada dua orang anak.

Asyura, lulusan diploma kejuruteraan sivil pernah bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sebuah syarikat binaan.

Beliau berhenti kerja selama empat tahun untuk menjaga anak-anaknya. Tahun lalu, apabila anak-anaknya mula bersekolah, beliau memutuskan untuk kembali bekerja.

Tetapi Asyura mahu bertukar kerjaya ke bidang jagaan kesihatan khususnya pergigian.

Tahun lalu, Asyura menyertai program ‘Women At Work’ (Wanita di Tempat Kerja) Mendaki.

Penasihat kerjaya beliau melakarkan pelan tindakan kerjayanya dan menyarankan kursus-kursus yang sesuai untuk beliau.

Asyura menggunakan Kredit SkillsFuture untuk meraih Sijil Asas bagi Sokongan Pergigian.

Semasa menjalani latihan, beliau berjaya mendapat pekerjaan sepenuh masa sebagai pembantu pembedahan pergigian di sebuah klinik.

Inilah caranya Asyura berjaya bangkit semula dan meningkatkan kemahirannya.

Tahniah Asyura!

Saya harap lebih ramai kaum ibu mengikuti contoh Asyura.

Pemerintah akan menyokong anda dan saya harap keluarga anda juga akan memberi sokongan penuh!

JALUR BUDAYA GEYLANG SERAI

Selain meningkatkan prospek ekonomi rakyat Singapura, pemerintah juga beriltizam untuk melestarikan warisan budaya kita.







Saya rasa seronok melihat bazar-bazar Hari Raya kembali seperti biasa khususnya di Geylang Serai.

Saya gembira melihat bukan sahaja pengunjung, bahkan para pegerai rancak berniaga seperti sebelum pandemik.

Ternyata, Geylang Serai adalah hab kebudayaan kita yang penting, bukan sahaja untuk masyarakat Melayu malah untuk semua rakyat Singapura dan juga pelancong.

Kalau anda masih ingat pada Rapat Umum Hari Kebangsaan lima tahun yang lalu, saya mengumumkan projek Jalur Budaya Geylang Serai untuk mempertingkatkan kawasan ini.

Ia juga bagi meraikan sejarah, budaya dan warisan masyarakat Melayu.







Ada beberapa bahagian projek ini yang telah pun siap. Misalnya, Wisma Geylang Serai (WGS) yang kini menjadi nadi kegiatan budaya Melayu.

Sejak dibuka, ia berjaya menarik jutaan pengunjung secara fizikal dan ‘online’.







Tahun lepas, ruang masyarakat Anjung di WGS pula dibuka secara rasmi. Kini ia menjadi hab untuk kegiatan sukan dan kemasyarakatan, dan sejauh ini telah menjadi tuan rumah kepada lebih 100,000 peserta dan pengunjung.

Dengan lengkapnya, WGS dan Anjung, satu daerah baru sudah mula terbentuk. Sebahagian kerja-kerja peningkatan masih bersifat ‘akan datang’, tetapi tidak lama lagi.

Mari saya bawa anda menyusuri kerja-kerja peningkatan lain.

Ini peta Geylang Serai. Di simpang utama, Geylang Road dan Joo Chiat Road, sebuah gerbang akan menyambut para pengunjung ke Geylang Serai.

Gerbang ini diilhamkan daripada bumbung atap rumah-rumah tradisional Melayu.

Di kiri simpang ini dengan bumbung merah, adalah Pasar Geylang Serai, mercu tanda yang tidak asing lagi.

Tidak lama lagi, kerja-kerja ubah suai akan bermula untuk mengubah bahagian hadapan dan kawasan sekitarnya.

Kami akan memperbaiki laluan pejalan kaki dan ruang-ruang awam untuk merubah pengalaman pejalan kaki agar lebih menarik.

Bertentangan pasar ini ialah satu lagi ikon Geylang Serai iaitu Joo Chiat Complex. Ia juga akan berwajah baru.

Di pintu masuk utamanya, akan ada kanopi kaca ini. Di bawahnya ialah Plaza Perayaan, yang boleh digunakan bagi pelbagai acara.

Ruang-ruang awam sekitar Joo Chiat Complex juga akan dinaik taraf.

Semua ini, termasuk beraneka program kebudayaan, akan menjadikan Geylang Serai lebih rancak dan bertenaga untuk dinikmati para pengunjung, baik tua mahupun muda.

Saya tidak sabar untuk semua peningkatan ini siap, tahun depan.

Kepada pasukan yang menjayakan projek ini, terima kasih!

Pada zahirnya, projek Geylang Serai ini memaparkan keindahan dan kekayaan warisan budaya Melayu.

Namun, apa yang tersirat di dalamnya mencerminkan masyarakat Melayu kita yang kembali bertenaga, bersiap siaga untuk menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan.

MEMBANGUNKAN SEMANGAT SINGAPURA YANG BARU

58 tahun lalu, para pengasas kita menyatu padukan rakyat dan melancarkan usaha Singapura membina watan kita.

Sebagai mana dalam lagu kebangsaan kita, mereka didorong oleh semangat yang baru: seruan untuk bersatu padu, keazaman mengatasi cabaran, serta sedia bekerjasama demi membina sebuah negara baru dan masa hadapan yang cerah.

Semangat inilah yang terus membara dalam diri kita, menghasilkan kejayaan yang kita kecapi hari ini iaitu sebuah hab berbilang bangsa dan budaya serta negara maju yang aman lagi bertenaga.

Satu pameran kini berlangsung di Muzium Negara. Pameran ini – Membangunkan Semangat yang Baru – merakamkan dengan baik semangat yang wujud pada zaman itu.

Pergilah ke pameran tersebut, rasakan sendiri dan renungkan makna ‘semangat yang baru’.

Memandang ke hadapan, generasi hari ini memerlukan semangat yang sama, yang lebih bertenaga untuk membawa Singapura maju lebih jauh lagi.

Kita bakal berdepan dengan pelbagai cabaran rumit dan kita mahu melaksanakan beraneka rancangan baru.

Tetapi dengan keyakinan dan nilai-nilai asas yang dipegang datuk nenek kita, saya yakin kita boleh menjadikan aspirasi kita, satu kenyataan.

Oleh itu, marilah kita memperkukuh semangat ini dalam kalangan rakyat Singapura demi membina sebuah masyarakat inklusif yang adil dan saksama.

Marilah kita berusaha bersama-sama ke arah masa depan yang lebih cerah sebagai satu rakyat, satu negara, satu Singapura!




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >