Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Speaker Parlimen baru tekankan perlunya AP jaga tatalaku, khidmat pada rakyat

Pencadang pelantikan beliau ialah Ketua Dewan, Indranee Rajah dan disokong Denise Phua
Aug 02, 2023 | 04:42 PM



Beberapa peristiwa baru-baru ini menjadi peringatan kepada anggota Dewan tentang kesudahan dan kerapuhan mereka sendiri.

Ia menunjukkan bahawa anggota Dewan hanya “manusia biasa”, dengan bukan sahaja kelemahan fizikal, bahkan kerohanian dan moral, kata Speaker Parlimen baru, Encik Seah Kian Peng, pada Rabu.

“Saya berkata begini bukan untuk menyampaikan soal kesucian diri, tetapi pertama sekali untuk mengimbau akan perlunya kita semua berwaspada dalam tingkah laku peribadi,” kata beliau.

Encik Seah berkata anggota Dewan pertama sekali perlu berwaspada mengenai diri mereka sendiri, dan juga rakan-rakan mereka, serta mempertanggungjawabkan satu sama lain tanpa rasa takut dan memberitahu yang sebenar kepada ketua.

“Saya berkata begini untuk mengetengahkan peraturan dan kod tatalaku yang mentadbir kita semua, sebagai anggota badan yang menggubal peraturan tertinggi di negara ini, dan begitu juga selaku anggota parti politik,” tambah beliau.

Encik Seah, 61 tahun, dinamakan oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, selaku calon bagi jawatan Speaker pada 21 Julai.

Jawatan Speaker menjadi kosong menyusuli peletakan jawatan Encik Tan Chuan-Jin pada 7 Julai ekoran hubungan sulitnya dengan bekas Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Cik Cheng Li Hui, yang turut meletak jawatan.

Encik Tan, 54 tahun, juga menggunakan bahasa tidak beradab dalam Dewan menyusuli satu ucapan oleh AP Parti Pekerja (WP), Profesor Madya Jamus Lim.

Encik Seah adalah Speaker Parlimen ke-11. Beliau menjadi AP bagi GRC Marine Parade sejak 2006, apabila kali pertama dipilih menjadi AP.

Pencadang pelantikan beliau sebagai Speaker ialah Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, sementara penyokongnya Cik Denise Phua (GRC Jalan Besar).

Encik Seah mengingatkan anggota Dewan bahawa kata-kata dan pekerjaan mereka memberi kesan jangka panjang.

“Justeru kita perlu ingat dan menggalas jawatan kita secara bermaruah dan sentiasa bersikap tanggungjawab,” kata beliau.

Encik Seah berkata beliau bersikap optimistik bahawa meskipun semasa perbahasan berlangsung dengan penuh bersemangat, anggota Dewan perlu mengekalkan piawaian ketertiban tertinggi dan memaparkan kelakuan yang sesuai di dalam Dewan.

Sedang mereka perlu berbahas dengan yakin dan bersungguh-sungguh, mereka perlu mengekalkan peraturan sebagai AP, tambahnya.

Encik Seah akur sesetengah penduduknya prihatin akan kemampuannya menimbulkan isu-isu yang menjejas rakyat, sedang beliau menggalas tanggungjawab selaku Speaker.

“Paradoks dalam Parlimen ialah Speaker sendiri sering tidak bercakap,” ujarnya.

Meskipun peranannya memerlukan beliau mengelak daripada berbahas, Encik Seah memberitahu penduduknya bahawa beliau akan sentiasa memperjuangkan keprihatinan mereka, dan melahirkan pandangannya tentang perkara yang menjejas kehidupan warga Singapura serta keluarga mereka menerusi saluran alternatif.

“Saya berikrar akan menjalankan tanggungjawab secara saksama, tegas dan adil, memastikan perlakuan perihal Parlimen yang teratur.

“Kita semua berkongsi satu matlamat – iaitu berkhidmat kepada rakyat Singapura, dan saya komited untuk memberikan yang terbaik demi mencapainya,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >