Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Shanmugam temui pemimpin Melayu/Islam perjelas konteks isu Israel-Palestin, pendirian pemerintah S’pura

Pertemuan Sabtu lalu diadakan memandangkan konteks dan sejarah konflik kurang diketahui, elak maklumat salah disebarkan
Oct 29, 2023 | 04:40 PM



Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Melayu/Islam untuk menerangkan konteks isu Palestin-Israel dan pendirian pemerintah Singapura.

Beliau berkata penerangan itu dibuat memandangkan konteks dan sejarah konflik itu kurang diketahui, serta keadaan diburukkan lagi dengan maklumat salah yang sedang disebarkan.

Encik Shanmugam menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) pada Ahad mengenai pertemuan beliau dengan lebih 200 pemimpin masyarakat dan agama Melayu/Islam pada pagi Sabtu.


Mengulas mengenai sesi tersebut, Encik Shanmugam berkata ia merupakan satu “sesi yang sangat baik” dan merupakan peluang bagi semua yang hadir memahami lebih mendalam mengenai konflik yang berpanjangan itu.

“Saya menjelaskan terdapat banyak perkara yang tidak diketahui orang ramai dan terdapat banyak maklumat yang salah serta maklumat palsu yang sedang disebar, mengenai apa yang sedang berlaku dan pendirian pemerintah,” katanya.

Beliau berkata antara isu yang dibincangkan ialah apa yang dimaksudkan dengan huraian dua negara antara Israel dengan Palestin, adakah ini sekadar satu naratif sahaja, dan apakah pendirian Singapura.

Encik Shanmugam berkata, pendirian Singapura adalah amat jelas dan berdasarkan prinsip.

“Kami (Singapura) telah mengundi untuk menentang penempatan haram oleh Israel... kami tegaskan perbuatan itu bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

“Kami telah mengundi untuk menolak usulan menjadikan Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

“Dan pada masa yang sama, kami secara konsisten juga menyokong hak Israel untuk wujud, sedang Hamas mahu menghapuskan Israel dari peta,” jelas beliau.

Encik Shanmugam menambah, para pemimpin masyarakat menghargai penjelasan yang diberikan dan akur bahawa ia memberikan gambaran yang lebih baik.

“Dan mereka katakan, bolehkah ini dibawa ke masyarakat? Bolehkah kita mencari cara di mana kita boleh menjelaskannya kepada masyarakat Singapura secara keseluruhan, kedudukan sebenar, siapakah ‘pelaku-pelaku’ utama dalam konflik ini dan apakah kedudukan kita.

“Kami akan cuba melakukan perkara ini,” tambah Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam menyatakan demikian kepada wartawan di satu acara menyediakan barangan keperluan kemanusiaan bagi mangsa di Gaza pada pagi Ahad oleh pertubuhan bantuan kemanusiaan, Humanity Matters.

Acara itu melibatkan seramai 100 relawan daripada pertubuhan berbilang bangsa dan disifatkan Encik Shanmugam sebagai contoh “hasrat yang teguh” rakyat Singapura tidak kira bangsa dan agama untuk membantu dan berbakti.

Dalam pada itu, Encik Shanmugam turut menyentuh tentang langkah Singapura menyokong resolusi yang diusul negara-negara Arab dalam Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dinihari Sabtu bagi “melindungi orang awam dan mematuhi keperluan undang-undang dan kemanusiaan”.

Ini termasuk menyokong gesaan bagi gencatan senjata dan meneruskan usaha bantuan kemanusiaan dengan matlamat mengakhiri permusuhan.

Encik Shanmugam berkata, undi terkini yang dibuat Singapura sejajar dengan pendirian berprinsipnya selama ini, sepanjang lebih 50 tahun dalam resolusi-resolusi PBB sejak 1967.

Namun, menurut Encik Shanmugam, walaupun Singapura telah menyokong usul itu, ia menganggap resolusi itu tidak “memberi gambaran sepenuhnya”.

“Jadi kami memberi penjelasan kepada undian kami itu, dan kami berkata terdapat dua bidang secara berprinsip yang tidak disebutkan dalam resolusi itu.

“Pertama, kami harus mengecam serangan pengganasan oleh Hamas pada 7 Oktober yang tidak boleh diterima atas apa alasan sekalipun dan kedua kami harus menggariskan hak Israel bagi mempertahankan dirinya.

“Namun, hak itu tidak boleh melibatkan pembunuhan orang awam tanpa sebab dan mesti dilakukan dengan mematuhi udang-undang antarabangsa,” katanya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >