Mantan menteri kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, telah mengemukakan permohonannya bagi mendapatkan sijil kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang.
Pasukan media bagi Encik Tharman, 66 tahun, memberitahu akhbar The Straits Times bahawa borang itu telah diserahkan pada pagi Isnin. Tiada butiran lanjut diberikan.
Beliau melancarkan usaha untuk bertanding dalam pilihan raya presiden pada Julai dengan tema ‘Menghormati Semua’.
Melahirkan visi menjadi ‘presiden bagi satu era baru’, Encik Tharman meminta orang ramai jangan menilai calon berdasarkan hubungan lalu sebaliknya berdasarkan rekod prestasi.
Beliau meletak jawatan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pemerintah pada 7 Julai.
Encik Tharman juga telah mendedahkan pencadangnya, iaitu presiden Persekutuan Persatuan Suku Cina Singapura yang juga mantan Anggota Parlimen Dilantik, Encik Thomas Chua, serta penyokongnya, mantan presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohammad Alami Musa.
Beberapa orang lain juga telah melahirkan hasrat bertanding bgi jawatan presiden.
Encik Ng Kok Song, 75 tahun, mantan ketua pegawai pelaburan (CIO) dana kekayaan negara GIC, memberitahu media beliau telah menyerahkan borang bagi mendapatkan sijil kelayakan pada 2 Ogos untuk melayakkan diri melalui laluan pertimbangan sektor awam.
Encik Ng menyertai GIC pada 1986 dan mengetuai jabatan ekuiti dan bon.
Beliau kemudian menyandang beberapa jawatan lain dalam GIC, termasuk pengarah urusan pasaran awam, sebelum dilantik menjadi ketua pegawai pelaburan kumpulan pada 2007 – jawatan yang dipegangnya hingga beliau bersara pada 2013.
Usahawan George Goh, 63 tahun, pula menyerahkan borangnya pada 4 Ogos.
Encik Goh tidak pernah berkecimpung dalam sektor awam dan tidak layak secara automatik untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.
Beliau telah memohon bagi kelayakan di bawah laluan penilaian sektor swasta.
Di bawah laluan tersebut, calon berpotensi perlu berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun dalam pertubuhan sektor swasta.
Sebelum ini, beliau telah melahirkan keyakinan layak bertanding dalam pilihan raya presiden dan mendedahkan bahawa beliau secara serentak menguruskan lima syarikat sebagai eksekutif paling kanan selama lebih tiga tahun lalu.
Beliau juga berkata kesemua lima syarikat itu telah meraih keuntungan secara purata selama tiga tahun yang lalu meskipun dalam keadaan pandemik global Covid-19.
Beliau mendedahkan bahawa sepanjang tiga tahun lalu, keuntungan keseluruhan yang diraih kelima-lima syarikat itu berjumlah $377 juta, sementara ekuiti pemegang saham gabungan dan kumulatifnya ialah $1.521 bilion.
Lima syarikat yang diurusnya mempunyai jumlah ekuiti pemegang saham sebanyak $507 juta secara purata dalam tempoh tiga tahun.
Mantan calon presiden, Encik Tan Kin Lian, 75 tahun, pula berkata beliau telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sijil kelayakan tetapi belum memutuskan apakah beliau akan bertanding.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, Encik Tan berkata beliau akan menantikan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) mengesahkan calon-calon sebelum beliau memutuskan sama ada akan bertanding.
Encik Tan, yang berkata beliau mengemukakan permohonannya pada 11 Julai melalui proksi, salah seorang daripada empat calon dalam Pilihan Raya Presiden 2011.
Beliau diberikan sijil kelayakan oleh PEC ketika itu bersama tiga yang lain – Dr Tony Tan, Dr Tan Cheng Bock dan Encik Tan Jee Say.
Encik Tan Kin Lian menerima 4.91 peratus undi, paling rendah dalam kalangan empat calon itu. Beliau kehilangan deposit pilihan raya sebanyak $48,000 kerana tidak menerima sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi.