Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura, Qatar meterai 5 MOU bagi perkukuh kerjasama

Presiden Halimah, Amir Qatar saksikan pemeteraian 4 daripada 5 perjanjian – tenaga, keselamatan makanan, keselamatan siber, penyelidikan dan pembangunan serta kerjasama teknikal.
Jun 21, 2023 | 05:08 PM



Singapura dan Qatar telah memeterai lima memorandum persefahaman (MOU) pada Rabu untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang termasuk tenaga, keselamatan makanan, keselamatan siber, penyelidikan dan pembangunan serta kerjasama teknikal.

Presiden Halimah Yacob yang mengadakan lawatan ke Qatar, telah menyaksikan pemeteraian empat daripada lima MOU itu bersama Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Awal sebelum itu, Puan Halimah telah bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani.

Puan Halimah juga telah menerima sambutan istiadat negara tertinggi, di mana kehadiran beliau di Amiri Diwan atau Istana telah diiringi dengan kuda dan unta diraja.

Ini merupakan penghormatan tambahan hanya bagi Ketua Negara khas yang dipilih Amir.

Antara MOU yang ditandatangani di Amiri Diwan ialah mengenai pelaksanaan program latihan bagi negara-negara Dialog Asia-Timur Tengah (Amed) di Pusat Latihan Serantau Pentadbiran Awam (RTCPA) di Qatar yang bertujuan menggalak lebih banyak kerjasama dan pemahaman antara Asia dengan Timur Tengah selain mempertingkat kerjasama dalam pembangunan sumber manusia bagi sektor awam dan keperluan pembangunan lain untuk Amed.

Dokumen perjanjian itu telah ditandatangani di Amiri Diwan antara Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, dengan Presiden Perkhidmatan Sivil dan Biro Pembangunan Pemerintah, Encik Abdulaziz Bin Nasser Bin Mubarak Al Khalifa. Dr Maliki juga menandatangani dua MOU yang lain, termasuk keselamatan siber dan makanan.

Di bawah MOU itu, Singapura dan Qatar akan menganjurkan program pembangunan keupayaan bagi topik seperti pentadbiran awam, perancangan bandar dan pembangunan mapan.

Di samping itu, bagi mempertingkat kerjasama dua hala dalam bidang tenaga dan penyahkarbonan, satu MOU telah ditandatangani antara Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dengan syarikat petrol Qatar, Qatar Energy, yang bertujuan memperkukuh rantaian bekalan LNG jangka panjang selain menggalak kerjasama teknikal mengenai LNG dan pertukaran pengetahuan berhubung proses mengumpul dan membersihkan karbon dan penyimpanannya.

MOU itu  telah ditandatangani oleh Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, dengan Menteri Negara Ehwal Tenaga serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Energy, Encik Saad Sherida Al Kaabi.

Bercakap kepada media, Cik Low berkata pihaknya telah diberitahu mengenai Visi 2030 Qatar menerusi pertemuannya dengan Kementerian Perindustrian Perdagangan Qatar, yang menurutnya membuka lebih banyak peluang untuk syarikat Singapura dalam bidang seperti teknologi dan inovasi, tenaga dan logistik serta prasarana.

Sebagai susulan kepada MOU ini, Enterprise Singapore (ESG) akan mengadakan tiga misi lawatan yang melibatkan syarikat kecil dan sederhana (SMEs) dalam bidang seperti fintech, jagaan kesihatan, tenaga dan logistik pada September kelak.

“Sekitar 30 SME yang terlibat dalam bidang ini akan bertemu dengan rakan sejawat mereka dari Qatar yang akan diuruskan antara ESG dengan pihak berkuasa Pelaburan Qatar untuk mengenal pasti peluang kolaborasi dan potensi pasaran,” ujarnya.

Mengulas, Ketua Pegawai Operasi Rotary Engineering, Encik Ian Choo, berkata pihaknya akan memanfaatkan nilai teras yang mencorak identiti Singapura dengan menyatukan sebuah pasukan yang melibatkan 1,800 pekerja daripada 15 bangsa selain memperkukuhkan jenama dan kesepaduan Singapura bagi menjayakan projek tersebut.

Rotary Engineering, yang merupakan sebuah syarikat kejuruteraan prasarana tenaga, perolehan dan pembinaan yang memberi tumpuan terhadap minyak, petrokimia dan terminal penyimpanan dan gas asli cecair (LNG), telah dianugerahkan kontrak AS$340 juta ($456 juta) pada 2021 oleh Qatar Energy untuk membina tangki penyimpanan bagi padang petrol dan jet di Bandar Perindustrian Mesaieed Qatar.

“Qatar, yang merupakan antara pengeksport terbesar LNG, mempunyai banyak sumber yang boleh dimanfaatkan dan ini sehaluan dengan Singapura, yang kini juga memberikan tumpuan terhadap LNG. Justeru kami yakin banyak sinergi yang akan wujud hasil daripada hubungan dua hala yang baik antara Singapura dengan Qatar,” katanya.

Di samping itu, bagi mempertingkat kerjasama keselamatan siber bagi menangani cabaran siber yang pesat berubah selain memperkukuh keselamatan siber, Agensi Keselamatan Siber Singapura dengan Agensi Keselamatan Siber Nasional Qatar.


Crimson Logic, sebuah pembekal huraian digital yang memberi tumpuan terhadap keselamatan siber dan undang-undang telah menandatangani perjanjian tiga tahun dengan Mahkamah Perdagangan dan Pelaburan Qatar tahun ini bagi membangunakan sistem bagi tuntutan mahkamah komersil serta pengurusan penyelesaian pertikaian komersial dan sivil.


Memberikan penjelasan, pengarah bersekutunya, Encik Yousif Adil El Ashi, berkata dengan kepakaran dan huraian yang ditawarkan, ia memudahkan akses kepada sesiapa sahaja yang perlu memfailkan tuntutan mahkamah secara dalam talian dengan lebih mudah dan teratur 


“Kami memudahkan proses agar masa yang diperuntukkan lebih singkat tetapi pada masa yang sama mencukupi. Misalnya dulu untuk menyelesaikan satu tuntutan, individu perlu turun naik mahkamah selama hampir 20 kali tetapi kini ia boleh dilakukan 24 jam sehari dan notifikasi akan diberikan terus kepada telefon bimbit mereka,” ujarnya.


Selain itu, satu lagi MOU mengenai inovasi antara Enterprise SG dengan Majlis Inovasi dan Pembangunan Penyelidikan Qatar telah ditandatangani.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pasaran Global) EnterpriseSG, Encik Tan Soon Kim, berkata inovasi akan dapat terus memacu perkembangan ekonomi Qatar melihat kepada ekonominya yang sedang berkembang pesat dalam beberapa tahun ini.


“Inovasi akan menjadi tumpuan utama sedang pemerintah meninjau untuk mengembangkan sektor lain seperti pelancongan, perdagangan, logistik, jagaan kesihatan dan menuju ke arah ekonomi yang berteraskan pengetahuan,” katanya.


Agensi Makanan Singapura (SFA) dengan Kementerian Perbandaran Qatar turut menandatangani satu lagi MOU bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan dalam keselamatan makanan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >