Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 peguam didapati salah cuba halang keadilan berhubung mesej rokok seludup

Feb 19, 2024 | 8:48 PM
Peguam Wee Hong Shern (kiri) menghantar seorang lagi peguam, Ong Peng Boon, mesej teks berkaitan rokok seludup pada Mei 2019.
Peguam Wee Hong Shern (kiri) menghantar seorang lagi peguam, Ong Peng Boon, mesej teks berkaitan rokok seludup pada Mei 2019. - Foto ST

Dua peguam didapati bersalah kerana cuba menghalang keadilan selepas perbicaraan.

Peguam Wee Hong Shern telah menghantar teks mesej kepada seorang lagi peguam, Ong Peng Boon, yang ketika itu penyelia langsungnya, berkaitan rokok seludup pada Mei 2019.

Ong kemudian mengirimkannya kepada lelaki ketiga, dikenali sebagai Tan Hock Ann, yang ditahan tiga bulan kemudian kerana berurusan dengan rokok tidak berbayar.

Dalam hujah mereka, pihak pendakwaan berkata, dengan menghantar mesej itu, kededua peguam tersebut berhasrat memberi amaran kepada sindiket yang berurusan dengan rokok sedemikian supaya menyingkirkan bukti berkaitan kegiatannya.

Pada 19 Februari, Hakim Daerah Marvin Bay mensabitkan kesalahan Wee, 36 tahun, dan Ong, 67 tahun, atas satu pertuduhan setiap seorang cuba menghalang keadilan dengan sengaja.

Kededua peguam ialah pengarah di firma guaman Ong & Co, menurut carian di laman web Kementerian Undang-Undang.

Menurut dokumen mahkamah, pada 11.52 pagi 10 Mei 2019, Wee menghantar mesej yang disifatkan sebagai mesej “samar” kepada Ong.

Mesej itu berkata: “Saya bercakap dengan Ah Boon supaya kemas kini. Pada asasnya: ‘buffalo’ ditumpaskan. Kilang selamat buat masa ini, tetapi dia memberi amaran bahawa mereka akan mengetahui tidak lama lagi di mana ia berada kerana mereka mempunyai SD (kad) kenderaan Ah Boon.”

“Buffalo” merujuk kepada lori berdaftar di Malaysia yang membawa rokok yang tidak dibayar cukai.

“Mereka boleh mengesan ‘buffalo’ dan mencari kilang pada akhirnya. Jadi dia kata supaya bersihkan segala-galanya dari Kilang ASAP (secepat mungkin). Bukti telah keluar bahawa ST telah dibayar oleh lelaki China. Telefon Zello dia telah dirampas dan dia tidak ada masa untuk padamkan konvo. Ikat jamin pada 55K.”

Mahkamah mendengar bahawa pada masa itu, Wee baru sahaja menghadiri sebutan kes di mahkamah terhadap anak guamnya ketika itu, Selva Kumar Subramaniam, yang telah didakwa mengendalikan rokok tidak berbayar.

Seminit kemudian, Ong mengirimkan mesej itu kepada Tan, yang sebelum ini mengupah peguam yang lebih tua untuk mewakili Selva.

Ong juga menyusuli dengan mesej lain yang menyatakan: “Padam selepas baca.”

Pihak pendakwa berkata tidak dapat dipersoal bahawa Wee telah menghantar mesej itu kepada Ong, yang kemudiannya mengirimkannya kepada Tan.

Merujuknya sebagai “mesej buffalo”, timbalan pendakwa raya (DPP) Timotheus Koh dan Etsuko Lim menambah: “Soalan utama di hadapan mahkamah adalah apa yang dimaksudkan oleh Ong dan Wee apabila mereka mengirimkan itu.”

Kededua peguam itu akan kembali ke mahkamah pada April untuk rayuan dan hukuman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg