Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bagai retak menanti belah: Masalah dibiar tak terlerai, tidak peka batasan antara punca kecurangan

Aplikasi ‘mesra curang’, kurang intimasi juga main peranan, kata kaunselor, peguam
Sep 7, 2025 | 5:30 AM
keretakan rumah tangga, Melayu/Islam, kecurangan
Kaunselor berkongsi pemerhatian bahawa kecurangan sebenarnya tidak berlaku serta merta, malah ia kesan daripada beberapa masalah yang sudah lama timbul dalam rumah tangga pasangan. - Foto fail

Hanya sehari lagi sebelum Syawal menjengah.

Namun, belum sempat beliau menikmati kemanisan hari itu, suaminya, yang sedang menetap di Abu Dhabi atas tuntutan kerja, mengirimkan mesej WhatsApp yang cukup pahit untuk ditelan: ‘Aku ceraikan kau dengan talak satu’.

Walaupun lafaz cerai itu cukup membawa derita kepada Cik Nora (bukan nama sebenar), 52 tahun, ia juga tidak mengejutkan.

Pada detik itu, beliau tahu bahawa perkahwinannya selama 27 tahun sudah tidak boleh diselamatkan lagi.

Manakan tidak, suaminya yang beliau meletakkan sepenuh kepercayaan telah berlaku curang di belakangnya.

Dihubungi Berita Minggu (BM), Cik Nora, yang kini penyewa gerai kantin sekolah, berkongsi bahawa beliau dan suaminya terpaksa tinggal berjauhan setelah suaminya menerima tawaran bekerja di Abu Dhabi pada Oktober 2022.

Waktu itu, Cik Nora tidak dapat menyusul kerana anak-anaknya masih bersekolah dan memerlukan beliau untuk berada di sisi.

Namun, sikap suaminya itu berubah beberapa bulan setelah itu.

Mesej semakin kerap lambat dibalas. Panggilan telefon juga semakin jarang.

Kemudian seribu satu alasan diberikan.

“Beliau asyik beritahu saya yang beliau sibuk. Malah beliau pernah mengambil foto skrin komputer beliau semata-mata ingin membuktikannya tetapi apabila saya ‘zoom’, tarikh dan waktunya menunjukkan hari lain.

“Sebagai isteri, saya dapat rasa ada yang tak kena. Banyak kali saya sudah bertanya sama ada beliau sedang berselingkuh, tetapi beliau terus menafikan hal itu,” luahnya.

Yang memeritkan, tatkala Cik Nora sanggup mengambil penerbangan ke Abu Dhabi bersama anak-anaknya, suaminya acuh tak acuh dan layanannya dingin apabila mereka bersua muka.

Pada Disember 2023, suaminya berterus terang menerusi mesej WhatsApp bahawa beliau sudah berkahwin lagi dan melafazkan cerai menerusi wadah sama beberapa bulan setelah itu.

Kecurangan dalam rumah tangga hangat diperbualkan baru-baru ini.

Berdasarkan perangkaan perkahwinan dan perceraian yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) pada Julai 2025, kecurangan atau hubungan sulit ditukil sebagai isu paling utama dalam perkahwinan dalam kalangan perceraian Muslim yang difailkan kedua-dua suami (15.8 peratus) dan isteri (19.9 peratus) pada 2024.

Kurang intimasi antara punca

Kaunselor yang dihubungi BM berkongsi pemerhatian bahawa kecurangan sebenarnya tidak berlaku serta-merta, malah ia kesan daripada beberapa masalah yang sudah lama timbul dalam rumah tangga pasangan.

Pemilik dan pengarah PETRA Health & Wellness Group, Dr Fauziah Shah, berkata bahawa sedang ibu bapa bekerja gigih untuk meraih pendapatan bagi menyara keperluan keluarga, ia boleh menyebabkan mereka semakin menjauh, sehingga mereka mencari kepuasan emosi di luar perkahwinan.

“Tiada keintiman dari masa ke masa juga boleh membuat pasangan kehilangan keintiman emosi dan fizikal yang mengikat mereka, membawa kepada perasaan terasing atau tidak ambil peduli,” ujarnya.

Pakar konsultan kanan psikoterapi itu menambah bahawa pertengkaran yang sering berlaku atau pertikaian yang tidak dapat diselesaikan boleh mewujudkan persekitaran toksik, menyebabkan seseorang untuk berselingkuh sebagai cara untuk melarikan diri.

Sependapat, pengarah dan konsultan pembangunan keluarga, Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, berkata kecurangan biasanya bersebab dari ketiadaan persefahaman antara suami isteri, sikap tidak bertanggungjawab seperti masalah nafkah, tiada intimasi kerana kepenatan, stres atau masalah lain. 

Ia juga berlaku kerana hubungan sudah menjadi semakin rutin di mana pasangan hanya berinteraksi apabila perlu, selebihnya sibuk dengan urusan sendiri selain keganasan domestik termasuk penderaan emosi dan mental yang akhirnya menyumbang kepada kecurangan pasangan suami atau isteri.

“Kecurangan juga biasanya bermula melalui kecurangan secara emosi melalui curahan hati dan perkongsian masalah peribadi. Bermula sebagai kenalan biasa tanpa perasaan apa-apa, tapi akhirnya menjadi bertambah mesra dan tidak kurang juga yang terlanjur selepas itu,” katanya yang juga pengasas dan pengarah YusriYusoff Consulting.

Dilanda badai selepas tempoh tertentu

Ditanya mengenai teori ‘five year itch’ atau ‘seven year fizzle’ yang merujuk kepada cabaran rumah tangga yang timbul pada fasa lima mahupun tujuh tahun, Dr Fauziah berkata ia sedikit sebanyak mencerminkan realiti perkahwinan di mana ada pasangan yang rasa kurang puas dalam rumah tangga mereka dan perasaan romantis yang meluap-luap semakin pudar apabila mereka menangani realiti hidup.

“Kanak-kanak juga memainkan peranan. Buat ramai pasangan, tempoh ini mungkin merangkumi tahun keibubapaan di mana mereka berhempas-pulas, yang membawa kepada keletihan dan perasaan terputus hubungan. Peralihan tumpuan daripada hubungan percintaan kepada kanak-kanak boleh menimbulkan rasa tidak puas hati,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa tidak semua perkahwinan mengikut corak yang sama, dan setiap hubungan itu unik.

Seiring itu, Ustaz Yusri berkongsi bahawa banyak juga kes kecurangan yang berlaku selepas 10 tahun atau 20 tahun berumah tangga atau tidak sampai tiga atau lima tahun.

Yang ekstrem, hanya setelah beberapa bulan berumah tangga, katanya.

Aplikasi komunikasi ‘mesra curang’?

Menyentuh tentang bentuk kecurangan, Ustaz Yusri berkata bahawa kecurangan juga semakin mudah dengan adanya aplikasi komunikasi seperti Telegram atau Wechat yang agak ‘mesra curang’.

Dr Fauziah berkongsi bentuk terkini kecurangan boleh berlaku di media sosial apabila pasangan menggatal dalam interaksi mereka atau berkongsi detik-detik intim bersama rakan atau kenalan di wadah sosial.

Ia juga memudahkan individu untuk berhubung dengan orang lain di luar lingkungan utama mereka.

“Individu mungkin menyembunyikan aktiviti dalam talian mereka dengan lebih mudah berbanding dengan pertemuan bersemuka, lantas mewujudkan rasa selamat yang palsu,” tambahnya.

Interaksi langkaui batas

Timbalan pendaftar Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Mohd Khair Rahmat, berpendapat bahawa keletihan fizikal serta emosi boleh meretakkan hubungan, lantas menyebabkan pasangan sering bertengkar.

“Dalam situasi sedemikian, ada yang mungkin mencari ketenangan di luar rumah tangga seperti meluahkan perasaan bersama kawan yang berlainan jantina.

“Namun, apabila interaksi itu melangkaui batas, mereka boleh dianggap curang dan akhirnya rumah tangga musnah,” kata Ustaz Khair.

Kecurangan tinggalkan luka mendalam

Bagi isteri mahupun suami yang diuji pasangan yang curang, kesan emosi yang ditinggalkan boleh berlarutan buat tempoh yang lama.

Dr Fauziah berkata: “Keyakinan diri pasangan yang dikhianati akan terjejas dengan ketara. Mereka mungkin persoalkan daya tarikan diri mereka, harga atau kemampuan diri, membawa kepada perasaan tidak sempurna dan keraguan diri. Ungkapan seperti ‘Adakah saya tidak mencukupi?’ sering timbul, menambahkan lagi kesakitan emosi.”

Dalam jangka pendek, pasangan yang dikhianati mungkin mengalami tekanan akut, kegelisahan dan kemurungan.

Dalam jangka panjang, jika hubungan tidak pulih, perasaan ini boleh menyebabkan tekanan kronik, kemurungan atau gangguan kegelisahan, tambahnya.

Bagi Encik Irda (bukan nama sebenar), kecurangan isterinya yang berkali-kali meninggalkan kesan yang sukar dilupakan.

“Dunia ni kejam. Ramai yang sanggup melakukan dusta dan saya pun tidak terkata. Kawan saya kata mungkin saya tiada rezeki dalam rumah tangga dan mungkin itu satu realiti yang saya harus terima,” kata Encik Irda yang rumah tangganya telah bertahan selama lapan tahun.

Beliau juga mendapati ia agak mencabar untuk teruskan hidup setelah mengalami peristiwa yang pahit itu.

Namun, demi anak-anak, beliau menggagahkan diri dan memilih untuk bersikap empati, walaupun bergelut dengan kekecewaan akibat dikhianati.

Wanita mahupun lelaki mampu selingkuh

Pengarah urusan Abdul Rahman Law Corporation (ARLC), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, berkata walaupun terdapat tanggapan bahawa kaum lelaki yang lebih cenderung untuk berlaku curang, peratusan wanita dan lelaki yang curang adalah agak sama rata sekarang.

“Sewaktu Covid-19, kes masalah rumah tangga melonjak dengan permintaan perintah perlindungan peribadi (PPO), dan pasangan banyak bergaduh. Ini kerana pasangan terpaksa ‘berkurung’ di rumah sewaktu tempoh pemutus litar dan timbulnya banyak perselisihan dan salah faham.

“Justeru, besar kemungkinan kesan daripada Covid-19 masih boleh dirasakan sekarang dengan kadar perceraian yang meningkat,” tambah Encik Abdul Rahman.

Peguam, Encik Rudy Marican, memerhati bahawa perceraian lebih banyak berlaku dalam perkahwinan yang sudah lama dibina.

Ramai ibu bapa yang memilih untuk terus mengekalkan rumah tangga mereka walaupun jelas terbukti ia sudah mengalami keretakan.

“Oleh kerana anak-anak masih kecil, mereka kata kepada diri mereka agar bersabar walaupun kebencian sudah mula timbul... jadi apabila anak-anak sudah dewasa, mereka ke media sosial, aplikasi ‘dating’ lain untuk mendapat keterujaan di luar rumah,” ujarnya yang juga anggota bersekutu firma guaman Lexcompass LLC.

Beliau juga mendapati bahawa sesetengah lelaki menyalahkan isteri mereka sebagai punca atau alasan mereka curang.

“Ada yang kata isteri mereka sudah tidak cantik tetapi mereka gagal cermin diri mereka dahulu. Di samping itu, mereka gagal hargai bahawa wanita tersebut yang mereka kutuk telah melahirkan anak-anak mereka, memasak untuk mereka dan menjaga mereka,” ujarnya.

Encik Rudy memberi pesanan kepada kaum wanita, khususnya, bahawa mereka juga berhak menuntut perceraian menerusi fasakh atau taklik, sekiranya suami mereka tidak mahu menjatuhkan talak meskipun terbukti curang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg