Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Singapuraku semakin berubah ke arah masa depan lebih baik

Oct 27, 2023 | 06:57 PM



Ketika saya di sekolah rendah, lebih-lebih lagi sebelum menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), ibu dan ayah sering pesan supaya “belajar rajin-rajin, jadi dapat masuk ke sekolah yang bagus”.

“Sekolah yang bagus” yang diberitahu kepada saya ketika itu hanya satu - Sekolah Perempuan Raffles.

Ketika membesar pula, sering ‘ditanam’ dalam diri saya: nanti dah besar, jadi doktor.

Ke Raffles pun tidak, jadi doktor jauh sekali.

Saya rasa pengalaman yang saya lalui dan nasihat yang saya terima bukanlah sesuatu yang unik, lebih-lebih lagi bagi mereka yang segenerasi dengan saya.

Markah peperiksaan yang bagus akan mendapatkan kita tempat di sekolah yang bagus dan itu akan membuka laluan kepada pekerjaan serta kehidupan yang bagus.

Secara amnya, memang benar. Tak salah nasihat sedemikian dan saya bersyukur itulah nasihat yang telah diberikan kepada saya ketika itu.

Itulah Singapura di mana saya membesar. Namun saya rasa itu bukanlah Singapura di mana anak saya akan membesar.

Impian Singapura atau ‘The Singapore Dream’ sekarang berbeza daripada yang dahulu.

Dalam ucapannya ketika melancarkan Laporan Melakar Hala Tuju Singapura, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata kini orang tidak lagi berbual tentang ‘5C’ - kondo, kereta, wang tunai, kad kredit dan keahlian kelab.

“Kita masih mahukan kehidupan yang baik – ada kebimbangan tentang isu-isu seharian seperti perumahan dan kos sara hidup yang masih diberi tumpuan oleh pemerintah dan sedang ditangani.

“Namun, daripada pendekatan kami, agak jelas bahawa Impian Singapura melampaui kejayaan kebendaan – ia juga tentang kepuasan, makna dan tujuan dalam apa sahaja yang kita lakukan,” kata Encik Wong.

Impian Singapura yang baru lebih daripada setakat mencapai kejayaan material, ia merangkumi pemahaman bahawa tiada siapa yang akan dibiarkan membela nasibnya sendiri tetapi semua warga akan mengharungi segalanya bersama.

Sedang masyarakat berkembang dan menjadi lebih matang, warga Singapura mahu mendakap definisi kejayaan yang lebih luas dan mahukan Impian Singapura yang lebih inklusif.

Dalam laporan tersebut, warga Singapura berkata mereka mahukan Impian Singapura di mana setiap individu dihargai, aspirasi dan laluan mereka yang pelbagai harus disokong dan pencapaian serta kejayaan mereka patut diraikan bersama.

Untuk mencapai Impian Singapura yang baru ini, laporan tersebut menggariskan tujuh anjakan yang perlu dilakukan:

Menimba ilmu melangkaui kecemerlangan akademik; menghormati dan memberi ganjaran bagi setiap pekerjaan; menyokong keluarga pada setiap tahap kehidupan; membantu warga emas menua dengan sejahtera; memperkasa mereka yang memerlukan; melabur dalam masa hadapan yang mampan; dan memainkan peranan kita sebagai satu rakyat yang bersatu.

Jauh daripada sekadar ‘angan-angan’ semata, laporan itu menekankan keperluan membuat beberapa perubahan supaya setiap warga Singapura merasakan kepentingan dalam melakar masa depan kita bersama, sambil mempunyai rasa kewajipan dan tanggungjawab antara satu sama lain.

Dalam persekitaran yang begitu kompetitif, kadang kita terlampau fokus mengajar kejayaan sendiri, kita terlupa ada orang lain di sekeliling yang mungkin memerlukan bantuan dan bimbingan kita.

Kita harus ingat, tiada siapa yang berjaya hanya kerana diri dan usahanya sendiri. Setiap kejayaan adalah hasil sumbangan beberapa faktor.

Saya suka kata-kata DPM dalam ucapannya: Kita benar-benar mencapai kejayaan hanya apabila kita berjaya bersama.

“Itu sebabnya saya tegar percaya bahawa Impian Singapura yang diperbaharui ini bukan tentang saya, saya dan apa yang saya miliki; tetapi ia lebih kepada kami, kita dan apa yang dimiliki bersama.

“Ia adalah penghayatan bahawa tiada siapa yang akan dibiarkan membela nasibnya sendiri tetapi kita semua akan mengharungi segalanya bersama,” kata beliau.

Membaca Laporan Melakar Hala Tuju Singapura memberi saya seakan kebanggaan kerana ia mencerminkan Singapura di mana warganya memiliki nilai dan keinginan yang baik dan menuju ke arah masa depan yang baik.

Saya alu-alukan Singapura di mana saya dapat menua dengan selesa, di mana masyarakat saling mahu membantu, di mana anak-anak kita mempunyai lebih daripada hanya ‘satu sekolah yang bagus’ dan di mana kejayaan semua adalah kejayaan kita bersama.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >