Sebanyak 119 kes denggi dilaporkan di Singapura pada minggu yang berakhir pada 13 Jun, jumlah mingguan tertinggi setakat 2026.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 39 kes berbanding minggu sebelumnya dan berlaku ketika Singapura memasuki musim puncak denggi dari Mei hingga Oktober, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Sebanyak 12 kawasan penularan denggi aktif dilaporkan setakat 15 Jun, termasuk empat bertahap amaran merah, iaitu kawasan berisiko tinggi yang mencatatkan 10 atau lebih kes.

Empat kawasan amaran merah itu termasuk satu kawasan di Countryside Road/Lentor Avenue dengan 34 kes, yang menurut NEA mempunyai kadar penularan denggi yang cepat.

Tiga kawasan lain ialah Jalan Bangau/Jalan Jarak dengan 22 kes, Neram Road/Nim Crescent dengan 19 kes, dan Lilac Drive/Mimosa Road dengan 11 kes.

Ketiga-tiganya terletak agak berdekatan di kawasan Yio Chu Kang.

NEA melaporkan jumlah kes denggi mingguan di Singapura kekal melebihi 50 sejak minggu yang berakhir pada 23 Mei, apabila 53 kes direkodkan.

Menurut agensi itu, sebanyak 938 kes denggi telah direkodkan dari Januari hingga 13 Jun.

Satu kematian akibat denggi dicatatkan antara Januari dengan Mac, menurut laporan pemantauan denggi suku tahunan yang diterbitkan NEA pada 21 April.

Jumlah kematian akibat denggi tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh setahun di Singapura ialah 32 pada 2020, berbanding rekod sebelumnya sebanyak 25 pada 2005.

Kes denggi di Singapura lazimnya memuncak dari Mei hingga Oktober disebabkan suhu lebih panas, yang mempercepatkan perkembangan nyamuk.

NEA, melalui laman webnya, menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan menghapuskan sumber pembiakan nyamuk bagi mengurangkan risiko penularan denggi dalam masyarakat.

Agensi itu turut menyeru penduduk supaya membenarkan pegawai NEA memeriksa kediaman mereka dan menjalankan semburan racun serangga.

Penduduk boleh menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dengan memecahkan tanah yang mengeras, mengosongkan piring pasu bunga, membalikkan baldi, menukar air dalam bekas takungan serta memastikan saluran air bumbung sentiasa bersih, menurut NEA.

NEA turut memaklumkan tiada kawasan penularan atau kawasan yang berkemungkinan mengalami penularan Zika di Singapura ketika ini.

Tiada kawasan penularan chikungunya juga direkodkan setakat ini. Kedua-duanya ialah virus bawaan nyamuk.