Sekumpulan warga China telah didakwa atas kesalahan rasuah, yang dipercayai sebahagian daripada rancangan untuk sengaja menyebabkan diri mereka ditahan bagi membolehkan mereka terus tinggal di Singapura, sementara siasatan dijalankan.
Rancangan mereka adalah untuk mendapatkan pas khas serta menjual ubat perangsang seks haram semasa tempoh dibebaskan dengan ikat jamin, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada 18 Julai.
Dalang di sebalik skim ini dipercayai seorang penagih dadah warga Singapura, yang telah ditahan dan sedang disiasat CNB.
Pada 18 Julai, lima daripada kumpulan warga asing itu telah didakwa atas kesalahan rasuah, lapor The Straits Times (ST).
Xiao Xiezhi, 43 tahun, berdepan tiga pertuduhan atas dakwaan menawarkan rasuah sebanyak $400 kepada tiga pegawai penguat kuasa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 22 Januari selepas didapati merokok di bawah tempat berteduh di perhentian bas.
Xu Zhishen, 37 tahun, berdepan dua pertuduhan atas dakwaan menawarkan rasuah sebanyak $119 kepada dua pegawai polis pada 27 April berhampiran Kuil Sri Mariamman di South Bridge Road.
Xu Bixin, 31 tahun, berdepan satu pertuduhan atas dakwaan cuba memberi rasuah sebanyak $70 kepada seorang pegawai polis pada 3 Mei supaya tidak memeriksa identitinya.
Huang Chuangshun, 40 tahun, berdepan dua pertuduhan atas dakwaan menawarkan rasuah sebanyak $100 kepada dua pegawai NEA pada 23 Jun selepas didapati merokok di luar kawasan khas merokok di Orchard.
Lin Liangjun, 32 tahun, berdepan empat pertuduhan atas dakwaan menawarkan rasuah sebanyak $160 kepada empat pegawai polis pada 24 Jun supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadapnya – berikutan penglibatannya dalam kemalangan jalan raya – dengan tidak meneruskan pemeriksaan identiti lanjut terhadap dirinya.
Kesemua 12 pegawai berkenaan menolak rasuah yang ditawarkan.
Lima warga asing itu telah ditangkap dan sebelum ini, dilepaskan dengan ikat jamin.
Siasatan CPIB mendapati mereka telah membayar para penjamin bagi memudahkan proses ikat jamin mereka.
Semasa tempoh ikat jamin dan sementara siasatan dijalankan, mereka telah diberi pas khas yang membolehkan mereka tinggal di Singapura, namun tidak dibenarkan bekerja, kecuali jika mereka mempunyai pas kerja yang sah.
Lelaki-lelaki tersebut dipercayai telah menjual ubat perangsang seks haram semasa tempoh tersebut.
Pegawai CPIB membawa salah seorang tertuduh, Xiao, kembali ke Geylang Lorong 20, di luar Hotel New Cathay, iaitu lokasi dia didakwa menyerahkan wang kepada penjamin.
Kawasan yang terkenal dengan aktiviti haram termasuk penjualan terbuka ubat seks itu didapati mempunyai gerai sementara yang mempamerkan barangan tersebut walaupun ketika pegawai CPIB dan pihak media berada di situ.
Siasatan terhadap skim tersebut masih dijalankan.
Pihak pendakwa memberitahu mahkamah bahawa lelaki-lelaki berkenaan tidak sepatutnya dibenarkan bebas dengan ikat jamin, kerana mereka telah melakukan kesalahan semasa tempoh itu dan membayar penjamin mereka.
Pendakwa turut memberi amaran tentang kemungkinan berlaku komplot bukan sahaja sesama mereka, malah dengan individu lain yang masih disiasat.
Hakim memerintahkan agar mereka ditahan reman tanpa ikat jamin.
Kes mereka akan disebut semula pada 1 Ogos.
Jika disabitkan kesalahan memberi rasuah, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga $100,000.
CPIB berkata pihaknya menyiasat semua aduan dan laporan berkaitan rasuah, termasuk yang dibuat secara tanpa nama.
Laporan boleh dibuat dalam talian melalui e-mel ke report@cpib.gov.sg, atau dengan menghubungi talian 1800-376-0000, atau melalui pos ke Ibu Pejabat CPIB di 2 Lengkok Bahru.
CPIB menyarankan agar laporan yang dibuat mengandungi maklumat tentang lokasi, masa dan cara kejadian rasuah berlaku, individu yang terlibat serta peranan mereka, dan butiran mengenai rasuah yang diberikan serta ganjaran yang diterima.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg