Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

32 ditangkap, disyaki ambil pekerja haram

Sep 27, 2024 | 4:17 PM
Pegawai dari Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menahan seorang lelaki 33 tahun, yang disyaki terlibat dalam sindiket yang mengendalikan 28 pusat hiburan yang didaftarkan tetapi tidak aktif, menggajikan pemegang permit kerja sebagai penghibur ketika syarikat itu tidak beroperasi.
Pegawai dari Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menahan seorang lelaki 33 tahun, yang disyaki terlibat dalam sindiket yang mengendalikan 28 pusat hiburan yang didaftarkan tetapi tidak aktif, menggajikan pemegang permit kerja sebagai penghibur ketika syarikat itu tidak beroperasi. - Foto MOM

Pihak berkuasa telah menahan 32 orang yang disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan pengambilan pekerja haram, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 27 September.

Antara yang ditahan pada 23 September ialah seorang lelaki berusia 33 tahun, yang disyaki terlibat dalam sindiket yang mengendalikan 28 pusat hiburan yang didaftarkan tetapi tidak aktif, telah didakwa menggajikan pemegang permit kerja sebagai penghibur ketika syarikat itu tidak beroperasi.

Baki 16 lelaki dan 15 wanita ditahan kerana didakwa terlibat dalam membuat pengisytiharan palsu dalam permohonan pas kerja apabila syarikat itu tidak memerlukan mereka, tambah kementerian itu.

Para suspek itu telah ditahan semasa operasi penguatkuasaan seluruh pulau yang dijalankan oleh MOM dan polis di 27 tempat, lapor The Straits Times.

Siasatan terhadap para suspek masih diteruskan.

Kementerian itu juga berkata bahawa ia akan mengkaji semula skim Permit Kerja (Artis Persembahan), yang bertujuan membenarkan pusat hiburan awam berlesen mengupah penghibur secara jangka pendek.

Ini berlaku di tengah-tengah trend penyalahgunaan skim itu yang semakin meningkat, tambahnya.

Majikan hanya boleh mengambil pekerja asing dengan pas kerja yang sah.

Kedua-dua majikan dan pemohon dikehendaki membuat pengisytiharan yang tepat, lengkap dan benar kepada Penguasa Pas Kerja.

Warga asing yang bekerja tanpa pas kerja yang sah boleh didenda sehingga $20,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan, mereka juga mungkin dihalang daripada bekerja di Singapura.

Begitu juga, mereka yang disabitkan kesalahan membuat pengisytiharan palsu dalam permohonan pas kerja boleh didenda sehingga $20,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.

Selain itu, majikan yang ingkar akan digantung keistimewaan pas kerja mereka, dan pemohon pas kerja juga boleh didakwa dan dihalang daripada bekerja di Singapura.

Orang ramai yang tahu tentang kegiatan pekerjaan haram boleh melaporkan perkara itu kepada kementerian dengan menghubungi 6438-5122 atau e-mel kepada mom_fmmd@mom.gov.sg.

Segala maklumat yang diberikan akan dirahsiakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg