Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pupuk kesedaran ‘ruang bersama’ manusia dengan hidupan liar

Jun 12, 2023 | 05:31 AM



Seekor biawak benggala merayau sehingga ke depan pintu rumah, keluarga memerang atau otter bermain-main di sekitar Marina Bay dan ‘ambil angin’ sehingga ke Taman Bishan-Ang Mo Kio sementara ayam berkokok di bawah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).


Kejadian seperti ini kian kerap berlaku dalam persekitaran Singapura di mana kedua-dua kehidupan liar dan manusia saling bertemu.

Pakar hidupan liar berpendapat bahawa pertemuan sedemikian antara manusia dengan kehidupan liar akan terus berlaku disebabkan beberapa faktor.

Ini termasuk pembangunan yang dibina berdekatan ruang hijau sedang Singapura berusaha memenuhi aspirasi menjadi sebuah bandar dikelilingi alam semula jadi.

Jika diurus dengan baik dan kesefahaman dapat disemai, Singapura boleh menjadi contoh bagaimana manusia dan hidupan liar dapat hidup berdamai di kawasan bandar, menurut pakar yang dihubungi Berita Harian (BH).


Pensyarah kanan di Sekolah Alam Sekitar Asia, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Shawn Lum, berkata terdapat beberapa faktor yang mungkin menyumbang kepada peningkatan ‘kehadiran’ hidupan liar di kawasan perumahan.

“Ini mungkin termasuk peningkatan populasi beberapa spesies (seperti babi hutan dan memerang), pembangunan baru yang dibina berhampiran kawasan hutan (contohnya di Punggol, sebahagian kawasan Yishun, Lentor dan Tengah yang akan datang), dan pembersihan beberapa kawasan hijau yang telah menyebabkan hidupan liar mencari perlindungan di tempat lain.

“Bergantung kepada keadaan, satu atau lebih faktor ini mungkin memainkan peranan,” katanya.

Satu lagi faktor penting yang diketengahkan Dr Lum ialah peningkatan kesedaran tentang hidupan liar dan tempat di mana ia sering ditemui, dalam kalangan peminat hidupan liar di sini.

Beliau berkata orang ramai kini mampu mendapat maklumat tentang kehidupan liar ini dengan pantas menerusi gambar-gambar yang dimuat naik ke dalam media sosial.

Meskipun begitu, pakar hidupan liar akur bahawa kehadiran haiwan-haiwan yang tidak diundang ini, terutama sekitar kawasan kediaman, kadangkala mendatangkan rasa ghairah dan cemas dalam kalangan penduduk.

Pada bulan lalu, penduduk di sebuah blok HDB di Bedok North Road dikejutkan dengan kehadiran seekor biawak benggala berukuran sepanjang 1.5 meter yang berkeliaran di sekitar kawasan kejiranan mereka.

Gambar-gambar yang tular di media sosial menunjukkan haiwan reptilia itu berada di hadapan sebuah unit dan berlegar di ruang tangga blok berkenaan.

Beberapa kejadian serangan oleh haiwan liar juga pernah dilaporkan sebelum ini dengan yang terkini melibatkan seorang wanita berusia 34 tahun yang diserang babi hutan di Bukit Panjang pada 1 Mei lalu.

Wanita berkenaan mengalami beberapa kecederaan dan luka di betis kanan, punggung dan lengan.

Menyusuli beberapa kejadian serangan serupa di kawasan yang sama, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata mereka berjaya menjerat lapan ekor babi hutan di Bukit Panjang sejak Mei 2023.

Mereka berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan akhbar, The Straits Times (ST) baru-baru ini mengenai kejadian sebegitu.


Justeru, bagi mengelak kejadian sebegini berlaku, pakar hidupan liar bersependapat bahawa walaupun kebanyakan hidupan liar yang dilihat di khalayak ramai jarang mendatangkan sebarang bahaya, orang ramai harus sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga “jarak selamat dan sering menghormati haiwan tersebut”.

Pengarah Kumpulan, Pengurusan Hidupan Liar, NParks, Dr Adrian Loo, berkata adalah penting untuk memerhati hidupan liar dari jauh.

“Jangan terlalu mendekati mereka, terutamanya apabila terdapat haiwan kecil kerana ibu bapa haiwan ini akan melindungi anak mereka.

“Jika boleh, kebanyakan haiwan liar akan cuba mengelak manusia dan tidak akan menyerang melainkan bangkitnya kemarahan mereka, dicederakan atau berasa terancam,” kata Dr Loo.

Oleh itu, adalah penting untuk mempelajari tentang hidupan liar yang sering dilihat di estet perumahan di sini, supaya orang ramai dapat mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan apabila ternampak spesies tertentu, dan dalam masa yang sama dapat mengelakkan rasa panik atau takut, menurut ketua eksekutif bersama Persatuan berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres), Cik Anbarasi Boopal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berguna mengenai pelbagai spesies hidupan liar menerusi laman www.ourwildneighbours.sg.

Cik Anbarasi percaya bahawa tidak mustahil bagi manusia untuk hidup bersama dengan hidupan liar dalam persekitaran Singapura.

Beliau menambah terdapat peningkatan minat terhadap alam semula jadi dan beliau juga menyaksikan peningkatan jumlah orang awam ke taman alam semula jadi dan kawasan hijau semasa pandemik Covid-19, disebabkan oleh sekatan perjalanan.

“Banyak kumpulan minat telah ditubuhkan di Facebook, berkaitan dengan perkongsian melihat hidupan liar dan petua berkebun.

“Ini menunjukkan bahawa ramai orang di Singapura mempunyai minat dan mengambil berat tentang hidupan liar dan kita perlu melibatkan diri dan meningkatkan kesedaran ke arah yang betul.

“Adalah tidak mustahil melihat manusia dan haiwan hidup bersama,” katanya.

Dr Lum pula berpendapat jumlah kejadian pertemuan orang ramai dengan kehidupan liar di tempat-tempat awam hanya akan terus berlaku dengan lebih kerap dalam masa mendatang.

“Ya, saya fikir ini mungkin berlaku, tetapi persoalannya ialah sama ada ini akan menjadi perkembangan yang dialu-alukan oleh orang ramai atau jika sebaliknya ia akan membawa kepada rasa tidak selesa dan memudaratkan.

“Ini menjadikan usaha dan program jangkauan inklusif terhadap hidupan liar seperti, Our Wild Neighbours, penting dalam membantu orang ramai menghargai dan hidup harmoni dengan alam semula jadi,” tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >