Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura perlu lindungi dasar pelbagai kaum demi perpaduan: Presiden Halimah

Gesa teliti struktur sepadukan pendatang asing, teroka cara perkukuh keharmonian
Jun 26, 2023 | 08:26 PM



Singapura harus berwaspada terhadap kedua-dua ancaman nyata dan yang lebih halus ke atas dasar kepelbagaian kaum di sini yang boleh merosakkan perpaduan dan kestabilan negara dari masa ke semasa, kata Presiden Halimah Yacob.

Selain ancaman nyata terhadap dasar kepelbagaian kaum seperti pandangan ekstrem dan perkauman yang boleh menyebabkan perpecahan yang dilihat di negara-negara seluruh dunia, ada juga ancaman lebih halus, seperti sentimen terhadap bakat asing yang dianggap suka bercampur hanya sesama sendiri dan tidak perlu patuh pada kebiasaan atau peraturan di sini.

Menekankan hal demikian, Puan Halimah berkata Singapura mesti menyedari ancaman yang lebih halus terhadap kepelbagaian kaum.

“Sebagai ekonomi kecil dan terbuka, Singapura kekal terbuka kepada bakat-bakat asing kerana mereka menyumbang kekuatan dan kepakaran yang membolehkan kita kekal berdaya saing dari segi ekonomi.

“Bagaimanapun, hidup di pulau kecil ini bermakna adalah penting bagi mereka untuk dapat berintegrasi secara sosial ke dalam masyarakat setempat kita.

“Mereka mesti tahu bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat kita juga dan di Singapura kita berinteraksi dan hidup dalam kalangan orang yang berbeza daripada diri kita sendiri.

“Jika tidak ditangani, sentimen dalam kalangan warga Singapura bahawa bakat asing bermain mengikut peraturan yang berbeza dan hanya bergaul antara diri mereka sendiri, mungkin memburuk,” ujar Puan Halimah.

Puan Halimah berkata dasar kepelbagaian kaum merupakan komponen penting dalam identiti kebangsaan Singapura dan sesuatu yang telah diputuskan sejak negara ini merdeka.

Bahkan, kepelbagaian kaum dianggap satu kekuatan negara ini yang sehingga kini membolehkan warganya hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu, kata beliau.

Puan Halimah berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di majlis makan malam sempena menyambut ulang tahun ke-35 Institut Kajian Dasar (IPS) di Hotel St Regis pada Isnin (26 Jun).

Menggambarkan konflik perkauman dan keagamaan sebagai sesuatu yang jika sudah terjadi, sukar dihentikan, Puan Halimah berkata hanya satu insiden diperlukan untuk memusnahkan fabrik sosial yang aman yang telah susah payah dibina selama berdekad di negara ini.

Beliau akur banyak usaha telah dilakukan untuk memperkukuh kepelbagaian kaum di sini “tetapi kita perlu meneliti sama ada struktur sedia ada berkesan dalam menyepadukan pendatang asing dan apa lagi yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan sebelum polarisasi menjadi lebih teruk dan rasa tidak puas hati memuncak dan menjejaskan keharmonian sosial kita”.

“Usaha kita mesti turut merangkumi sekolah, tempat kerja dan ruang masyarakat yang didiami bakat asing untuk memastikan pendekatan yang berkesan,” kata beliau.

Dalam ucapannya, Puan Halimah turut menyentuh tentang meritokrasi dan keperluan memastikan ia inklusif dan tidak menghambat mobiliti sosial.

“Kita mesti memastikan laluan yang dibangunkan bagi mereka yang telah meraih manfaat daripada meritokrasi tidak menghambat pembangunan mereka yang mungkin mengecapi kejayaan lebih lewat atau mereka yang cemerlang dalam bidang bukan akademik,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa tempat kerja mesti mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik tetapi merupakan pekerja mahir yang diperlukan oleh ekonomi.

“Kalau tidak banyak yang berubah dan majikan masih mengejar kelayakan akademik, maka ketidakadilan akan terus berleluasa,” ujar Puan Halimah.

Puan Halimah turut mengambil bahagian dalam dialog yang dikendalikan pengarah SPH Media Trust dan juga felo S R Nathan ke-11 , Encik Patrick Daniel.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >