Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kesan politik pada WP susulan kontroversi hubungan sulit lebih berat berbanding PAP: Pengamat

Jul 19, 2023 | 07:28 PM



Dua Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) yang meletak jawatan sejak Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) merupakan satu kehilangan yang amat dirasakan parti pembangkang itu di Parlimen, kata pengamat politik.

Malah, WP mungkin perlu menanggung kesan politik yang lebih berat berbanding parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyusuli silap langkah AP daripada kedua-dua parti hingga menyebabkan peletakan jawatan mereka, tambah mereka, apabila dihubungi Berita Harian (BH).


Ketua pembangkang, Encik Pritam Singh, pada Isnin telah mengumumkan peletakan jawatan AP GRC Aljunied, Encik Leon Perera, lapan bulan setelah peletakan jawatan bekas AP GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan.

Encik Perera terlibat dalam hubungan sulit bersama seorang anggota parti tersebut, Cik Nicole Seah, dan awalnya tidak bersikap jujur tentang hubungan sulit itu apabila ditanya.

Membuat perbandingan antara kes tersebut dengan kes hubungan sulit antara mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, dengan mantan AP GRC Tampines, Cik Cheng Li Hui, dari PAP baru-baru ini,  Zamil Penyelidikan Kanan Institut Pengajian Dasar di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura, Dr Gillian Koh berkata:

“Anda boleh katakan bahawa sikap peribadi yang kurang berhemah dan menipu kepada pucuk pimpinan parti sama teruk tetapi dalam kes WP, mereka perlu berusaha lebih gigih untuk membangunkan jenama mereka, membina kepercayaan dan merampas kerusi daripada PAP... justeru kesan yang perlu ditanggung jauh lebih berat.”

Ini bermakna WP kini mempunyai hanya lapan daripada 10 Anggota Parlimen sementara bahagian perwakilan bagi PAP lebih besar, tambah beliau.

Profesor Madya Eugene Tan, pakar undang-undang dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang bersependapat bahawa kehilangan itu adalah besar bagi WP berkata, ini bermakna parti pembangkang itu perlu berusaha lebih gigih.

“Encik Perera merupakan ahli yang aktif di Parlimen – menyampaikan banyak ucapan dan mengemukakan banyak soalan Parlimen. Beliau boleh dikatakan paling intelektual dalam kalangan semua AP WP.

“Justeru, peletakan jawatannya akan mengurangkan suara WP di Parlimen. Kita boleh menjangkakan AP WP menggandakan usaha supaya dapat mengimbangi ‘kehilangan’ itu,” ujarnya.

Bagaimanapun, langkah peletakan jawatan itu juga mencerminkan bahawa piawaian yang ditetapkan parti pembangkang setara dengan yang ditetapkan parti pemerintah PAP, menurut pengamat politik.

Dr Eugene Tan berkata: “Mesejnya adalah... (WP) memastikan AP dan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) partinya mematuhi piawaian tingkah laku tinggi dan tahap piawaian WP tidak kurang berbanding piawaian parti pemerintah. Dalam erti kata lain, WP boleh menjadi sama baik sekiranya mereka membentuk pemerintah.”

Sementara akur bahawa isu menjalinkan hubungan sulit boleh dianggap sesetengah orang sebagai hal peribadi asalkan ia tidak campur tangan dalam kerja politik, pengamat politik berkata kesan daripada perbuatan itu, iaitu peletakan jawatan, menunjukkan betapa tinggi piawaian serta jangkaan pada ahli politik di Singapura.

Pakar sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Tan Ern Ser berkata:

“AP yang dipilih merupakan tokoh awam yang diharapkan dapat menegakkan nilai masyarakat kita melindungi keluarga sebagai institusi sosial utama.”

Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin berkata naratif yang lazim di Singapura ialah moral peribadi dan khidmat politik perlu sejajar sekiranya ahli politik ingin dipandang sebagai individu yang boleh dipercayai.

Justeru, mereka dijangka meletakkan jawatan disebabkan sikap peribadi kurang berhemah, lebih-lebih lagi jika mereka memegang jawatan sebagai AP yang dipilih.

“Kejadian baru-baru ini menunjukkan bahawa garisan antara profesional dengan peribadi kabur dalam perkhidmatan politik di mana aspek peribadi juga dianggap politik bagi ahli politik di Singapura,” katanya.

Dr Eugene Tan berkata kebanyakan warga Singapura mengharapkan ahli politik dapat memenuhi piawaian yang lebih tinggi, malah piawaian yang mungkin tidak diharapkan bagi diri sendiri.

“PAP dan WP menyedari hal itu dan telah menjadikan piawaian tinggi kejujuran, integriti dan kejujuran yang tidak diragui sebagai sebahagian daripada jenama politik mereka yang boleh dijangkakan dan dituntut warga Singapura daripada AP yang dipilih mereka.

“Namun, ia menimbulkan persoalan sama ada penelitian yang intrusif terhadap AP yang dipilih akan menghalang orang ramai daripada menyertai politik,” tambahnya.

Hakikatnya, bukan sahaja WP, tetapi PAP juga perlu berusaha menambat balik kepercayaan warga Singapura, sebelum pilihan raya seterusnya yang perlu diadakan selewat-lewatnya 2025.

Dr Koh berkata memandangkan pilihan raya umum “masih jauh lagi”, terdapat banyak usaha parti-parti boleh lakukan untuk membina semula jenama mereka dan kedudukan mereka bersama pengundi bukan hanya menerusi mutu dan nilai calon mereka malah bagaimana calon boleh mewakili serta berkhidmat kepada mereka secara praktikal.

Dr Mustafa berkata ia kelihatan seperti parti pemerintah dan parti pembangkang utama di Singapura sedang menjalani proses muhasabah diri secara kritis dan melalui titik perubahan dalam perkembangan politik masing-masing, tetapi berasakan bahawa ini tidak akan menjejas kedudukan mereka di Parlimen memandangkan mereka kekal sebagai parti pilihan Singapura.

“Bagaimanapun, apa yang menarik adalah bagaimana kejadian terkini ini boleh membuka peluang bagi parti lain untuk menunjukkan kepada penduduk bahawa mereka boleh memberikan sesuatu yang berbeza sebagai alternatif kepada PAP dan WP,” jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >