Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura kini lebih inklusif, namun usaha berterusan diperlukan

Perjalanan Singapura menjadi sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang telah jauh berkembang jika dibandingkan dengan sedekad lalu. Setiap lapisan masyarakat, termasuk mereka yang kurang upaya dan berkeperluan khas, mempunyai perlindungan dan disediakan pelbagai sokongan dan inisiatif. Namun, adakah Singapura sudah mencapai tahap inklusiviti yang diinginkan dan apakah masih banyak perlu diperbaiki? Berikut Berita Minggu (BM) meneliti isu inklusiviti di Singapura.
Aug 06, 2023 | 05:31 AM



Sebagai warga emas yang menggunakan skuter elektrik, Encik Mohamed Ekball Packir Mohamed beranggapan bahawa beliau tidak dapat merasakan nikmat menunaikan solat berjemaah di saf hadapan walaupun beliau antara yang terawal tiba di masjid.

Justeru pesara berusia 72 tahun itu sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Masjid Al-Khair yang sejak 2022 telah menyediakan ruang khusus di saf hadapan untuk jemaah yang menggunakan alat bantuan pergerakan peribadi (PMA) seperti kerusi roda atau skuter elektrik.

Ruang khusus itu antara cara masjid tersebut cuba menjadi lebih inklusif terhadap jemaah warga emas yang tidak dapat menunaikan solat seperti biasa.

Inisiatif itu juga merapatkan “jurang” antara dua kumpulan jemaah yang boleh solat seperti biasa dan yang perlu duduk di kerusi atau PMA – yang biasanya terpisah oleh barisan saf kosong antara mereka.

Keadaan di masjid di Choa Chu Kang itu seakan melambangkan usaha Singapura menjadi lebih inklusif terhadap pelbagai lapisan masyarakat.

LALUAN KE ARAH INKLUSIVITI

Sememangnya, usaha Singapura memupuk dan membina sebuah masyarakat yang inklusif dan penyayang telah jauh berkembang.

Pada 2004, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menyebut tentang visi mewujudkan masyarakat inklusif di Singapura yang mendakap semua individu dengan keupayaan berbeza.

Kempen Pendidikan Awam Kesedaran Ketidakupayaan dilancarkan pada tahun sama bagi menangani sikap dan persepsi rakyat Singapura terhadap individu kurang upaya.

Pada 2006, Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS) dan NCSS mengumumkan Pelan Induk Pemerkasaan sulung bagi 2007 hingga 2011 – satu rancangan penting yang membentangkan visi negara ini sebagai sebuah masyarakat inklusif.

Sejak itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menghidupkan visi tersebut.

Jika dilihat keadaan sekeliling hari ini, banyak tempat awam kini bebas halangan dan disediakan lif, tanjakan dan ruang khas untuk golongan kurang upaya. Terdapat juga pelbagai program dan skim yang boleh dimanfaatkan individu, ibu bapa dan majikan sekiranya memerlukan bantuan untuk keperluan khas.

Mengulas mengenai usaha inklusiviti di sini, Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata tumpuan keterangkuman di Singapura pada asalnya adalah kepada kaum dan agama sebagai sebuah negara yang baru merdeka.

Dalam beberapa dekad yang menyusuli, Singapura telah meluaskan keterangkuman untuk menyertakan jantina, orang kurang upaya, pembangunan wanita dan kesihatan mental, antara lain.

“Kita kini berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding sedekad lalu. Tetapi jalan menuju masyarakat yang lebih inklusif adalah jalan yang tidak berkesudahan. Matlamat kita mestilah untuk menjadi lebih inklusif setiap tahun – bukan hanya daripada segi infrastruktur tetapi lebih penting adalah dari segi nilai, norma dan sikap,” kata Profesor Tan.

“Di sini terletak cabaran sebenarnya. Bagaimana boleh kita menggalak setiap penduduk di Singapura menjadikan keterangkuman sebagai cara hidup? Undang-undang dan dasar hanya boleh melakukan sekian banyak daripada segi mempromosikan dan melindungi keterangkuman.

“Tetapi di mana perbezaan sebenar dirasai adalah dalam kehidupan seharian kita. Adakah orang berasa disertakan atau dikecualikan semasa mereka menjalani kehidupan seharian mereka? Adakah kita melihat menjadi inklusif sebagai tanggungjawab kita walaupun tiada siapa yang memerhatikan kita?” tambahnya.

CONTOH-CONTOH USAHA

Usaha menjadikan Singapura lebih inklusif dijalankan dalam hampir setiap lapisan masyarakat.

Di tempat kerja misalnya, pelbagai sokongan disediakan untuk majikan yang menggajikan individu kurang upaya (PWD).

Ini seperti Program Open Door (ODP) yang menyediakan geran bagi rekaan semula pekerjaan dan latihan serta khidmat sokongan pekerjaan, dan Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya.

Menurut data Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kadar pengambilan kerja penduduk yang kurang upaya berusia 15-64 tahun adalah 30.1 peratus secara purata dari 2020 hingga 2021 – satu kenaikan daripada 28.2 peratus dari 2018 hingga 2019.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef), Encik Sim Gim Guan, berkata tempat kerja merupakan mikrokosma sebuah masyarakat.

“Oleh itu, sedang masyarakat luas menjadi lebih inklusif, perkara yang sama turut berlaku di tempat kerja,” kata beliau.

Namun begitu, beliau menekankan pentingnya peranan rakan sekerja membantu PWD menyepadukan diri di tempat kerja dan sokongan pelanggan terhadap golongan itu untuk memperkasa mereka.

Dalam pendidikan pula, Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, berkata sebagai seorang pendidik selama 20 tahun lalu, beliau telah menyaksikan sendiri bagaimana sekolah kini telah menjadi lebih inklusif berbanding sedekad lalu.

Ini termasuk melaksanakan dasar untuk menyokong pelajar berkeperluan khas, membina infrastruktur yang boleh diakses dan menggalakkan kesedaran tentang keterangkuman.

Untuk memupuk semangat inklusif sejak kecil lagi, agensi khidmat sosial, AWWA, memulakan Kindle Garden – sebuah prasekolah inklusif bagi kanak-kanak semua keupayaan yang pertama di sini pada 2016.

Kanak-kanak prasekolah itu berpeluang berinteraksi dan bekerjasama dengan personaliti dan keperluan berbeza setiap hari, sekali gus membantu mengasah kebolehan menyumbang secara berkesan kepada dinamik kumpulan yang berbeza, kata Pengarah, Ketidakupayaan dan Keterangkuman, AWWA, Cik Ng Lee Lee.

“Dengan melihat dan menghargai rakan sebaya untuk kekuatan mereka dan diri mereka sebagai individu, anak-anak kita lebih cenderung membentuk hari esok dengan kepercayaan bagi penyepaduan, dan seterusnya, menyumbang kepada kompak sosial yang kukuh,” kata beliau.

Tempat awam seperti masjid pula telah berusaha menjadi lebih mesra warga emas sejak pelancaran Program Peningkatan Masjid (MUP) pada 2009, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Di bawah inisiatif itu, beberapa masjid lama dikenal pasti untuk menjalani peningkatan termasuk kemudahan bebas halangan seperti lif pada setiap aras, tanjakan bagi laluan jemaah berkerusi roda dan tandas untuk golongan kurang upaya.

Muis juga memastikan ciri-ciri itu disertakan dalam masjid yang baru dibina seperti Masjid Al-Islah, Masjid Maarof dan Masjid Yusof Ishak, di mana ruang untuk jemaah kurang daya pendengaran dan juga laluan khas untuk golongan kurang daya penglihatan turut disediakan. Masjid juga kini menyediakan ruang untuk ibu-ibu yang menyusukan bayi.

MASIH BOLEH DIPERBAIKI

Meskipun pelbagai langkah telah dilakukan, adakah ini menunjukkan rakyat Singapura benar-benar telah mendakap dan menerima individu dengan keupayaan yang berbeza dalam masyarakat?

Berdasarkan pemerhatian zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Mohamad Shamsuri Juhari, golongan muda memiliki tahap penerimaan kepelbagaian yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan golongan yang lebih berusia.

Namun, beliau berkata keterbukaan seseorang menerima kepelbagaian terbentuk berdasarkan pelbagai faktor.

“Sistem pendidikan kita banyak membantu dalam menerima kepelbagaian, tetapi generasi yang lebih berusia mungkin tidak berpeluang menikmati sistem yang sama sekarang, oleh itu pengalaman mereka berbeza dari segi pendedahan dan peluang berinteraksi dengan kepelbagaian dalam masyarakat,” kata beliau.

Dr Shamsuri, antara lain, menyarankan supaya tempat kerja dapat mengadakan program yang meliputi topik kepelbagaian yang luas dan menyeluruh, termasuk layanan adil terhadap wanita hamil, ibu bapa yang baru dapat anak, jantina dan orientasi seksual berbeza, pekerja lanjut usia dan mereka yang kurang upaya.

Dr Wan Rizal pula berpandangan bahawa usaha berterusan diperlukan untuk menyokong pelajar berkeperluan khas dan ini termasuk pelaburan lanjut dalam latihan guru dan meningkatkan penglibatan masyarat dalam inisiatif yang meningkatkan inklusiviti, katanya.

Beliau juga menyarankan supaya kerjasama antara sekolah aliran utama dan sekolah pendidikan khas dipertingkat.

“Satu contoh ialah inisiatif seperti Masyarakat Pengamal, di mana sekolah pendidikan khas, sekolah aliran utama dan rakan kongsi masyarakat bekerjasama dan menyediakan wadah untuk menggalak keterangkuman,” katanya.

KURANG UPAYA TIDAK BERERTI KURANG KEBOLEHAN

Ketua pegawai ekskeutif (CEO) SG Enable, Cik Ku Geok Boon, berkata perlu ada anjakan minda untuk merangkumkan orang kurang upaya sebagai anggota penting dalam masyarakat.

“Kita perlu beralih daripada simpati kepada empati – untuk melihat melepasi ketidakupayaan, tumpu pada kebolehan, dan menjadikan rangkuman sebagai norma,” kata beliau.

Untuk mencapai matlamat itu, SG Enable mempunyai inisiatif seperti pentauliahan Enabling Mark yang mengiktiraf majikan inklusif dan pekerja kurang upaya teladan, serta Anugerah Pengupaya Goh Chok Tong yang mengiktiraf pencapaian dan potensi orang kurang upaya yang luar biasa.

Pada 2023, orang kurang upaya juga menyumbang kemahiran dan bakat mereka kepada seni, fesyen dan muzik untuk sambutan Hari Kebangsaan, meneruskan kerjasama mereka dengan jawatankuasa eksekutif Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sejak 2020.

“Kunci kepada ini ialah menyedari bahawa kita semua boleh memainkan peranan dan membuat perubahan untuk membina Singapura yang lebih inklusif,” kata Cik Ku.

Pengkaji ketidakupayaan dari Sekolah Perhubungan dan Maklumat Wee Kim Wee di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Victor Zhuang, berkata halangan utama dalam menjadi masyarakat yang inklusif adalah memahami bahawa keterangkuman sebenar tidak berlaku kerana belas ihsan dan orang kurang upaya tidak mahukan belas ihsan atau simpati.

“Ini bukan untuk mengatakan bahawa belas ihsan atau simpati tidak diperlukan – ini adalah ciri kuat masyarakat yang berbelas kasihan dan penyayang yang dicita-citakan Singapura.

“Tetapi apabila bercakap tentang kurang upaya, lebih kerap daripada tidak, simpati dan belas ihsan menafikan orang kurang upaya pengiktirafan yang mereka perlukan – dalam pekerjaan, dalam masyarakat, dalam perhubungan dan sebagainya,” katanya.

Dr Zhuang turut meluahkan harapan untuk melihat lebih ramai orang kurang upaya memegang peranan kepimpinan.

“Saya fikir adalah penting bahawa pengalaman kurang upaya yang dilalui memaklumkan kerja dan dasar yang menjejas populasi yang ia tadbir atau memaklumkan amalan perniagaan,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >