Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

berita

Warga S’pura maut di Thailand disifatkan periang, rendah hati

Jun 14, 2023 | 06:07 PM



Bagi ketua marshal Kelab Motor Ducati Singapura, Encik Muhd Naeem Muhd Yusuf, Allahyarham Mohamed Reza Abdul Rashid bukan sekadar rakan menunggang motosikal, beliau juga merupakan rakan pembimbing dalam kehidupan beliau serta anggota lain.

Allahyarham Reza terlibat dalam satu nahas jalan raya semasa menunggang motosikal di wilayah Phatthalung, selatan Thailand pada Isnin yang meragut nyawanya.

Jenazah Allahyarham Reza dibawa pulang ke Singapura pada Rabu untuk dikebumikan.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH) di luar kediaman arwah di Kew Drive, Encik Naeem menjelaskan Allahyarham Reza, pengasas bersama kelab motosikal itu yang ditubuhkan pada 2018, merupakan seorang yang sangat rendah hati dan tidak lokek ilmu.


Ini lebih-lebih lagi tentang perihal meredah perjalanan jarak jauh melalui motosikal kerana beliau mempunyai lebih 20 tahun pengamalan melakukannya.

Sambil menahan sebak, beliau berkata: “Arwah seorang yang suka merendah hati dan tidak teragak-agak berkongsi kepakaran atau pengalamannya. Arwah akan berkongsi pendapat dengan bersahaja.

“Bahkan, kami telah merancang untuk naik ke Thailand pada September nanti tetapi apakan daya.”

Setiausaha kelab tersebut, Cik Intan Diana Mohamed Ali, pula menyifatkan Allahyarham sebagai penggerak inisiatif-inisiatif, tidak kira dari segi melakar rancangan menunggang motosikal ataupun usaha menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Arwah merupakan penasihat yang akan kami rujuk… dan akan memastikan aspek keselamatan sekiranya membuat perjalanan secara berkumpulan seperti jarak antara motosikal dan lain-lain.

“Kadangkala, arwah akan tetap pergi lakukan perjalanan jarak jauh melalui motosikal sungguhpun berseorangan,” jelasnya.

Hal sedemikian turut dikongsi anggota keluarga yang disantuni BH semasa melawat kediamannya.

Menurut pak cik Allahyarham Reza, Encik Abu Bakar Haji Ibrahim, arwah merupakan ‘tokoh utama’ kepada ramai orang dan senang bergaul dengan orang.

“Dengan kaum keluarga, arwah seorang yang sangat peramah dan periang. Terus terang, saya percaya kehilangan arwah pasti dirasai oleh mereka yang pernah disantuni olehnya,” jelas beliau.

BH cuba mendapatkan respons daripada isteri dan ibu bapa Allahyarham namun pihak keluarga meminta agar diberi ruang privasi.

Namun adiknya, yang tidak ingin namanya disiarkan, berkata Allahyarham Reza merupakan anak sulung di kalangan empat beradik.

Beliau turut mengesahkan Allahyarham merupakan bapa dua putera dan satu puteri berusia antara tujuh dan 15 tahun.

Daripada pengamatan BH, dapat dilihat lebih 50 orang hadir ke kediaman Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir – yang terdiri daripada anggota kelab, rakan-rakan dan anggota keluarga.

Allahyarham juga merupakan guru latihan jasmani di Sekolah Tao Nan, menurut senarai kakitangan yang tertera di laman web rasmi sekolah itu.

Dalam pada itu, isteri arwah, Cik Huda Lajam, melalui hantaran Facebook menyatakan anak sulungnya baru sahaja menyambut ulang tahun ke-15 pada Rabu tetapi itulah juga hari anaknya perlu “mengebumikan ayah tersayang”.







“Selamat ulang tahun Arif (nama anak sulungnya). Saya harap saya dapat menggalas kedukaan si abang. Saya tahu abang kuat. Kami akan lalui episod ini bersama-sama…”

Daripada hantaran dan gambar yang dimuat naik melalui Facebook arwah bertarikh 11 Jun, Allahyarham Reza dilihat menunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati, Multistrada V4S Sport Performance, untuk perjalanan cabaran Iron Butt SaddleSore.


Cabaran tersebut memerlukan penunggang motosikal melengkapkan perjalanan sejauh 1,600 kilometer dalam tempoh 24 jam.

Allahyarham Reza melakukan perjalananan dari Singapura ke Thailand bersama seorang lagi penunggang motosikal secara berasingan, yang dikenali di Facebook sebagai Amm MdNor.


BH difahamkan rakannya berada dalam keadaan selamat.

Hantaran susulan oleh Allahyarham menyatakan kedua-dua penunggang memulakan perjalanan dari Singapura pada malam 11 Jun, melalui gambar resit yang dimuat naik di Facebooknya.

Arwah dan rakannya kemudian merentasi Thailand dari Malaysia melalui Sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao pada pagi Isnin sebelum melanjutkan perjalanan ke arah utara.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman selepas 3 petang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >