Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Siswa baru NUS perlu ikuti satu set modul sama di awal pengajian

Khusus bagi mahasiswa pengajian pergigian, perubatan, kejururawatan dan farmasi
Aug 15, 2023 | 07:38 PM



Bermula bulan ini, mahasiswa baru yang menyertai Universiti Nasional Singapura (NUS) bagi mengikuti pengajian pergigian, perubatan, kejururawatan dan farmasi perlu menduduki satu set modul yang sama semasa dua tahun pertama pengajian mereka.

Ini dilakukan sedang para penuntut juga dikehendaki menyertai program individu sedia ada, lapor The Straits Times.


NUS pada Selasa mengumumkan, sekitar 870 siswa dan siswi tahun pertama di keempat-empat disiplin jagaan kesihatan itu akan mengambil lima kursus bersama-sama, sebagai sebahagian kurikulum baru yang lebih berselaras bagi pendidikan jagaan kesihatan profesional yang telah dibentuk sejajar strategi jagaan pencegahan kesihatan Singapura, SG Lebih Sihat.

Tujuan menetapkan kursus tersebut adalah untuk memupuk penuntut tentang kesedaran lebih menyeluruh terhadap isu sosial dan kesannya kepada kesihatan.

Ia juga berharap dapat menggalakkan usaha kerjasama, serta mendidik kemahiran perhubungan serta celik digital dalam kalangan mereka.

Lima kursus itu – yang mana setiap satu akan selesai dalam tempoh 13 minggu – meliputi topik seperti bagaimana faktor sosial dan sekitaran boleh menjejas kesihatan, serta kemahiran data bagi jagaan kesihatan.

Mahasiswa juga akan diberi peluang mempelajari tentang bagaimana untuk bekerjasama dan berkomunikasi dalam pasukan berbilang disiplin, termasuk prinsip ehwal undang-undang dan etika di balik amalan serta penyampaian khidmat jagaan kesihatan.

Mereka juga dibolehkan meneroka kemahiran lain seperti daya pemikiran berlandaskan komputer, sains data, kecerdasan buatan (AI) serta pembelajaran mesin dalam konteks jagaan kesihatan.

Kelas bagi kursus-kursus tersebut akan dijalankan secara bercampur iaitu secara fizikal dan dalam talian.

Penuntut di keempat-empat disiplin jagaan kesihatan ini juga akan membentuk kumpulan bercampur untuk menziarah pesakit di rumah mereka atau di kemudahan penginapan lain secara kerap sepanjang setahun.

Ini supaya mereka boleh memanfaatkan konsep yang dipelajari semasa di kelas mengenai jagaan menyeluruh bagi pesakit serta memupuk sikap kesefahaman.

Provos dan timbalan presiden ehwal akademik NUS, Professor Aaron Thean, berkata: “Memandangkan keperluan jagaan kesihatan Singapura kian berkembang, pendekatan silang disiplin menjadi semakin relevan.”

Dekan sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS, Professor Chong Yap Seng, pula berkata:

“Kesihatan dan kemaslahatan (orang ramai) melangkaui kerja memberi jagaan kepada mereka yang sakit sahaja. Untuk memastikan orang ramai kekal sihat sepanjang umur dan memberi jagaan lebih baik kepada mereka apabila mereka jatuh sakit, kami perlu meneroka lebih daripada batas-batas tradisional sains dan perubatan serta meraih ilmu daripada disiplin lain.”

Semua mahasiswa perubatan tahun pertama dalam tahun akademik semasa 2023/2025 juga perlu menyelesaikan satu pelajaran minor dalam bidang Maklumat Bioperubatan (Biomedical Informatics) sewaktu tempoh siswa masing-masing.

Kurikulum itu menggabungkan bidang jagaan kesihatan, sains data, AI dan teknologi maklumat, untuk melengkapkan pelajar menggunakan data dengan cekap agar dapat menambah baik keputusan kesihatan pesakit dan aliran maklumat di seluruh sistem IT jagaan kesihatan.

Siswa daripada fakulti, sekolah dan maktab NUS lain, juga boleh menceburi sebuah minor baru dalam bidang Kesihatan Bersepadu (Integrative Health) ditawar sekolah perubatan NUS untuk mempelajari lebih tentang sistem moden kesihatan.

Mereka yang menyertai program tersebut yang bermatlamat membangunkan daya pemikiran silang disiplin dalam menyelesaikan huraian terhadap isu kesihatan yang kompleks, akan menyelesaikan lima kursus dalam jangka waktu dua tahun atau lebih.

Ia akan dimulakan dengan seramai 50 pelajar, dengan rancangan untuk meluaskan bilangan pelajar dalam tempoh tiga tahun mendatang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >