Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usaha tangani ‘penderaan kewangan’ terhadap ibu bapa perlu diperluas

Isu rumit kerana ia membabitkan anak sendiri; ibu bapa kadangkala lebih cenderung melaluinya dalam senyap kerana tidak mahu hubungan kekeluargaan terputus
Aug 04, 2023 | 12:43 PM
File



Biasanya, apabila seorang anak mencapai usia dewasa, merekalah yang akan membantu menanggung dan menyara kehidupan kededua ibu bapa.

Namun, ada juga keadaan sebaliknya berlaku dengan anak yang sudah dewasa masih meminta wang daripada ibu bapa yang sudah menjangkau usia senja.

‘Penderaan kewangan’ terhadap warga emas seperti ini biasanya kurang dilaporkan walaupun isu ini telah berlaku sekian lama.

Terdapat juga kes anak yang terlalu bergantung kepada ibu bapa ini akan memberontak dan menjadi ganas sehingga sanggup mendera ibu bapa sendiri sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi.

Pemerhati dan pekerja sosial yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi melindungi ibu bapa warga senja daripada menjadi mangsa penderaan kewangan, terutama oleh ahli keluarga sendiri.


Cik Frances Lee, pengurus kanan di Care Corner Project StART, sebuah agensi perkhidmatan sosial yang menangani keganasan keluarga, berkata penderaan pergantungan yang mendalam pada orang tua atau adult entrenched dependency abuse (AED) ialah sebahagian daripada penderaan kewangan terhadap orang tua yang jarang dikongsi ataupun dibincangkan.


“Kita sudah biasa mendengar tentang penderaan fizikal, atau penderaan emosi. Ramai orang tahu akan perkara ini... bagaimana anak boleh menyebabkan ibu bapa mereka berasa sentiasa dalam bahaya.

“Bagaimanapun, tidak ramai yang menyedari bahawa satu lagi bentuk penderaan juga berlaku, iaitu ‘penderaan kewangan’.

“Di Project StART, kami antara lain mengendalikan kes penderaan pergantungan yang mendalam pada orang tua atau AED ini,” jelasnya.

Dalam kes sedemikian, biasanya kededua ibu bapa dan anak mereka akan berasakan bahawa si anak tidak dapat hidup berdikari dan mencari pendapatan sendiri.

Menurut Cik Lee, kes sebegini bermula ketika anak-anak masih kecil. Ibu bapa kemudiannya berasa bertanggungjawab untuk terus memberi nafkah kepada anak-anak mereka sehingga dewasa, sehingga menggalakkan sifat penggantungan yang tidak sihat.

“Jika dilihat, ramai di antara mereka merupakan golongan dewasa yang sebenarnya belum melakar kerjaya sendiri atau masih terikat dengan duit ibu bapa, dengan mereka akan sering meminta sokongan kewangan daripada ibu bapa.

“Apabila mereka semakin dewasa, jumlah wang yang mereka minta juga menjadi semakin besar – daripada hanya beberapa ratus dolar, mungkin boleh mencecah hingga ribuan atau ratusan ribu dolar.

“Beberapa alasan yang mungkin mereka berikan ialah ‘mereka mahu memulakan perniagaan’.

“Jika mereka berasa permintaan mereka tidak dipenuhi, rasa berhak akan muncul, dan ketika itulah penderaan berlaku,” tambah Cik Lee.

Care Corner Project StART juga telah mula menjejak bilangan kes-kes AED yang mereka kendalikan.

Ini agar mereka dapat tahu sejauh mana berleluasanya kes serupa ini selain mencari jalan untuk menawarkan sokongan yang lebih baik kepada ibu bapa yang didera.

Pada 2017 hingga 2022, ia telah mengendalikan 102 kes berkaitan – iaitu lima tahun pertama sejak ia mula merakam kes sebegini.

Walaupun tiada statistik jelas yang menunjukkan kes-kes ini berleluasa dalam kalangan masyarakat, peguam dan pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP, Encik Rohim Sarip, percaya bahawa banyak kes tidak dilaporkan atas beberapa sebab.

“Bagi sesetengah pihak, mereka berpendapat isu kekeluargaan tidak sepatutnya disiarkan di khalayak ramai dan ini mungkin menimbulkan rasa malu.

“Meski mereka mahu, mereka mungkin tidak pasti bagaimana atau siapa yang boleh mereka hubungi untuk membuat aduan.

“Menyelesaikan masalah ini di mahkamah juga akan mengeruhkan hubungan kekeluargaan dan boleh menyebabkan kemarahan dan penderaan lanjut,” tambah Encik Rohim.

Cik Lee bersependapat bahawa dalam kebanyakan kes, ibu bapa kadangkala lebih cenderung untuk menyembunyikan tentang penderaan yang mereka alami kerana tidak mahu anak-anak mereka ditahan pihak berkuasa.

“Kesukaran yang kami hadapi kebanyakannya ialah tentangan ibu bapa untuk mengakui bahawa ini sebenarnya penderaan, dan anak mereka sebenarnya sedang mendera mereka.

“Mereka juga enggan mendapatkan bantuan kerana takut akan akibat yang mungkin menimpa anak mereka, jika mereka membuka mulut.

“Itulah perkara yang ibu bapa tidak mahu lakukan. Mereka banyak menyalahkan diri sendiri dan ini bertukar menjadi satu penderaan emosi.

“Sukar untuk mereka menerima kenyataan ini dan akur bahawa mereka ‘gagal sebagai ibu bapa’... terutamanya apabila ibu bapa semakin tua,” kata Cik Lee.

Menteri Negara (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, mengetengahkan masalah penderaan kewangan dalam perbahasan Rang Undang-undang Piagam Wanita (Keganasan Keluarga dan Perkara Lain) (Pindaan) yang diluluskan pada 4 Julai lalu.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah menimbangkan sama ada untuk memasukkan penyalahgunaan kewangan dalam takrif keganasan keluarga, tetapi ini memerlukan kajian lanjut kerana ia adalah isu kompleks.

Beliau menambah MSF sedang bekerjasama dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membuat kajian lanjut mengenai masalah penderaan kewangan.

“Penderaan kewangan adalah isu yang kompleks dan tertakluk kepada tafsiran berbeza.

“Seperti yang dinyatakan dalam laporan oleh Pasukan Petugas Keganasan Keluarga, penderaan kewangan merupakan isu yang kian menimbul dan ia memerlukan kajian lanjut.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan rakan kongsi yang berkaitan untuk mengkaji isu ini dengan lebih lanjut,” kata Cik Sun di Parlimen.

Sedang pihak berkuasa dan pihak berkepentingan yang berkaitan sedang berusaha meneliti isu ini dengan lebih mendalam, mereka yang dihubungi BH menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran awam berhubung perkara serius ini.

Salah satu cara ini boleh dilakukan ialah menerusi pendidikan awam yang menerangkan tentang penderaan kewangan, dan bagaimana seseorang itu dapat mengetahui apabila mereka atau orang-orang di sekeliling mereka telah dipergunakan dan menjadi mangsa penderaan kewangan oleh anak mereka sendiri.

“Ramai yang tidak sedar sehingga ia terlalu lambat. Mereka harus bercakap dengan seseorang apabila mereka berasa bahawa mereka mempunyai masalah.

“Mudah-mudahan, apabila mereka membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan, mereka akan dirujuk kepada seorang profesional,” kata Encik Rohim yang turut berasa bahawa undang-undang perlu diperluaskan supaya ia merangkumi penderaan kewangan.

“Dari pandangan luar, ia mungkin bukan satu perkara yang ketara tetapi dalam masa yang sama mampu merosakkan mangsa, terutama orang tua di mana keselamatan kewangan dan kebebasan adalah sangat penting bagi mereka sedang mereka meniti usia senja.

“Mereka perlu dilindungi bagi memelihara maruah mereka pada tahun-tahun terakhir mereka,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >