Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 jenis kecurangan dan apa yang dorong individu laku curang

Sep 7, 2025 | 5:30 AM
kes curang, retak rumah tangga, perceraian, Melayu/Islam
Terdapat pelbagai jenis kecurangan dan ia wujud dalam pelbagai bentuk. - Foto PIXABAY
Pakar konsultan kanan psikoterapi Dr Fauziah Shah.
Pakar konsultan kanan psikoterapi Dr Fauziah Shah. - Foto ihsan FAUZIAH SHAH

Kecurangan bukan hanya terhad kepada hubungan fizikal.

Menurut pakar konsultan kanan psikoterapi, Dr Fauziah Shah, kecurangan kini wujud dalam pelbagai bentuk seperti emosi, fizikal, situasi, siber dan media sosial.

Lazimnya, ia dipengaruhi oleh perubahan teknologi dan corak perhubungan moden, katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ciri personaliti, gaya keterikatan (attachment style) atau cara berhubung, dan faktor kesihatan mental boleh meningkatkan kemungkinan seseorang untuk curang.

“Dari pengalaman klinikal saya, kecurangan boleh wujud dalam pelbagai bentuk dan memahaminya adalah penting dalam menangani isu-isu berdasarkan hubungan,” kata Dr Fauziah yang juga merupakan pemilik dan pengarah PETRA Health & Wellness Group. Beliau memberi tumpuan khusus pada kaunseling perkahwinan dan kaunseling Islamik.

1. Kecurangan emosi

Kecurangan emosi melibatkan pembentukan hubungan emosi yang mendalam dengan seseorang di luar hubungan utama sehingga timbul perasaan intim atau keterikatan, kata Dr Fauziah.

“Tanda-tandanya mungkin apabila pasangan lebih banyak berkongsi rahsia dengan orang lain daripada pasangannya sendiri, berkongsi perasaan peribadi atau membina hubungan rapat yang menjejaskan rumah tangga,” ujar beliau.

2. Kecurangan fizikal

“Ini (kecurangan fizikal) berlaku apabila seseorang terlibat dalam hubungan seksual dengan individu lain selain pasangannya. Ini adalah bentuk kecurangan yang paling lazim.

“Tanda-tandanya termasuk perubahan tingkah laku, rutin yang berlainan, sikap lebih berahsia secara mendadak, atau bukti penemuan bersua muka,” kata Dr Fauziah lagi.

3. Kecurangan siber

Kecurangan siber pula melibatkan interaksi dalam talian yang melampaui batas persahabatan seperti sexting (hantar mesej atau gambar yang eksplisit secara seksual), hubungan maya, atau menggunakan aplikasi janji temu.

Tanda-tandanya ialah peningkatan privasi dalam talian, penggunaan telefon sehingga lewat malam, atau akaun media sosial, dan aplikasi janji temu yang tidak dapat dijelaskan, kata Dr Fauizah.

4. Kecurangan situasi

Kecurangan situasi berlaku dalam keadaan tertentu, sering ketika mengalami tekanan emosi yang tinggi atau perubahan besar dalam hidup seperti pekerjaan yang perlu ke negara lain atau percutian.

Tanda-tandanya ialah corak kecurangan yang hanya berlaku dalam situasi tertentu, bukan sebahagian daripada tingkah laku lazim individu, ujarnya.

5. Kecurangan media sosial

“Ini apabila seseorang terlibat dalam interaksi menggoda atau berkongsi detik intim dengan rakan atau kenalan di platform sosial, termasuk menyukai gambar provokatif atau menghantar mesej peribadi. Tanda-tanda jelas termasuk mesej yang berlebihan di luar hubungan yang disembunyikan,” ujar Dr Fauziah.

Katanya lagi, teknologi mempercepatkan fenomena ini.

“Pertumbuhan pesat telefon bijak dan media sosial menjadikannya lebih mudah bagi individu untuk berhubung dengan orang lain di luar kenalan utama. Kemudahan ini boleh membawa kepada tingkah laku impulsif yang mungkin tidak berlaku tanpa alat ini (teknologi).”

“Aplikasi janji temu juga memudahkan pertemuan dengan orang baru, meningkatkan peluang kecurangan emosi dan fizikal.

“Sifat santai interaksi dalam talian mengurangkan batasan dan mendorong individu untuk meneroka hubungan di luar hubungan mereka. Media sosial juga mengaburkan garis panduan apa yang dianggap tingkah laku tidak wajar.”

Mengulas punca kecurangan, beliau berkata: “Individu mungkin curang apabila mereka berasa diabaikan secara emosi atau tidak dipenuhi dalam hubungan utama. Ketiadaan keintiman atau hubungan rapat boleh membuat mereka mencari kasih sayang dan pengesahan di tempat lain.”

Faktor lain termasuk keyakinan diri yang rendah. “Kurangnya keyakinan diri boleh mendorong seseorang mencari pengesahan di luar melalui hubungan atau hubungan seksual, sering menggunakan kecurangan sebagai cara untuk meningkatkan harga diri.”

Ada juga yang melakukannya demi keseronokan.

“Bagi sesetengah orang, keterujaan dan keghairahan dalam hubungan baru atau pengalaman seksual sangat menarik. Kecurangan memberi sensasi adrenalin yang tiada dalam rutin kehidupan harian.”

Akhirnya, Dr Fauziah berkata bahawa kesedaran merupakan ‘kunci’.

“Memahami ciri-ciri personaliti, gaya keterikatan dan faktor kesihatan mental ini boleh membantu mengenal pasti kerentanan yang menyumbang kepada kecurangan.

“Dengan mengenal pasti isu ini, intervensi kaunseling boleh menumpukan kepada membina hubungan yang lebih sihat, meningkatkan kawalan emosi, dan memupuk perkembangan diri.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg