Encik Irda (bukan nama sebenar) telah mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada anak bongsunya, tetapi kemudian mengetahui melalui ujian DNA bahawa anak lelakinya itu bukan anak kandungnya.
Dari awal lagi, beliau meragui bekas isterinya tetapi memilih untuk mempercayainya meskipun isterinya itu pernah berkelakuan curang beberapa tahun sebelum itu – semasa anak sulung mereka berusia setahun.
“Saya berikannya keyakinan dan peluang kedua kerana dia kesal akan perbuatannya... lagipun saya sangat menyayanginya.
“Naluri seorang suami wujud. Walaupun saya rasa seperti sesuatu yang tidak kena dengan kandungan itu, saya tetap menyambut baik berita gembira tersebut. Tetapi hati saya memang sangat berat,” kata Encik Irda, 47 tahun, kepada Berita Minggu (BM).
Setelah kelahiran anak keduanya itu, Encik Irda masih tidak tenang. Menguatkan semangat untuk mengambil ujian DNA, keputusannya itu akhirnya terbukti satu kebenaran yang pahit untuk ditelan.
“Sehingga hari ini saya belum lagi terfikir jika saya akan berterus-terang dengan anak lelaki saya itu... dia tidak bersalah dan saya menyayanginya,” ujar Encik Irda yang telah bercerai baru-baru ini setelah lapan tahun berumah tangga.
Kecurangan kekal sebagai isu utama dalam keretakan rumah tangga, menurut laporan Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat) yang dikeluarkan pada Julai 2025.
Pada 2024, kecurangan disebut sebagai sebab utama dalam perceraian yang difail kededua suami (15.8 peratus) dan isteri (19.9 peratus) dalam perkahwinan Muslim, sama seperti sedekad lalu.
Pakar kanan konsultan psikoterapi, Dr Fauziah Shah dari PETRA Health & Wellness Group, berkata kecurangan jarang menjadi satu-satunya punca keretakan rumah tangga.
“Selalunya, terdapat jurang dalam hubungan sebelum skandal berlaku. Komunikasi yang lemah, keperluan emosi yang tidak dipenuhi, konflik yang tidak diselesaikan serta tekanan gaya hidup seperti kerja dan kewangan boleh jadi faktor penyumbang,” kata Dr Fauziah.
Bagi Encik Irda, beliau menggambarkan antara punca lain dalam kegagalan rumah tangganya berkaitan harta dan wang yang beliau mungkin tidak dapat sediakan.
Walaupun dicurangi, ketua pegawai operasi itu memilih untuk tidak menuntut hak penjagaan anak kerana bimbang atas kesan terhadap anak-anaknya jika mereka diasingkan.
“Pada masa itu, saya pilih kekal dalam rumah tangga kerana cinta dan kerana dalam Islam, kita diajar untuk bersifat empati. Tetapi apabila berkali-kali dikhianati dan saya sedar dia tidak dapat berubah, ia menjadi satu petanda bahawa mungkin ini bukan jodoh saya,” tambahnya.
Kecurangan disebut sebagai isu utama dalam 18.8 peratus perceraian pada 2024, berbanding isu lain seperti keganasan keluarga (7.4 peratus), ditinggalkan (7.2 peratus), dan masalah kewangan (5.8 peratus).
Bentuk kecurangan yang terkini ialah kecurangan melalui media sosial, kata Dr Fauziah.
“Seseorang pasangan mungkin terlibat dalam interaksi menggoda atau berkongsi detik intim dengan rakan atau kenalan dalam talian. Ia boleh dianggap sama menyakitkan seperti kecurangan fizikal kerana ia melanggar kepercayaan dan keselamatan emosi,” kata Dr Fauziah.
Timbalan Pendaftar Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Mohd Khair Rahmat, berkata keletihan fizikal serta emosi boleh meretakkan hubungan, lantas menyebabkan pasangan sering bertengkar.
“Dalam situasi sedemikian, ada yang mungkin mencari ketenangan di luar rumah tangga seperti meluahkan perasaan bersama kawan yang berlainan jantina.
“Namun, apabila interaksi itu melangkaui batas, mereka boleh dianggap curang dan akhirnya menjejas rumah tangga,” kata Ustaz Khair.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg