Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Runtuhan Bernam St: Pusat Pekerja Migran beri bantuan kepada keluarga pekerja yang maut

Jun 16, 2023 | 07:30 PM



Pusat Pekerja Migran (MWC) telah mengambil pendekatan untuk membantu keluarga pekerja warga India berusia 20 tahun yang terkorban dalam satu kejadian runtuhan struktur bangunan di Bernam Street, dekat Tanjong pagar, pada Khamis.

Pekerja tersebut ditemui oleh pekerja penyelamat di bawah runtuhan struktur dinding konkrit yang runtuh dalam keadaan tidak bernafas dan tiada nadi, menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, MWC menyatakan ia telah mengambil tindakan segera untuk menghubungi majikan pekerja yang terkorban untuk “mendapatkan semua maklumat penting” berkenaan kejadian tersebut.

“Matlamat utama kami kini adalah untuk memastikan keperluan keluarga pekerja yang terjejas dipenuhi.

“Kami akan memberikan bayaran ex-gratia (pemberian yang bukan diwajibkan di sisi undang-undang) melalui Dana Bantuan Pekerja Migran (MWAF) untuk menyediakan bantuan kewangan sementara bagi membantu warisnya…sementara mereka menunggu pampasan daripada Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (WICA),” tambah kenyataan itu.


MWC akan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada pekerja yang bekerja berhampiran tempat kejadian melalui rakan kongsi sekiranya perlu.

Ini memandangkan kejadian tersebut boleh menjejas emosi pekerja yang ada di tempat kejadian, jelasnya.

Menurut laporan The Straits Times (ST), mayat pekerja migran itu yang dikenali sebagai mendiang Vinoth Kumar, sudah dituntut oleh datuk saudaranya.


Jasadnya akan dibawa pulang ke kampung halamannya melalui Chennai, India, untuk disemadikan.

OPERASI CARIAN DIHENTIKAN

SCDF dalam satu kenyataan berkata operasi carian berlarutan sehingga lewat pagi dan ditamatkan sekitar 8 pagi pada Jumaat.







SCDF mengesahkan menerusi operasi carian yang intensif, tiada lagi nyawa terperangkap di bawah runtuhan.

Ia menambah semua pekerja di tempat kejadian telah dihitung dan tiada kecederaan dilaporkan oleh mereka. Siasatan polis sedang dijalankan.

Sebanyak 11 kenderaan kecemasan dan sekitar 70 pegawai telah dikerahkan ke lokasi, jelas SCDF.

Struktur banganun yang runtuh tersebut adalah sebahagian daripada Menara Fuji Xerox yang sedang dirobohkan.

Tapak itu akan dibangunkan semula bagi pembangunan berbilang guna oleh firma hartanah City Developments Limited (CDL).

CDL dalam satu kenyataan pada Khamis berkata kejadian tersebut berlaku akibat kerja-kerja perobohan yang sedang dijalankan.

Ia menambah majikan pekerja yang terkorban itu ialah Aik Sun Demolition and Engineering, syarikat yang mengendalikan kerja-kerja perobohan.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) dalam satu kenyataan bersama pada Khamis menjelaskan dinding konkrit, yang panjangnya 10 meter dan tingginya 3.8 meter, di bangunan terbabit runtuh di atas jalan ketika ia sedang menjalani kerja-kerja perobohan.

“BCA telah mengarahkan pihak yang terlibat dalam projek untuk menghentikan semua aktiviti pembinaan, dan akan membatalkan permit semua kerja-kerja semasa siasatan sedang dijalankan,” jelas kenyataan itu.

PIKUL TANGGUNGJAWAB

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat berkata MOM telah memulakan siasatan.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat bertanggungjawab atas tapak binaan terbabit, iaitu Woh Hup Pte Ltd, dan syarikat yang menggajikan mangsa perlu menggalas tanggungjawab secara peribadi kepada MOM dan ke atas sebarang pembetulan yang dilakukan.

“Kami sedia maklum bahawa pihak majikan (kepada mangsa korban) telah menghubungi pihak waris dan akan membantu mereka dalam proses pampasan di bawah WICA.

“Selain itu, MOM telah berhubungan dengan rakan sekerja mangsa untuk memberi sokongan seperti yang diperlukan,” tambah beliau.

Beliau turut memberi peringatan bahawa kewaspadaan masih harus diteruskan sungguhpun Singapura telah keluar dari Tempoh Keselamatan Dipertingkat (HSP) pada 31 Mei.

HSP selama sembilan bulan itu bertujuan menangani peningkatan kadar kematian di tempat kerja – menurut perangkaan MOM kadar kematian di tempat kerja bagi setiap 100,000 pekerja menurun daripada 1.5 bagi Januari hingga Ogos 2022 (sebelum HSP) kepada 0.8 bagi September 2022 hingga Mei 2023.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Melvin Yong, dalam satu catatan Facebook pada Jumaat berkata kesatuan itu amat bimbang mengenai kejadian yang berlaku.

Menurut beliau, projek perobohan sememangnya melibatkan risiko besar dan berbahaya, baik kepada pekerja mahupun individu yang berada di sekitarnya.

“Siasatan segera dan menyeluruh mesti dijalankan untuk menentukan punca dan faktor penyumbang yang menyebabkan keruntuhan dinding dan kehilangan nyawa,” jelasnya.

Urutan peristiwa

  • Sekitar 2 petang:
  • SCDF dimaklumkan tentang kejadian
  • Anggota dari Balai Bomba Marina Bay dan Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana (Dart) dikerahkan ke lokasi
  • Seorang pekerja warga India dilaporkan hilang
  • Operasi carian dijalankan
  • Dua anjing SCDF terlibat dalam usaha mencari
  • Sekitar 6 petang
  • Pekerja terbabit dilihat terperangkap di bawah dua meter dalam runtuhan
  • Mangsa ditemui tanpa nadi dan tidak bernafas
  • Operasi pemotongan dan pemecahan runtuhan berlangsung bagi bebaskan mangsa
  • Sekitar 9.45 malam
  • Mangsa dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik



Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >