24 didakwa terlibat aktiviti keldai wang; rugi lebih $3.1 juta
24 didakwa terlibat aktiviti keldai wang; rugi lebih $3.1 juta
Seramai 16 lelaki dan lapan wanita telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pelbagai penipuan yang mengakibatkan kerugian melebihi $3.1 juta.
Individu-individu berusia antara 16 dengan 51 tahun itu akan didakwa dari 2 hingga 6 Februari atas kesalahan yang berkaitan dengan aktiviti keldai wang berkaitan penipuan.
Kesalahan yang didakwa termasuk bersubahat melakukan penipuan, memperoleh atau membantu orang lain mengekalkan manfaat daripada hasil kegiatan jenayah, serta bersubahat dalam pencerobohan secara haram terhadap sistem komputer.
Ia juga melibatkan pendedahan kata laluan atau kod akses secara tidak sah dan pembekalan kad SIM pascabayar yang didaftarkan secara haram bagi tujuan keuntungan kewangan.
Dalam kenyataan pada 1 Februari, polis berkata 24 individu itu didakwa memudahkan penipuan dengan menyerahkan atau menjual akaun bank, menerima atau memindahkan dana, mengutip wang tunai daripada mangsa, serta membolehkan sindiket jenayah menjalankan pengubahan wang haram.
Sebahagian daripada mereka didakwa memperdaya bank bagi membuka akaun sebelum menyerahkan kelayakan perbankan Internet kepada pihak tidak dikenali.
Seorang individu didakwa telah mendedahkan butiran Singpass miliknya secara tidak sah, sehingga membolehkan sindiket jenayah menyalahgunakan identitinya untuk membuka akaun bank.
Seorang lagi individu didakwa telah mendaftarkan kad SIM untuk sindiket jenayah bagi mendapatkan bayaran.
Jika disabitkan kesalahan, individu-individu tersebut berdepan hukuman yang merangkumi denda hingga penjara.
Penipu serta ahli sindiket berdepan hukuman sebat mandatori sekurang-kurangnya enam kali, manakala keldai wang yang melibatkan diri dalam pengubahan hasil penipuan boleh dikenakan hukuman sebat sehingga 12 kali.
Individu yang terlibat dalam kesalahan berkaitan keldai wang berdepan perkhidmatan perbankannya dan langganan telekomunikasinya disekat di bawah rangka kerja sekatan kemudahan.

