Semasa Bidang Tumpuan Keempat M3 (FA4) dilancarkan pada 2020, objektif utamanya adalah untuk membantu pekerja Melayu/Islam yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19 – meningkatkan kemahiran diri dan memperoleh pekerjaan baru.
Namun, dengan lebih ramai pekerja Melayu/Islam hari ini yang berjaya mendapat pekerjaan, tumpuan M3 kini beralih kepada menggalak pekerja teroka kerjaya dalam industri baru muncul dan pertumbuhan seperti teknologi dan kecerdasan buatan (AI), kata Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
“Apa yang FA4 lakukan hari ini adalah untuk memadankan dan menghubungkan pekerja dengan pekerjaan dalam sektor tertentu, dengan syarikat-syarikat yang kami punyai hubungan, agar mereka mendapat pekerjaan baru yang baik.
“Pada masa hadapan, badan-badan M3 dan Rangkaian Karyawan Mendaki akan mengenal pasti sektor mana yang sesuai untuk anak muda kita sertai dan menggalak mereka menjalani latihan untuk memasuki sektor-sektor tersebut,” kata Encik Fahmi, yang juga Pengerusi FA4.
Sektor-sektor ini merangkumi pekerjaan membangun seperti Reka Bentuk UI/UX, Keselamatan Siber, Analisis Data dan Pengkomputeran Awan dan Kejuruteraan Perisian, sebagai contoh.
Encik Fahmi mengumumkan demikian di sidang media pada 9 Oktober semasa membentangkan Laporan 5-Tahun M3 oleh Mendaki.
Beliau disertai Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki, serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki (DCEO), Cik Zulaiha Yusuf.
M3 melancarkan FA4 pada Oktober 2020 untuk membantu pekerja Melayu/Islam mencari pekerjaan dan meningkat daya kerja.
Ini dilakukan melalui program peningkatan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat untuk memastikan mereka boleh kekal bekerja pada masa hadapan.
Antara usaha utama yang dimulakan oleh FA4 termasuk pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Mendaki dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada Februari 2022.
Perjanjian itu mempermudahkan kedua-dua badan tersebut bekerjasama merujuk individu yang ingin menjalani kursus peningkatan kemahiran dan bagi mereka yang memerlukan bantuan mencari pekerjaan.
Sehingga kini, kira-kira 15,000 individu telah mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut, kata Encik Fahmi.
Antara inisiatif yang dianjurkan di bawah FA4 termasuk Karnival Pekerjaan & Kemahiran di South East pada November 2023 dan pameran kerja pada Julai untuk membantu pengusaha gerai dan pembantu mendapatkan peluang pekerjaan sementara dan latihan kemahiran penting berikutan penutupan sementara Pasar Geylang Serai.
Encik Fahmi menambah Mendaki dan rakan kongsi FA4 juga telah menyokong belia dan wanita yang ingin kembali bekerja mengemudi peralihan kerjaya mereka dan membantu mereka memanfaatkan peluang dalam ekonomi masa depan.
Antara 2019 dengan 2023, kira-kira 500 wanita yang ingin kembali bekerja telah lulus daripada program Wanita di Tempat Kerja (W@W), dan lebih 5,000 belia telah menghadiri perjalanan pembelajaran Siri Future Of…, anjuran Mendaki, tambahnya.
“Seperti yang anda lihat, dengan sokongan NTUC, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), NTUC LearningHub serta agensi pemerintah dan masyarakat lain, M3 telah dapat membantu orang ramai mengemudi beberapa kursus ini dan membantu mereka beralih ke pekerjaan yang lebih baik.
“Program-program ini disesuaikan untuk melengkapkan masyarakat Melayu/Islam dengan kemahiran penting yang memenuhi permintaan tenaga kerja yang berkembang hari ini, memastikan individu kekal berdaya saing dan boleh menyesuaikan diri,” kata Encik Fahmi.
Menukil contoh Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP), Encik Fahmi berkata ramai pekerja Melayu/Islam telah meraih manfaat daripada kursus peningkatan kemahiran pertengahan kerjaya dan beralih kepada pekerjaan yang lebih baik dan yang mempunyai permintaan tinggi.
Encik Zaqy berkata melangkah ke hadapan, M3 akan terus menyokong dan menggalak lebih ramai belia dan pekerja Melayu/Islam beralih ke industri baru muncul.
Ini, katanya, adalah sebahagian daripada usaha menyediakan pekerja Melayu/Islam kekal bekerja dan boleh bekerja bagi ekonomi masa depan memandangkan pekerjaan akan berubah disebabkan pendigitalan dan automasi.
“Sifat pekerjaan akan berubah. Itulah sebabnya kami banyak menumpukan pada meningkatkan kemahiran, meningkatkan kebolehpercayaan dalam sektor, dan sebagainya.
“Sesetengah pekerjaan akan berubah. Jika kita tidak bersedia bagi perubahan ini, satu-satunya kebimbangan saya ialah masyarakat kita akan ketinggalan,” kata Encik Zaqy.
“
“Pada masa hadapan, badan-badan M³ dan Rangkaian Karyawan Mendaki akan mengenal pasti sektor mana yang sesuai untuk anak muda kita sertai dan menggalak mereka menjalani latihan untuk memasuki sektor-sektor tersebut.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg