5 perkara dari sidang Parlimen 24 Sep
5 perkara dari sidang Parlimen 24 Sep
5 perkara dari sidang Parlimen 24 Sep
Berikut lima perkara utama yang dikongsi semasa Sidang Parlimen pada 24 September.
1. PM Wong: S’pura mesti waspada terhadap isu kaum, agama dalam politik
Singapura perlu mencari jalan bagi melindungi politik di negara ini daripada memperguna kaum dan agama berlatar persaingan kian sengit untuk menambat hati pengundi dalam pilihan raya, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap di Parlimen pada 24 September, Encik Wong menggesa semua Anggota Parlimen (AP) untuk mengesahkan komitmen mereka berkhidmat kepada semua rakyat Singapura dan menolak secara rasmi daripada mempergunakan tarikan kaum dan agama semasa pilihan raya.
Encik Wong juga menggesa Dewan mengamalkan politik yang membina, yang dijalankan dengan serius dan integriti, sedang masyarakat semakin matang dan politik berkembang.
2. Pengendali insurans kesihatan swasta digesa semak semula struktur polisi terlalu ‘murah hati’
Insurans kesihatan swasta kini berada dalam keadaan yang tidak mampan akibat persaingan berlebihan yang tersasar, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Pengendali insurans, hospital swasta dan penyedia perkhidmatan kesihatan kini terjerat dalam situasi ini, mengakibatkan bil hospital swasta meningkat, premium insurans naik, serta lebih banyak tindakan kawalan terhadap proses tuntutan diperkenalkan.
Bagi memulakan usaha meleraikan masalah ini, Kementerian Kesihatan (MOH) telah menggesa sektor insurans supaya menyemak semula struktur polisi mereka yang terlalu murah hati.
Ini termasuk kadar bayaran bersama minima melalui rider – iaitu tambahan pilihan dalam polisi asas yang mengurangkan jumlah bayaran yang perlu dibiayai sendiri oleh pemegang polisi.
3. Vers bukan skim jana kekayaan atau cipta ‘kesan loteri’
Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers) tidak seharusnya dilihat sebagai skim menjana kekayaan atau mencipta ‘kesan loteri’, iaitu kebergantungan terhadap peluang dan nasib, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, Encik Foo Cexiang, dan AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Pekerja (WP), Encik Andre Low.
Encik Foo bertanya sama ada Vers mempunyai kesan loteri, manakala Encik Low bertanya sekiranya skim itu adalah program pembaharuan semata-mata dan bukannya menjana kekayaan. Kedua-dua hujah itu diakui dan dipersetujui Encik Chee.
Beliau menegaskan pakej pampasan bagi Vers adalah lebih rendah daripada apa yang ditawarkan di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers) tetapi butirannya masih sedang diteliti.
4. 90% sewa kedai HDB tidak berubah dalam 5 tahun; pemerintah sedar ‘kenaikan mendadak’ sewa kedai milik privet
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tidak menaikkan sewa bagi 90 peratus kedai yang disewakan sejak lima tahun lalu, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling.
Namun, beliau berkata pemerintah sedar sewa setiap kaki persegi (psf) bagi kedai yang dimiliki secara privet telah “naik secara mendadak” kerana ia ditentukan oleh pemilik masing-masing, sama seperti harta privet lain.
Ini selaras dengan peningkatan transaksi sewa untuk unit yang lebih kecil, yang biasanya mempunyai sewa psf lebih tinggi, katanya.
5. Penjaja tidak dijangka rugi jual hidangan mampu milik
Penjaja yang menjual hidangan mampu milik tidak dijangka mengalami kerugian, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Goh Hanyan.
Ini kerana mereka sepatutnya telah mengambil kira perkara tersebut semasa merundingkan sewa dengan pengendali.
Selain itu, hidangan mampu milik itu berbeza daripada skim di Pusat Penjaja Bukit Canberra, yang pernah mewajibkan penjaja menyediakan hidangan percuma, tambah Cik Goh.

