Sekitar $3.3 juta telah diagihkan kepada 830 penerima zakat warga emas yang layak, menerusi tokokan Akaun Persaraan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) hasil sumbangan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan pemerintah.

Dalam satu kenyataan pada 3 September, MUIS turut mendedahkan bahawa ia akan menyemak semula kerangka Bantuan Kewangan Zakat bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan masyarakat yang kian berkembang.

Sewaktu berucap di Hari Penerima Zakat Warga Emas MUIS 2026 di D’Marquee di Pasir Ris, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, menekankan pentingnya membantu golongan warga emas meniti usia senja dengan bermaruah, yakin dan terjamin.

Dalam catatan di Facebook pada 3 September, beliau berkata:

“Zakat bukan sekadar bantuan kewangan. Ia mencerminkan bagaimana kita saling menjaga masyarakat ini.

“Kita mahu warga emas sedar bahawa masyarakat sentiasa bersama mereka, agar mereka dapat menjalani usia senja dengan lebih tenang dan bermaruah.”

Acara tersebut turut mengiktiraf sumbangan warga emas kepada keluarga, masyarakat Islam dan Singapura, di samping menegaskan tanggungjawab bersama masyarakat untuk terus menyokong mereka pada usia senja.

Menurut MUIS, skim MUIS-CPF Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan (MRSS) dilancarkan pada 2025 untuk memperkukuhkan wang simpanan penerima zakat warga emas demi menyokong mereka memenuhi keperluan yang kian berubah.

Skim tahunan tersebut menyediakan tokokan kepada Akaun Persaraan CPF sehingga $2,000 bagi warga emas yang layak, menerusi pembiayaan MUIS.

Setiap dolar yang disumbangkan oleh MUIS akan dipadankan oleh pemerintah, sekali gus menggandakan jumlah bantuan yang diagihkan kepada benefisiari tersebut.

Dalam tahun pertama skim itu, MUIS menyumbang dana zakat berjumlah sekitar $1.66 juta.

Dengan sumbangan pemerintah, sekitar $3.3 juta diagihkan kepada akaun persaraan CPF seramai 830 benefisiari.

Skim MUIS-CPF MRSS tersebut melengkapi bantuan kewangan zakat bulanan oleh MUIS.

“Bantuan kewangan zakat bulanan membantu benefisiari dalam memenuhi perbelanjaan harian mereka, manakala inisiatif MUIS-CPF MRSS memperkukuhkan jaminan kewangan jangka panjang mereka.

“Menerusi pengagihan dana tersebut ke dalam Akaun Persaraan CPF, simpanan wang para benefisiari akan terus meraih faedah CPF, sekali gus menyumbang kepada pembayaran pencen bulanan yang lebih tinggi,” jelas MUIS.

MUIS akan terus berusaha mendorong lebih ramai warga emas yang layak untuk menyertai skim tersebut.

Sementara itu, Kerangka Bantuan Zakat yang akan disemak semula akan memastikan bantuan yang disediakan kekal relevan dalam menepati keperluan demografik, ekonomi dan masyarakat yang kian berkembang.

Menurut MUIS, semakan tersebut akan meneliti bagaimana bantuan boleh terus menyokong golongan rentan serta mudah diakses oleh mereka yang benar-benar memerlukannya.

Semakan itu juga akan mempertimbangkan bagaimana dana zakat masyarakat boleh diurus dengan lebih mampan dan bertanggungjawab bagi masa depan.

Lebih banyak maklumat akan didedahkan oleh MUIS dalam beberapa bulan akan datang.

Pada tahun kewangan 2025, MUIS mengagihkan $74.7 juta dana zakat kepada benefisiari merangkumi semua lapan asnaf, berasaskan prinsip Islam.

Sekitar 40 peratus daripada dana tersebut disalurkan untuk membantu penerima yang kurang berkemampuan, terutamanya golongan fakir dan miskin.

Selain daripada jaminan kewangan, MUIS juga akan terus bekerjasama dengan pihak masjid dan rakan masyarakat untuk mengukuhkan kesejahteraan warga emas dari segi kesihatan, kemasyarakatan dan kerohanian.

Masjid amat penting dalam menghubungkan penerima Zakat warga emas kepada ekosistem sokongan selain daripada bantuan kewangan, seperti Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Pusat Penuaan Aktif (AAC), SingHealth dan yang lain.

Penerima zakat warga emas turut diperkenalkan kepada program Santunan Emas yang menghubungkan mereka kepada program kesihatan, aktiviti kemasyarakatan, khidmat relevan serta panduan kerohanian.

Program berkenaan – Santunan Emas – menyasarkan untuk mendekati 3,000 warga emas setiap minggu apabila ia diperluaskan ke Masjid Assyafaah di Sembawang; Masjid Darul Makmur di Yishun; Masjid An-Nur di Marsiling; dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands, menjelang akhir 2026.

Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan bahasa Melayu beliau semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026 di ITE Ang Mo Kio pada 23 Ogos.