Topik diikuti
Pergi ke BHku50 bas SMRT di kawasan ramai warga emas bakal dilengkapi alat AED
Kapten bas dilatih asas pertolongan cemas, bantuan pernafasan kecemasan
50 bas SMRT di kawasan ramai warga emas bakal dilengkapi alat AED
Bas SMRT akan dilengkapi defibrilator luaran automatik (AED) menerusi kerjasama pengendali pengangkutan awam dan swasta bagi menangani kecemasan jantung terhenti.
Alat itu akan dipasang pada 50 bas perkhidmatan 979 dan 991.
Kapten bas dilatih dalam asas pertolongan cemas, pemadaman kebakaran, resusitasi kardiopulmonari atau bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan penggunaan AED.
Bas itu melalui kawasan terpencil yang kekurangan AED, sekitar institusi perubatan masyarakat dan kejiranan dengan ramai warga emas, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), SMRT dan Yayasan Jantung Singapura (SHF) pada 23 November.
Kapten bas, penumpang atau Penindak Pertama Masyarakat yang turut dikenali sebagai Community First Responder (CFR) yang dihubungi menerusi aplikasi myResponder boleh menggunakan AED.
Pada pelancaran di Terminal Bas Gali Batu SMRT yang terletak di kawasan Sungei Kadut, Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, berkata AED membolehkan bantuan diberi sebelum paramedik tiba.
CFR juga boleh menahan bas untuk mendapatkan AED dan membantu mangsa berhampiran.
Lebih 3,000 orang mengalami jantung terhenti secara tiba-tiba setiap tahun di Singapura.
Menurut Encik Goh, peluang mangsa terselamat merosot sekitar 7 hingga 10 peratus setiap minit kejutan elektrik melalui AED tertangguh.
Justeru, alat penyelamat nyawa perlu lebih mudah didapati, katanya.
Lebih 5,600 AED telah dipasang di blok HDB dan kondominium di Singapura.
Beliau berkata, “Dengan adanya AED, masyarakat boleh segera bertindak apabila jantung seseorang terhenti. Namun, kecemasan ini boleh berlaku di mana-mana, termasuk jauh dari rumah atau blok kediaman.”
SHF menaja 50 AED bagi kedua-dua perkhidmatan itu. Sehingga November 2026, SHF menaja 218 AED, termasuk alat guna semula, dan menyumbang hampir $1 juta kepada program itu.
Pengerusi SHF, Profesor Tan Huay Cheem, berkata yayasan itu mahu meningkatkan kesedaran tentang kesihatan jantung dan melatih masyarakat menggunakan AED serta melakukan CPR.
Mengulas keputusan SHF menjalin kerjasama dengan pengendali pengangkutan awam itu, beliau berkata:
“Bas dan teksi sentiasa di jalan raya, jadi AED yang dibawanya boleh digunakan di mana-mana sepanjang laluan.
“Ini memudahkan orang ramai membantu mangsa berhampiran sebelum amaran kecemasan diterima melalui aplikasi myResponder atau daripada SCDF.”
Beliau berkata bilangan AED di kawasan perumahan privet lebih rendah berbanding di kawasan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), namun pemasangan AED di kawasan privet dirancang dalam masa terdekat.
Program AED-on-Wheels melibatkan sektor pengangkutan awam, sewa privet, logistik dan khidmat penghantaran dalam pemasangan AED dan latihan pemandu.
Ini kerjasama kesembilan program itu. Lebih 540 kenderaan dilengkapi AED.
SMRT ialah rakan pertama SCDF ketika program dilancarkan pada November 2015 dengan 100 teksi dilengkapi AED.
Encik Goh turut memuji dua kapten bas.
Pada 13 Jun 2025, bekas kapten bas, Encik Zulkarnaen Mohamed melihat penumpang warga emas pengsan lalu terhantuk kepala dalam bas 913 di Woodlands Street 13.
Beliau memberhentikan bas dengan selamat, membantu mangsa dan meminta orang awam menghubungi 995.
Pada 17 Ogos 2025, Encik Yau Minddin Muhamad ternampak kereta terbakar berhampiran Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.
Beliau memadamkan api dengan alat pemadam dari bas.
Pada 2024, beliau turut memadamkan kebakaran kereta di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE).
Encik Yau berkata orang ramai patut saling membantu apabila mampu.