Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rahayu: Penting untuk belia bina kemahiran, sumbang kepada masyarakat

Jul 09, 2023 | 06:32 PM



Adalah penting untuk memastikan golongan belia membangun kemahiran dan kemudiannya menyumbang kembali kepada masyarakat pada masa depan, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang–Undang), Cik Rahayu Mahzam.

Dengan cara ini terangnya, golongan muda bukan sahaja dapat pertingkat keupayaan mereka tetapi lebih penting lagi mampu menzahirkan keindahan dan budaya tolong menolong dalam masyarakat Melayu.

“Sebagai individu, kita harus berusaha untuk membentuk kepribadian kita dan membangunkan kemahiran kita supaya kita boleh memberi kembali kepada masyarakat,” kata Cik Rahayu di Pesta Belia M Kuasa Tiga (M³) 2023, pada Ahad.

Acara anjuran cabang Belia Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra Belia) itu diadakan di ibu pejabat Majlis Belia Kebangsaan (NYC), The Red Box, di 113, Somerset Road.

Ia dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin.

Acara itu juga disertai lebih 500 belia yang terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi, sukarelawan dan anggota masjid serta pertubuhan belia Melayu/Islam.

Dalam ucapannya, Cik Rahayu, yang juga penasihat PA Mesra Belia, menekankan kepentingan untuk memastikan belia terus berbakti kepada masyarakat Melayu/Islam.

“Ini supaya kita boleh membangunkan sebuah masyarakat yang berguna dan istimewa yang mampu saling membantu,” ujar Cik Rahayu.

Ini selaras dengan tema Pesta Belia M³ 2023 iaitu Membentuk Keperibadian, Memupuk Masyarakat yang bertujuan untuk bukan sahaja memberi belia peluang untuk mempelajari kemahiran baru, tetapi juga membolehkan mereka menjalin hubungan baru antara rakan sebaya.


Antara kegiatan disediakan di acara itu termasuk bengkel memotong rambut dan pertandingan e–sukan Fifa di mana peserta boleh berkongsi petua dan pengalaman hidup sambil melakukan kegiatan tersebut.

Kumpulan silat, Sunda Pajajaran Singapura, dan kumpulan dikir barat wanita daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, Ardwinda, turut meriahkan suasana gemuruh di pesta itu dengan persembahan silat dan dikir barat masing–masing.

“Persembahan silat dan dikir barat yang disampaikan tadi mencontohi masyarakat Melayu/Islam kita.

“Kita hanya nampak persembahan di pentas tetapi terdapat banyak persiapan dan pembinaan kemahiran di sebalik tabir di mana peserta saling membantu satu sama lain,” tambah Cik Rahayu.

Ketua pelatih Ardwinda, Encik Muhammad Fahruddin Muhammad Anuar, 29 tahun, berkata dikir barat memupuk semangat keakraban antara peserta kerana ia adalah satu kegiatan yang memerlukan komunikasi dan kerjasama.

“Dengan berkomunikasi rapat dengan rakan sebaya, belia boleh membimbing satu sama lain.

“Dikir barat juga terdiri dari pelbagai aspek. Ada tarian dan ada nyanyian, jadi setiap belia boleh memilih aspek yang mereka fasih dan membangunkan bakat mereka,” kata Encik Muhammad Fahruddin.

Presiden Ardwinda, Cik Hulwa Nabila Abdol Jamal, 18 tahun, berkata beliau banyak meluangkan masa selepas sekolah untuk melatih rakan sebayanya yang kurang mahir dalam seni itu.

“Sebagai presiden, saya dapat menyumbang kembali dan menyampaikan ilmu dikir barat kepada rakan–rakan lain yang kurang mahir.

“Kadang–kadang ada rakan saya yang kurang mahir atau tidak tahu bagaimana cara menyanyi atau menari jadi saya akan mendidik mereka,” kongsi Cik Hulwa Nabila.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >