Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tender Bazar Raya Geylang Serai 2024 sudah dibuka

Sewa gerai ditetap had maksimum $15,000: Faishal
Oct 29, 2023 | 09:29 PM



Maklum balas dan keprihatinan orang ramai khususnya peniaga mengenai kos sewa gerai Bazar Geylang Serai yang tinggi telah diteliti, disemak dan dinilai pasukan yang mengendalikan penyelarasan jualan musiman itu.

Berbekal maklum balas tersebut, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) yang juga Penasihat Utama Wisma Geylang Serai (WGS), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, mengumumkan bahawa pihaknya akan menetapkan had sewa maksimum sebanyak $15,000 bagi setiap gerai untuk Bazar Raya Geylang Serai 2024. Jumlah itu 40 peratus lebih rendah berbanding harga sewa gerai pada 2023 yang mencecah hingga $25,000.

Dalam hantaran di Facebook pada Ahad, beliau berkata langkah yang diperkenalkan itu menyediakan harga yang dapat dimampui peniaga dan pelanggan. Ini bermakna pelanggan juga dapat meraih manfaat dengan peniaga dapat menawarkan barangan dengan harga berpatutan yang lebih berbaloi.

Isu kos sewa bagi gerai makanan dan minuman (F&B) Bazar Geylang Serai yang berjumlah antara $15,000 hingga $25,000 bagi jualan tahun ini, yang bergantung pada jenis makanan yang dijual dan saiz ruang yang disewa, menjadi keprihatinan dan topik perbincangan bisnes setempat.

Dalam laporan Berita Harian (BH) pada 27 Mei lalu, dilaporkan bahawa hasil kutipan oleh pengendali gerai Bazar Raya Geylang Serai 2023 rata-rata dikatakan di bawah jangkaan, meskipun rata-ratanya ramai yang ‘balik modal’.


Hal sedemikian lebih ketara bagi pengendali gerai F&B setelah margin keuntungan mereka difahamkan tidak begitu memberangsangkan dan ada yang sekadar mendapat pulangan modal saja.

Margin keuntungan merujuk kepada keuntungan bersih yang dijana sebagai peratusan daripada pendapatan – misalnya jika margin keuntungan bersih adalah 25 peratus, ini bermakna perniagaan tersebut memperoleh 25 sen daripada setiap dolar pendapatan yang dijana.

Had sewa gerai Bazar Raya Geylang Serai pernah diperkenalkan WGS pada 2019 dengan ia ditetapkan pada kadar $14,000.

Dalam pada itu, Dr Faishal mengumumkan tender sudah dibuka dengan lebih banyak pengumuman menarik bakal dibuat kelak. Berdasarkan portal perniagaan elektronik pemerintah GeBIZ, tender ini dijadualkan tutup pada 4 petang, 23 November 2023.

Sewaktu dihubungi BH, beliau menyatakan tender tersebut dibuka minggu lalu.

“Kami menantikan masa untuk meninjau apa yang operator berpotensi dapat tawarkan kepada pengunjung. Kos sudah tentunya menjadi keprihatinan peniaga dan pelanggan. Walau bagaimanapun, sebaik usaha yang kami mampu laksanakan, kami berharap bazar Ramadan 2024 akan menyediakan pengalaman yang baik buat setiap orang,” jelas Dr Faishal.

Satu taklimat juga akan diadakan di WGS pada 31 Oktober bagi mereka yang berminat menyewa gerai untuk 2024.

Bazar Raya Geylang Serai pada 2023 dengan 700 gerai, yang terbesar pernah diadakan, menarik sejumlah 5.56 juta pelawat.

Dalam laporan awal BH juga, dilaporkan bahawa bilangan gerai bazar pada 2024 akan berkurangan menyusuli kerja naik taraf yang berlangsung di sekitar Geylang Serai dan Joo Chiat Complex. Dr Faishal berkata pengurangan jumlah gerai itu akan memberi pasukan pengurusan bazar keupayaan menghasilkan pakej bidaan yang dimampui dan mengenal pasti kuasa pasaran pada tahun depan.

Ini memandangkan kerja naik taraf di Tanjong Katong Complex dan berdekatan Joo Chiat Complex serta Pasar Geylang Serai akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut dan pastinya menjejas bilangan gerai yang boleh disediakan.

Kata Dr Faishal:

“WGS menjalankan penilaian posbazar setiap tahun. Sedang sewa gerai adalah keputusan perniagaan yang dibuat antara operator dengan pegerai individu, kami tetap akan menilai kemungkinan menyemak kadar yuran agar harganya lebih dimampui pada masa depan, sedang kami mengambil pertimbangan kuasa pasaran juga.”

Di bawah kerja peningkatan itu, kawasan sekitar Pasar Geylang Serai dan Joo Chiat Complex bakal mendapat suntikan nafas baru, sebagai sebahagian daripada usaha merancakkan lagi suasana jalur budaya di Geylang Serai.

Kerja naik taraf bagi kawasan tersebut telah bermula dari suku kedua 2023 hingga suku kedua 2024.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >