Topik diikuti
Pergi ke BHku3 khidmat bas baharu bagi Tengah, Choa Chu Kang, Woodlands mulai Okt
Bas ulang-alik JRL sementara mulai pertengahan kedua 2027 turut diumum
3 khidmat bas baharu bagi Tengah, Choa Chu Kang, Woodlands mulai Okt
Penduduk Tengah bakal menikmati lebih banyak pilihan perjalanan bermula 25 Oktober, dengan dua perkhidmatan bas baharu di kawasan itu – iaitu 873/873M dan 874.
Mengumumkan demikian di majlis sambutan Pertengahan Musim Luruh di Kelab Masyarakat Tengah pada 20 September, Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata perkhidmatan bas baharu, 968, juga akan diperkenal untuk menyokong pembukaan stesen RTS Link yang bakal dibuka tidak lama lagi.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata perkhidmatan bas 968 itu akan beroperasi dari Pusat Tukaran Bas Sementara Woodlands dan menghubungkan penduduk ke stesen MRT Woodlands North, Woodlands South dan Admiralty.
LTA juga akan menambah kekerapan perjalanan perkhidmatan bas City Direct 674 dan 861.
Perkembangan itu merupakan sebahagian daripada Program Peningkatan Ketersambungan Bas (BCEP) yang dilancarkan pada Julai 2024.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas 674, 861 dan 968, akan diumumkan kelak.
Menarik perhatian perkhidmatan bas baharu 874, Encik Siow yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, berkata perkhidmatan bas itu akan menghubungkan penumpang dari Tengah terus ke Choa Chu Kang.
“Ramai penduduk meminta perkhidmatan ini dan saya faham kerana ada yang berpindah ke sini dari Choa Chu Kang. Ibu bapa mereka masih di sana, dan ada yang anak-anak mereka bersekolah di sana.
“Perjalanan ulang-alik mungkin bermakna mereka perlu tukar bas dua tiga kali, jadi dengan perkhidmatan bas 874, mereka hanya perlu menaiki satu bas,” ujarnya.
Perkhidmatan bas 874 akan melalui pusat kejiranan Choa Chu Kang, Sekolah Rendah Concord, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, Sekolah Rendah Choa Chu Kang, Sunshine Place dan Brickland.
Perkhidmatan bas 873 dan 873M pula menghubungkan Tengah dengan stesen MRT Bukit Gombak, sebelum ke Hillview dan Hume, dengan laluan terus ke Sekolah Rendah St Anthony’s, ujarnya.
Encik Siow turut mengumumkan bas ulang-alik Laluan Daerah Jurong (JRL) sementara mulai pertengahan kedua 2027, sebelum pembukaan JRL Peringkat 1 menjelang pertengahan 2028.
Perkhidmatan bas ulang-alik itu akan mengikut laluan JRL dan menghubungkan penumpang ke lokasi stesen MRT utama.
“Apabila perkhidmatan ini bermula, ia akan membawa perubahan besar kepada ketersambungan pengangkutan di kawasan barat serta bahagian lain Singapura,” ujar Encik Siow.
Acara sambutan Pertengahan Musim Luruh yang dihadiri sekitar 1,000 penduduk Tengah itu turut disertai AP GRC Chua Chu Kang, Dr Choo Pei Ling.
Mengulas pembangunan di Tengah, Encik Siow berkata Tengah merupakan bandar baru dan akan mengambil masa beberapa tahun untuk menjadi bandar yang matang.
“Namun kami berjanji akan melakukan yang terbaik untuk menjadikan Tengah kawasan perumahan HDB terbaik di Singapura,” ujar Encik Siow.
