Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pritam langgar kehendak Raeesah usah dedah butiran serangan seksual: Mantan anggota WP

Aug 03, 2023 | 07:10 PM



Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, tidak menuruti kehendak mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, apabila beliau mendedahkan butiran serangan seksual ke atas Cik Raeesah secara terbuka, kata dua bekas anggota parti itu.

Cik Raeesah, yang meletak jawatan dari WP pada 2021 selepas didapati berbohong di Parlimen, telah berulang kali meminta kepimpinan WP supaya tidak menggunakan “perkataan bermula huruf-r” (dalam bahasa Inggeris), kata Cik Loh Peiying dan Encik Yudhishthra Nathan.

Menambah, mereka berkata Cik Raeesah sentiasa berkata beliau lebih rela menyifatkan trauma yang dilaluinya itu sebagai serangan seksual sahaja.

Menegur penggunaan perkataan itu oleh Encik Pritam dalam satu kiriman Facebook, dua bekas anggota WP itu berkata:

“Pendedahan terperinci oleh Encik Pritam Singh yang dibuat secara terbuka berkaitan apa yang telah berlaku kepada beliau dilakukan tanpa persetujuannya dan telah melanggar kehendaknya serta permintaannya secara terang-terangan supaya menghormati privasinya.”

Dua mantan anggota WP itu menerbitkan kiriman tersebut menyusuli perbahasan di Parlimen pada Rabu, di mana Encik Pritam berbahas dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, tentang sama ada WP telah mengendalikan kes serangan seksual Cik Raeesah dengan sensitif.

Pada 2021, Cik Raeesah telah mendedahkan bahawa beliau mangsa serangan seksual semasa mengaku berbohong di Parlimen pada Ogos dan Oktober tahun itu.

Menyusuli itu, kepimpinan WP dikritik susulan pendedahan melalui dapatan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) bahawa mereka tahu Cik Raeesah berbohong, tetapi tidak memintanya untuk memperjelas keadaan lebih awal.

Semasa bercakap di Parlimen pada Rabu, Encik Pritam telah membandingkan kes itu dengan cara Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengendalikan hubungan sulit antara mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan bekas Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Cik Cheng Li Hui.

Bercakap di Parlimen semasa perbincangan tentang hubungan sulit dan kelakuan AP PAP, Encik Pritam berkata PAP melengah-lengahkan penjelasan sebenar apabila perkara itu berlaku.

Beliau mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong menunggu selama dua tahun sebelum bertindak kerana ingin menjaga sensitiviti keluarga Encik Tan dan Cik Cheng, atau kerana beliau tidak ingin berterus-terang.

Encik Pritam membandingkan perkara tersebut dengan cara WP mengendalikan kes pembohongan Cik Raeesah, dan berkata:

“Adakah PAP menggunakan piawaian ini secara selektif dan mengharapkan warga Singapura berdiam diri apabila AP PAP melakukan kesalahan dan kemudian mengapi-apikan keadaan apabila pihak pembangkang cuba menekankan perkara sama?”

“Apabila mantan AP WP Cik Raeesah Khan mendedahkan kepada pemimpin WP bahawa beliau mangsa rogol, sensitiviti tidak diambil kira semasa COP dalam menangani kes pembohongan di Parlimen.”

Encik Shanmugam menyanggah kenyataan itu sambil menyatakan bahawa Encik Pritam yang tidak menjaga sensitiviti.

Katanya, Encik Pritam yang ingin menggunakan perkataan ‘rogol’ semasa perbicaraan COP itu, meskipun jawatankuasa kekal sensitif dalam menerangkan apa sebenarnya berlaku terhadap Cik Khan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >