Sekali pasangan berselingkuh, ia semestinya meninggalkan kesan mendalam sehingga menjejas kesihatan mental si suami atau isteri yang menjadi mangsa.
Namun sama ada mereka yang dicurangi rela memberi peluang kedua kepada pasangan mereka benar-benar tergantung kepada sejauh mana suami isteri itu dapat menerima kesilapan tersebut dan sanggup berusaha memulihkan kembali hubungan bersama, menurut pakar yang dihubungi Berita Minggu (BM).
Pengarah dan konsultan pembangunan keluarga, Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, berkata kesan kecurangan ke atas rumah tangga bergantung kepada tahap toleransi pasangan yang menjadi mangsa.
“Terdapat pasangan yang tidak dapat menerima kembali suami atau isteri walaupun hanya kecurangan emosi dan akhirnya berpisah.
“Tidak kurang juga pasangan yang masih lagi ingin menyelamatkan rumah tangga walaupun setelah suami atau isteri sudah terlanjur.
“Ia juga bergantung kepada sejauh mana langkah segera diambil bagi menyelamatkan rumah tangga melalui bantuan khidmat kaunseling rumah tangga contohnya,” ujarnya yang juga pengasas dan pengarah YusriYusoff Consulting.
Untuk mengatasi masalah tersebut, pasangan yang curang perlu tahu kesilapan lalu dan belajar mengenali batasan dalam hubungan antara lelaki dengan wanita.
Ini selain mempelajari langkah-langkah dalam mendapatkan semula kepercayaan isteri, tambahnya.
Seiring itu, pemilik dan pengarah PETRA Health & Wellness Group, Dr Fauziah Shah berkata apabila pasangan pilih untuk tetap bersama, pendekatan terapi yang berstruktur diperlukan.
“Kaunseling perkahwinan berguna kerana ia mewujudkan ruang selamat dan sekitaran yang neutral di mana kedua-dua pasangan boleh meluahkan perasaan, keprihatinan dan keperluan secara terbuka dan tanpa rasa dihukum.
“Kaunselor yang baik boleh bantu membimbing perbualan bagi membantu setiap pasangan saling memahami perspektif masing-masing, memupuk empati dan hubungan.
“Kadangkala satu atau kedua-dua pihak mungkin mempunyai masalah peribadi dan/atau trauma atau kesan parut dari masa lalu yang mungkin menjejas hubungan mereka sekarang,” ujarnya yang juga pakar kanan konsultan psikoterapi.
Selain mendapatkan bantuan kaunseling daripada pakar profesional, pasangan Muslim di Singapura juga boleh merujuk kepada kadi masing-masing dalam menempuh masalah rumah tangga.
Timbalan pendaftar Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Mohd Khair Rahmat, berkata pasangan Muslim hari ini berdepan dengan cabaran yang semakin rumit, antaranya tekanan kewangan, stres apabila kedua-dua pihak mengimbangi kerjaya, permintaan keibubapaan dan mengemudi dinamik keluarga, serta gangguan dunia digital.
Ustaz Khair berkata sebagai kadi, mereka juga berperanan untuk membantu pasangan agar bersedia menghadapi realiti alam perkahwinan.
Apabila pasangan memilih untuk merujuk semula setelah cerai, mereka membantu pasangan melihatnya sebagai pengalaman pembelajaran yang positif.
“Kami menggalakkan mereka untuk bekerjasama, membangunkan kemahiran hubungan lebih baik dan mencari cara baru untuk saling menyokong. Menerusi sesi tersebut, kami menggalakkan pasangan untuk memberi dorongan kepada satu sama lain supaya membina hubungan lebih kukuh buat masa depan mereka dan melibatkan diri dalam program sokongan dan pengayaan perkahwinan yang relevan.
“Sekiranya mereka memerlukan sokongan dalam menangani cabaran perkahwinan, kami menggalakkan mereka agar mendekati agensi relevan bagi sokongan profesional,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg