Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Situasi Semenanjung Korea ‘membimbangkan’

PM Lee turut lakar bidang kerjasama termasuk bidang ekonomi digital dan keselamatan siber yang perlu diperkukuh antara Asean dengan China, Jepun dan Korea
Sep 06, 2023 | 07:03 PM



Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, melahirkan keprihatinannya terhadap situasi di Semenanjung Korea yang “membimbangkan”.

Katanya, Singapura secara konsisten mengutuk keras pelancaran peluru berpandu balistik antara benua oleh Korea Utara yang telah meningkatkan lagi ketegangan semenanjung itu.

Beliau melahirkan harapan agar wadah yang disediakan Asean, seperti Forum Serantau Asean (ARF) akan menyediakan peluang untuk mengadakan dialog lebih membina dalam mencari huraian bagi masalah tersebut.

Masalah di Semenanjung Korea itu telah diketengahkan Encik Lee dalam sidang puncak dengan Korea Selatan dan Jepun, sebagai sebahagian daripada Sidang Puncak Asean ke-43 yang diadakan di Jakarta.

Sebelum itu, Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, telah menggesa negara-negara Asia Tenggara untuk bergabung tenaga dalam mengambil tindakan terhadap ancaman nuklear dari Korea Utara.

Encik Yoon berkata kepada media setempat provokasi peluru berpandu dari Korea Utara meningkat dan ia merupakan “ancaman langsung kepada negara anggota Asean”.

Berucap semasa Sidang Puncak Asean-ROK yang ke-24 pada Rabu, Encik Lee berkata:

“Singapura akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk berusaha ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea.”

Semasa Sidang Puncak Asean-Jepun pula, Encik Lee berkata, Asean dan Jepun mempunyai keprihatinan serupa berkaitan keamanan dan keselamatan serantau.

Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah menjalankan operasi di perairan antarabangsa luar pulau Jeju pada Ogos, bertujuan melatih keupayaan serta prosedur bagi mengesan dan berkongsi maklumat mengenai peluru berpandu yang dilancar Korea Utara.

Encik Lee turut melahirkan harapan agar isu-isu yang telah lama tertunggak, seperti isu penculikan warga Jepun oleh Korea Utara, dapat dihuraikan.

Menurut Jepun sebelum ini, Korea Utara telah menculik sekitar 17 warga Jepun pada tahun 70-an dan 80-an, bagi tujuan perisikan.

Menurut laporan sebelum ini, pemerintah Jepun telah memberi keutamaan politik terhadap isu ini dan meminta Korea Utara mengembalikan warga yang diculik.

Berhubung kerjasama yang perlu dipergiat dan diperkukuh antara Asean dengan Korea Selatan dan Jepun, Encik Lee menekankan beberapa bidang utama iaitu ekonomi digital, keselamatan siber dan ekonomi hijau.

“Ini merupakan bidang yang boleh menyokong pemulihan rantau ini pascapandemik dan akan menjadi enjin utama untuk pertumbuhan (ekonomi),” kata Encik Lee semasa sidang bersama Encik Yoon.

Dalam sidang bersama Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida pula, Encik Lee berkata Jepun merupakan rakan kongsi utama Asean dalam usaha pendigitalan.

Jepun juga “penyumbang aktif” terhadap usaha Asean membina keupayaan keselamatan siber, tambahnya.

“Asean dan Jepun perlu berusaha ke arah mewujudkan ekosistem digital yang terbuka, terangkum dan boleh dimanfaatkan semua.

“Ini mampu membantu usaha Asean mencapai Persetujuan Rangka Kerja Ekonomi Digital atau Defa,” ujar Encik Lee.

Bidang-bidang kerjasama tersebut juga turut ditekankan semasa Sidang Puncak Asean Plus 3 (APT) yang melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan.

Encik Lee turut menekankan pentingnya mempergiat usaha dalam memperkukuh daya tahan rantau tersebut dalam menghadapi “kejutan masa depan”.

Beliau menggesa agar keselamatan makanan rantau Asean dipertingkat, begitu juga dengan keupayaannya menangani ancaman kesihatan awam masa depan.

“APT merupakan mekanisme paling penting bagi kerjasama praktikal rantau ini.

“Kita perlu terus mempertingkat pencapaiannya dan memastikan ia terus relevan, berpandang ke hadapan, dan berkhidmat menepati keperluan warga Asean dan rakan kongsi serantaunya,” kata Encik Lee. – SITI AISYAH NORDIN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >