Kurang seminggu selepas polis menggagalkan percubaan pecah masuk rumah dan menahan empat lelaki, suspek berkenaan dibawa semula ke kawasan berhutan di Bukit Timah tempat mereka sebelum ini ditemui bersama peralatan pecah masuk rumah.
Zhuo Yinggui, 36 tahun; Yang Chao, 41 tahun; Zhou Qifa, 36 tahun; dan He Jiao, 38 tahun, masing-masing didakwa pada 10 Ogos dengan satu tuduhan memiliki peralatan pecah masuk rumah.
Keempat-empat warga negara China itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pecah masuk rumah dari China.
He dan Zhou dibawa secara berasingan pada pagi 14 Ogos, ke lokasi kejadian di Koridor Rel berhampiran Bukit Timah Road, dengan tangan dan kaki mereka digari.
Di lokasi lain berhampiran Laurel Wood Avenue, dua lagi suspek turut tiba secara berasingan.
Lawatan Yang ke lokasi hanya sebentar, manakala sesi soal siasat polis terhadap Zhuo di lokasi tersebut mengambil masa lebih lama.
Dokumen mahkamah mendedahkan mereka dikatakan ditemui pada 8 Ogos di Koridor Rel berhampiran estet Greenleaf dengan dua sarung muka hitam, tiga pemutar skru yang bengkok di hujung, tiga pasang sarung tangan, dua sepana dan satu lampu suluh.
Selain peralatan pecah masuk, mereka turut didapati memiliki pakaian dan wang tunai melebihi $400.
Keempat-empat lelaki dari wilayah Guizhou, China, itu dilihat berkelakuan mencurigakan di sebuah taman semasa operasi polis.
Mereka melarikan diri ke kawasan berhutan selepas didekati polis.
Namun, dalam tempoh kurang dua jam, dua daripada mereka berjaya ditahan di kawasan tersebut.
Lelaki ketiga ditahan di pusat beli-belah berhampiran Clementi pada hari yang sama, manakala suspek keempat ditahan keesokan pagi di hotel di Geylang.
Menurut laporan The Straits Times (ST), difahamkan pakaian milik lelaki-lelaki itu ditemui di kawasan berhutan berhampiran Laurel Wood Avenue.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa keempat-empat suspek memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan pas lawatan sosial pada 8 Ogos.
Antara April dengan Julai, terdapat tiga kes pecah masuk yang dilaporkan berhampiran Koridor Rel, serta satu percubaan pecah masuk.
Dalam dua kejadian pecah masuk itu, barangan termasuk jam tangan mewah dan barang kemas bernilai kira-kira $60,000 telah dicuri.
Pihak penyiasat sedang meneliti sama ada Zhuo, Yang, Zhou dan He mempunyai kaitan dengan kes-kes pecah masuk sebelum ini yang melibatkan sindiket jenayah antarabangsa.
Keempat-empat lelaki itu telah ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg