Satu muzikal mini berdasarkan buku bergambar, ‘pesta bercerita’, dan bengkel penulisan merupakan antara acara yang menanti pengunjung di Pesta Buku Melayu Singapura 2023.
Diadakan di Persada Budaya Wisma Geylang Serai, acara tiga hari itu dilancarkan pada Jumaat sempena Bulan Bahasa.
Turut hadir ialah tetamu terhormat Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-undang) Cik Rahayu Mahzam.
Acara tersebut dianjurkan oleh Majlis Pusat Singapura dengan sokongan Wisma Geylang Serai, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Yayasan Lee.
Dengan tema ‘Menimba Ilmu, Menebar Bakat’, pesta buku itu dijayakan oleh 16 syarikat dan pertubuhan.
Di dewan Persada Budaya WGS, terdapat sebanyak lapan reruai yang menawarkan buku-buku oleh 15 penerbit.
Ia termasuk buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu dan juga buku dwibahasa untuk kanak-kanak dan dewasa.
Pengerusi Pesta Buku Melayu Singapura 2023, Cik Isiah Majid, berkata:
“Kami berharap penambahan buku-buku kanak-kanak dan remaja dapat menyumbang kepada kegiatan membaca, serta penggunaan bahasa Melayu yang lebih kerap dan baik dalam golongan muda. Sokongan masyarakat kepada kegiatan penulisan dan penerbitan karya tempatan amat kami hargai.”
Turut hadir ialah pengerusi Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang.
Laporan lanjut di Muka 4