Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sekitar 185,000 warga daftar di bawah SG Lebih Sihat

75 peratus terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas;
purata 3,000 daftar setiap hari
Aug 13, 2023 | 03:12 PM



Sekitar 185,000 warga telah berdaftar di bawah inisiatif SG Lebih Sihat sejak pendaftaran dibuka awal Julai 2023.

Separuh daripada jumlah tersebut berdaftar melalui doktor keluarga sementara 30 peratus berdaftar sendiri. Baki 20 peratus pula dibantu sukarelawan, termasuk Duta Generasi Warga Emas (SGA), melalui kunjungan ke rumah atau melalui acara SG Lebih Sihat.

Mendedahkan demikian semasa ditemui media di pameran SG Lebih Sihat di Kampung Admiralty pada Ahad, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung berkata sekitar 75 peratus daripada mereka yang kini berdaftar berusia 60 tahun ke atas sementara bakinya berusia antara 40 hingga 59 tahun.

Sebahagian besar juga mengalami penyakit kronik.

Encik Ong, yang telah menghadiri pameran tersebut bersama anggota GRC Sembawang yang lain, berkata sejauh ini inisiatif SG Lebih Sihat menerima lebih 3,000 pendaftaran setiap hari secara purata.

Sebanyak 500,000 SMS telah dihantar untuk menarik warga emas serta mereka yang berpenyakit kronik untuk menyertai inisiatif itu.

Inisiatif oleh Kementerian Kesihatan (MOH) yang dilancar Julai itu menekankan pentingnya pencegahan penyakit dari awal lagi, berbanding mendapatkan rawatan kemudian.

Mereka yang berdaftar akan merancang penjagaan kesihatan mereka dengan bantuan doktor keluarga, merangkumi perubahan gaya hidup serta pemeriksaan kesihatan lebih kerap.

Inisiatif tersebut juga menawarkan pemeriksaan kesihatan tahunan serta vaksinasi yang disarankan secara percuma.

Menegaskan pentingnya mengekalkan peningkatan secara bertahap ini, Encik Ong berkata:

“Kami tak menjangkakan jumlah pendaftaran melonjak tinggi, ini bukan sesuatu yang kami inginkan.

“Berdasarkan keupayaan kami, apa yang kami inginkan adalah peningkatan pendaftaran secara bertahap. Selain berdaftar, kami juga ingin mereka mula berjumpa doktor,” ujarnya.

Beliau menambah, hanya selepas berjumpa doktor langkah susulan boleh diambil, contohnya sama ada untuk teruskan preskripsi ubat, dinasihatkan bersenam, kurangkan gula dan sebagainya.

Encik Ong turut menekankan peranan doktor keluarga dalam menggalak lebih ramai menyertai inisiatif itu.

“Doktor keluarga telah memainkan peranan aktif sejauh ini. Apabila pesakit ke klinik mereka, mereka akan cuba memujuk mereka, beri keterangan dan daftarkan pesakit,” katanya.

Menurut Encik Ong, sekitar 1,200 doktor keluarga layak menjadi sebahagian daripada inisiatif itu dan sejauh ini sebanyak 950 sudah berdaftar di bawah SG Lebih Sihat.

Meskipun sokongan dari doktor keluarga terus kukuh, Encik Ong akui ada di antara mereka yang telah memberikan maklum balas terutama sekali dari segi mempertingkat proses pentadbiran inisiatif itu.

“Ini kerjasama jangka panjang, dan ia akan berhasil, sepertimana yang kita paparkan semasa pandemik Covid-19,” ujarnya.

Usaha menggalak lebih ramai warga emas menyertai inisiatif SG Lebih Sihat itu juga memerlukan penglibatan sukarelawan seperti Duta Generasi Warga Emas (SGA), kata Encik Ong.

Peranan SGA tidak berhenti di situ, malah aspek lebih penting adalah untuk memastikan warga emas keluar dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.

“Tujuan lebih mustahak adalah untuk memujuk mereka keluar rumah dan melibatkan diri dalam masyarakat secara aktif.

“Kami bimbang perasaan sunyi dan terpencil di kalangan warga emas berleluasa, terutama sekali jika mereka tinggal sendirian.

“Jika mereka tinggal sendirian, dan berasa sunyi, kesihatan mereka akan terjejas,” katanya.

Ini jelas kelihatan semasa tempoh pandemik, di mana ramai warga emas yang sebelum itu aktif dalam masyarakat ‘tersekat’ di rumah kerana khuatir dijangkiti.

Apabila mereka keluar rumah sekali lagi sejak Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) di Singapura bertukar kepada hijau, penyakit yang dialami mereka bertambah teruk dengan begitu cepat.

Justeru, Singapura memerlukan sistem penjagaan warga emas yang merangkumi usaha melibatkan mereka yang berasa kesunyian.

Menurut Encik Ong: “Kami perlu lakukan lebih banyak aktiviti yang boleh menarik perhatian warga emas untuk keluar rumah. Ini merupakan antara keutamaan kami yang sedang diusahakan.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >