Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PILIHAN RAYA PRESIDEN

Ukur calon pada wibawa, upaya dan pencapaian

Tharman: Pilihan raya presiden dijalankan bukan atas dasar politik atau parti mana pernah diwakili
Aug 15, 2023 | 05:30 AM



Beliau hadir dengan keterampilan yang menyerlahkan ketokohannya – baik sebagai seorang pemimpin mahupun sebagai seorang pemikir.

Setiap soalan yang diutarakan, dijawab Encik Tharman Shanmugaratnam penuh yakin lagi berhemah.

Siapa menyangka, seorang karyawan mapan bukan Melayu sepertinya menghargai muzik Melayu, menikmati kemerduan Sharifah Aini dan kelunakan Broery Marantika, P. Ramlee dan Taufik Batisah, menyenangi lagu-lagu ‘Hapuslah Air Mata Mu’, ‘Ibu’ dan ‘Awak Kat Mana’.

Siapa menduga dalam sembang mesranya, beliau sempat memetik bait-bait lagu ‘Tiga Malam’ yang dialunkan biduanita itu semasa pertandingan Bintang Radio Televisyen Singapura pada 1968 dan muncul juara.

“Tiga malam ku mencari mu,
tiga malam hatiku sunyi...”


Siapa tidak terpegun apabila beliau sempat membicarakan, walaupun secara ringkas, nilai-nilai kemanusiaan dan kesenian yang terhasil daripada karya besar novel Shahnon Ahmad ‘Ranjau Sepanjang Jalan’, sajak panjang ‘Singapura Sequence’ oleh Muhammad Haji Salleh dan kegigihan Profesor Ghulam-Sarwar Yousof dalam memartabatkan seni ‘Mak Yong’ di Kelantan.

“Saya dahulu mengikuti (penulisan) penyair Singapura dan penyair Malaysia secara dekat,” ujarnya.

Siapa tidak teruja apabila beliau menyatakan, dalam bab makanan, lebih menggemari lontong berbanding rojak, dengan kuah lodehnya kurang santan, dan pusat penjaja di Taman Jurong menjadi tumpuannya kerana menawarkan pelbagai pilihan makanan yang sedap lagi murah.

“Kopi 70 sen,” katanya bersahaja.

Hati siapa tidak tercuit apabila beliau menamakan Liverpool sebagai pasukan pilihan dan membariskan tiga pemain mereka, Sadio Mane, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk, sebagai antara yang terbaik.

“Malangnya Mane dah berpindah kelab... Salah masih terbaik. Kecil orangnya tetapi dia mengingatkan saya kepada George Best dahulu,” terang pemimpin berkacamata itu, yang mengimbas kehandalan pemain bola sepak Ireland Utara yang mewakili Manchester United antara 1963 hingga 1974.

Sepanjang wawancara berlangsung, beliau menzahirkan harapan agar rakyat kekal bersatu padu, saling menghormati walau berbeza pandangan dan turut mengongsi pemerhatiannya tentang peralihan zaman ke era baru.







WIBAWA SEORANG PRESIDEN

Menyorot kedudukannya sebagai mantan ahli politik yang mahu bertanding dalam Pilihan Raya Presiden, Encik Tharman, 66 tahun, yang menjadi Anggota Parlimen pada 2001 selepas memenangi kerusi di atas tiket Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Jurong, menekankan perlunya rakyat Singapura memahami jawatan Presiden Dipilih sebagai satu peranan yang mengatasi politik.

Ini bermakna, pilihan raya presiden dijalankan bukan atas dasar politik atau mengukur seseorang calon berdasarkan parti yang pernah diwakilinya.

“Saya fikir adalah penting untuk kita memelihara kedudukan Presiden sebagai satu yang mengatasi politik. Ini bermakna pilihan raya bagi presiden harus juga menjadi satu pilihan raya yang tidak mengemukakan persoalan politik tentang siapa datang dari parti mana...

“Seseorang calon mungkin datang dari parti politik. Tan Cheng Bok adalah dari PAP. Malah, beliau juga sebelum ini menduduki Exco PAP. Presiden Ong Teng Cheong adalah Pengerusi PAP selama 12 tahun... Presiden Tony Tan, tentu sekali datang dari PAP, begitu juga Puan Halimah.

“Daripada mana pun mereka datang, ia harus menjadi satu pertandingan yang mengukur ciri-ciri keperibadian, rekod pencapaian dan keupayaan mereka. Apa yang boleh mereka bawa daripada hasil pengalaman itu, perwatakan dan kemampuan mereka. Apa yang boleh mereka bawa untuk berkhidmat kepada Singapura dalam peranan ini.

“Ia bukan satu peranan politik, anda perlu jelas tentang ini,” terang lulusan London School of Economics dan Universiti Cambridge dan pemegang Sarjana dalam Pentadbiran Awam (MPA) dari Universiti Harvard itu.

Dalam wawancara selama satu setengah jam, Encik Tharman kerap menekankan pentingnya tumpuan diarahkan kepada ciri-ciri positif setiap calon.

“Pilihan raya presiden harus dibuka kepada setiap orang yang layak, sama ada mereka daripada sektor awam ataupun swasta, sama ada mereka sebahagian daripada pentadbiran pemerintah atau mereka telah menyumbang dalam politik.

“Biarkan ia terbuka kepada semua, tetapi pilihlah seseorang yang sesuai dalam pertimbangan rakyat Singapura, lebih sesuai untuk berkhidmat kepada negara dalam peranan genting, di mana seseorang itu berupaya menyatukan rakyat, berupaya mewakili negara di persada antarabangsa dan memastikan mereka dihormati di mata dunia. Jangan perkecilkan peranan penting ini bagi sebuah negara kecil,” ujarnya.

Natijahnya, peranan aktif seorang presiden, menurut Encik Tharman, adalah dalam meraih penghormatan untuk negara dan berupaya membuat keputusan eksekutif berdasarkan pertimbangan yang menyeluruh, dengan pemikiran yang bebas.

“Ini yang harus dilakukan seorang presiden, sebagai sebahagian daripada kuasa eksekutif yang diberikan kepadanya dan termaktub dalam Perlembagaan, menyentuh rizab negara dan pelantikan penting jawatan dalam pentadbiran awam,” katanya.

Ditanya lebih lanjut tentang keputusannya memasuki Istana, Encik Tharman mengongsi tiga faktor yang menjadi sandarannya; pertama – keaktifannya menyumbang kepada masyarakat.

“Sebelum saya menyertai politik lagi saya telah melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Jadi ia adalah sangat lama dan ini yang mentakrifkan siapa saya, Tharman. Sejauh mana ia mentakrif saya, Tharman. Kerja-kerja saya di lapangan selama lebih 20 tahun, dan orang tahu,” jelasnya.

Dua lagi faktor menyangkuti kesungguhannya mengharumkan nama Singapura di peringkat antarabangsa; dan, peranannya sebagai Menteri Kabinet dan kefahaman mendalamnya tentang segala yang berkaitan dengan kewangan negara.

MELAKSANA KUASA PRESIDEN

Apakah tanggapannya tentang kuasa seorang presiden?

“Anda perlu menjalankan kuasa presiden, setiap kali adanya potensi mengeluarkan rizab, (atau) pada bila-bila masa adanya satu pelantikan utama yang baru, seperti dinyatakan dalam Perlembagaan, anda perlu menjalankannya, bukan untuk veto, tetapi anda perlu membuat satu keputusan.

“Sama ada anda setuju ataupun tidak dan keputusan itu bukanlah dibuat hanya dengan berfikir secara bebas. Ia harus bersandarkan kepada pengetahuan dan juga kepakaran,” terangnya.

Bagaimana jika anda tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan Kabinet atau nasihat Menteri, sedangkan anda tidak punya kuasa untuk merubah keputusan itu?

“Anda punya Perlembagaan untuk diikuti. Sekiranya anda perlu menuruti keputusan Kabinet, anda perlu memenuhi tanggungjawab itu. Jika anda tidak bersetuju dengan sesuatu dasar atau tidak setuju dengan beberapa aspek yang sedang dilaksanakan, dan anda tidak punya kuasa budi bicara, jadi apa yang perlu anda lakukan, untuk kes-kes mendatang, atau peralihan di masa depan, adalah dengan mengadakan perbualan secara peribadi dengan Perdana Menteri.

“Tetapi perbualan yang diadakan ini, adalah nasihat yang diberikan secara bebas. Bergantung kepada kepercayaan antara Presiden dan Perdana Menteri, bergantung kepada rasa hormat, antara Perdana Menteri dan Presiden, nasihat anda mungkin atau tidak mungkin diterima, tetapi kepercayaan dan hormat itu penting. Jadi ikut Perlembagaan.”

Ditanya tentang peranan Majlis Penasihat Presiden (CPA), yang dilihat mengimbangi kuasa seorang Presiden, Encik Tharman berkata:

“CPA adalah satu sumber tambahan menasihat yang sangat berguna, tetapi semua orang tahu bahawa saya punya pengetahuan mendalam tentang sistem (pemerintah), yang sedia ada dan juga apa yang bakal berlaku di masa depan, jadi tiada siapa boleh sangsi keupayaan saya untuk membuat keputusan yang bebas.

“Kedua, saya fikir kerana peranan saya yang panjang dalam pemerintah, bukan hanya dalam bidang kewangan dan pendidikan, sumber tenaga dan MAS tetapi juga dalam banyak bidang lain. Saya punya kefahaman tentang sistem perkhidmatan awam secara keseluruhannya. Bagaimana anda mengekalkan kewibawaannya? Saya bukan orang baru dalam bidang ini. Saya bukan orang baru.

“Saya mampu membuat keputusan dalam melantik orang yang betul menduduki jawatan-jawatan penting ini, jadi CPA adalah sebahagian daripada sistem yang berharga. Ia adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem semak dan imbang, tetapi Presiden ada pengetahuan, kepakaran dan pemikirannya sendiri yang jelas untuk keluar daripada sistem itu.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >