Sebanyak 314 kematian akibat bunuh diri dilaporkan di Singapura pada 2024, menurut pusat pencegahan bunuh diri Samaritans of Singapore (SOS) pada 19 Julai.
Daripada 314 kematian akibat bunuh diri itu, 64.3 peratus – atau 202 kematian – melibatkan lelaki, manakala bakinya melibatkan perempuan.
Menurut kenyataan SOS, bunuh diri juga kekal sebagai penyebab utama kematian bagi belia berusia 10 hingga 29 tahun bagi enam tahun berturut-turut.
Peningkatan tertinggi kematian akibat bunuh diri dicatatkan dalam kalangan orang dewasa berusia 30 hingga 39 tahun.
Mengulas tentang perangkaan itu berdasarkan Laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) 2024 yang diterbitkan pada Julai, SOS berkata tekanan rumit yang dihadapi golongan berusia 30 hingga 39 tahun antara lain didapati berkaitan masalah keluarga, kestabilan pekerjaan dan cabaran kesihatan mental.
Penaung SOS yang juga Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, berkata:
“Kami bertekad untuk terus berusaha mengurangkan jumlah kematian akibat bunuh diri.
“Setiap satunya adalah seorang individu dan sebuah keluarga yang sedang mengharungi sebuah tragedi.
“Kami akan terus lakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan sukarelawan dan rakan kerja kami, bekerjasama dan melengkapkan mereka untuk berkhidmat kepada individu dan keluarga yang sedang cuba menangani krisis.”
Pada 2024, selain usaha mencegah bunuh diri, SOS turut menyediakan khidmat kaunseling dan kumpulan sokongan buat 1,112 individu yang pernah terfikir atau cuba bunuh diri serta mereka yang kehilangan orang tersayang akibat bunuh diri.
Ketua Pegawai Eksekutif SOS, Encik Gasper Tan, berkata jumlah kematian akibat bunuh diri yang dilaporkan menunjukkan bahawa usaha mereka masih belum selesai.
“Di sebalik setiap perangkaan ialah satu nyawa yang hilang, keluarga yang meratapi pemergiannya dan masyarakat yang tertanya-tanya apa lagi yang boleh dilakukan.
“Kita mesti terus melabur untuk membina sebuah masyarakat yang penyayang dan saling terhubung, di mana tiada siapa perlu menanggung derita seorang diri,” kata beliau.
TALIAN BANTUAN
KESEJAHTERAAN MENTAL
• Talian bantuan nasional: 1771 (24 jam) / 6669-1771 (melalui WhatsApp)
• Samaritans of Singapore: 1767 (24 jam) / 9151-1767 (CareText 24 jam melalui WhatsApp)
• Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800-283-7019
• Reben Perak Singapura: 6386-1928
• Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Belia, Chat: 6493-6500 atau 6493-6501
• Talian bantuan wanita (Aware): 1800-777-5555 (setiap hari biasa, 10 pagi hingga 6 petang)
• Talian bantuan warga emas: 1800-555-5555 (setiap hari biasa, 9 pagi hingga 5 petang)
KAUNSELING
• TOUCHline (Kaunseling): 1800-377-2252
• Talian TOUCH Care (untuk penjaga): 6804-6555
• Pusat Penjagaan dan Kaunseling: 6536-6366
• Khidmat Masyarakat We Care: 3165-8017
• Pusat Kaunseling Shan You: 6741-9293
• Clarity Singapore: 6757-7990
SUMBER DALAM TALIAN
• mindline.sg/fsmh
• eC2.sg
• tinklefriend.sg
• chat.mentalhealth.sg
• carey.carecorner.org.sg (untuk umur 13 hingga 25 tahun)
• limitless.sg/talk (untuk umur 12 hingga 25 tahun)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg