Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peserta kali pertama berlatih empat kali seminggu

Oct 01, 2023 | 05:31 AM



Cik Ulfah Puteri Mohamed Zain baru mula berlari secara kerap sekitar Jun tetapi beliau berani meletakkan sasaran untuk berlari separuh maraton sejauh 21 kilometer pada hujung tahun.

Walaupun beliau menggelarkan dirinya sebagai orang baru dalam sukan larian, wanita 24 tahun itu sedang perlahan-lahan meningkatkan keupayaannya untuk berlari jarak jauh, dengan berlatih hingga empat kali seminggu.

Dalam kebanyakan latihannya, beliau berlari dan berjalan, dengan matlamat memastikan kadar degupan jantungnya kekal rendah.

“Saya seorang pelari yang sangat perlahan. Kadangkala saya berlari seiring orang yang berjalan,” kata Cik Ulfah yang bekerja dalam sektor perkhidmatan sosial.

“Tapi saya sedar tidak mengapa untuk saya berlari pada kelajuan saya sendiri dan tidak meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi. Mungkin orang lain yang berlari lebih pantas telah berlatih lebih lama daripada saya. Saya pula orang baru. Saya perlu berikan diri saya masa untuk menambah kelajuan saya,” tambahnya.

Anak sulung dalam keluarga enam beradik itu kini berlari pada kelajuan sembilan hingga 10 minit untuk satu kilometer dan telah meletakkan sasaran untuk berlari dengan selesa pada kelajuan lapan minit untuk satu kilometer.

“Itu masih agak perlahan jika dibandingkan dengan kadar kelajuan pelari lain. Tetapi ia cukup untuk saya,” katanya.

Cik Ulfah berkata beliau mula berlatih berlari setiap minggu sejak Jun berbanding sekali sebulan sebelumnya.

“Pada Jun, saya menetapkan sasaran untuk berlari dalam separuh maraton pada hujung tahun. Jadi sejak itu saya mula berlatih dan berlari dengan lebih konsisten. Saya lakukan ini hanya untuk mencabar diri saya dan juga menetapkan rutin kecergasan yang boleh saya teruskan sepanjang tahun dan bagi tahun-tahun akan datang. Saya telah mula ke gim pada awal tahun, dan setelah beberapa bulan saya mahu meningkatkan daya tahan dan stamina saya pula,” katanya yang mula menjadi lebih aktif bersenam dan berlari setelah mula bekerja sepenuh masa pada 2022.

Cik Ulfah berusaha mencari maklumat dalam talian tentang latihan zon dua iaitu latihan pada 65 hingga 75 peratus kadar degupan jantung maksimum seseorang.

Latihan sedemikian termasuk berlari-lari anak atau berbasikal pada kelajuan rendah yang membolehkan seseorang itu berbual tanpa menjadi terlalu sesak nafas.

“Cara ini dipanggil lari perlahan untuk berlari lebih laju. Jadi saya mengekalkan kadar denyutan jantung yang rendah pada kira-kira 60 hingga 70 peratus untuk membina daya tahan kerana apabila saya mula-mula berlari, saya berlari dengan sangat pantas dan kemudian tidak dapat bertahan. Saya terpaksa berhenti setiap beberapa minit, kerana ia semakin memenatkan. Jadi apabila saya berlari dengan perlahan, saya rasa saya boleh berlari jauh sedikit dan ia membuatkan saya lebih biasa berlari,” kata Cik Ulfah. Beliau juga menggunakan aplikasi Nike Run Club yang memberi panduan latihan berlari secara audio.

Cik Ulfah, yang berlatih sendiri, akan berlari selama 30 hingga 40 minit sejauh 2.5 kilometer hingga 5 kilometer di trek larian di tempat kerjanya di Our Tampines Hub (OTH) semasa waktu makan tengah hari atau selepas kerja dua hingga tiga kali seminggu.

Pada hujung minggu, beliau akan berlari satu hingga dua jam sejauh sekitar 5 kilometer hingga 7 kilometer.

“Sejak saya mula berlari dengan kerap, saya kini boleh berlari lebih jauh dan tidak tercungap-cungap. Saya juga memberitahu diri saya, jika saya boleh lari jarak ini, saya boleh lakukan perkara lain juga. Ia menjadi dorongan bagi saya, bahawa akan ada cabaran lain yang boleh saya atasi. Seperti jika kerja saya menjadi sukar, saya boleh mendorong diri saya bahawa jika saya boleh lari 100 meter diikuti 100 meter lagi, saya juga boleh mengatasi cabaran yang saya hadapi selangkah demi selangkah,” katanya.

Menjelang larian separuh maraton pada hujung 2023, Cik Ulfah telah menyertai beberapa perlumbaan untuk berlatih dan membiasakan diri dengan larian jarak jauh.

Beliau telah mendaftar bagi dua kategori larian – lima kilometer dan 10 kilometer – dalam Great Eastern Women’s Run 2023 yang akan berlangsung pada 29 Oktober di Hab Sukan Singapura.

Cik Ulfah akan melakukan larian 10 kilometer dahulu dan perlu tiba di garisan penamat sebelum larian lima kilometer bermula.

“Saya mahu mencabar diri saya. Saya pernah melakukan larian 10 kilometer, jadi saya mahu lihat jika saya boleh berlari 15 kilometer. Saya menganggarkan akan dapat menyelesaikan larian 10 kilometer dalam masa satu jam 20 minit, dan kemudian saya berehat 10 minit dan kemudian memulakan larian lima kilometer pula yang akan mengambil masa 40 minit,” kata Cik Ulfah yang pernah berlari 14 kilometer sejauh ini.

Beliau berharap dapat menyertai ultra maraton yang mempunya jarak lebih 42 kilometer satu hari.

Ditanya apa yang diperlukan untuk seseorang yang mahu mula berlari, Cik Ulfah berkata: “Kita hanya perlukan sepasang kasut berlari yang selesa, dan juga daya tahan mental. Kita juga perlu mengingatkan diri kita bahawa tidak mengapa untuk menjadi seorang pemula, dan benarkan diri anda untuk menjadi seorang pemula dan mulakan pada kelajuan sendiri.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >